?SAYA berusia 21 tahun dan belum berkahwin. Saya ingin tahu adakah normal untuk seorang wanita mengalami senggugut setiap kali datang haid?


Saya bukan saja mengalami senggugut yang teruk dua hari pertama tetapi loya dan muntah-muntah. Mengapa ia terjadi?

Kesakitan akan berkurangan selepas muntah dan kentut tetapi darah keluar berketul-ketul pula.

Adakah keadaan ini akan menyebabkan saya tidak subur?

HAMIZAH,
Melalui e-mail


KALAU saudari sudah biasa mengalami senggugut tiap-tiap bulan, keadaan ini dianggap normal. Jika seawal kedatangan haid saudari tidak berasa sakit dan baru-baru ini saja kesakitan itu muncul dan sakitnya pula semakin teruk, ia tidak normal dan perlu pemeriksaan.

Senggugut disebabkan oleh sejenis hormon bernama prostaglandin yang dikeluarkan semasa haid. Paras hormon ini tinggi dalam dua hari pertama dan ini merupakan masa di mana ramai yang mengadu sakit paling kuat.

Selain sakit, ada juga yang mengalami sakit belakang, ceret-beret, loya, muntah, sakit kepala seperti migrain atau pening. Jika ia jenis sakit yang datang tiap-tiap bulan semasa haid sahaja, tiada sakit antara bulan, ia adalah jenis ‘primary dismenorrea’ yang tidak menyebabkan apa-apa masalah kesuburan.

Jikalau ia lain, pergilah buat pemeriksaan untuk mengetahui apa penyebabnya.

Keadaan yang menyebabkan masalah untuk mengandung ialah endometriosis yang boleh menyebabkan senggugut, tetapi ia biasanya lebih teruk dan berpanjangan.