Oleh Hafizah Iszahanid


DR ROBAAYAH (lima kiri) bersama kumpulan konsultan menunjukkan Tavi, alat untuk menggantikan injap yang telah rosak pada jantung pesakit pada sidang akhbar, baru-baru ini.

IJN laksana prosedur tanam aortic untuk sokong gedupan, kembangkan salur darah

PESAKIT berusia lanjut yang berhadapan masalah penyempitan salur darah injap jantung kronik (severe aortic valve stenosis) lazimnya hanya memiliki satu pilihan untuk sembuh - menggantikan injap jantung dengan menjalani pembedahan berisiko tinggi.

Bagaimanapun Institut Jantung Negara (IJN) memberikan pilihan lebih baik daripada itu. Malah, IJN, institusi kebanggaan negara ini minggu lalu mencatat sejarah baru dalam dunia perubatan Malaysia dan Asia apabila memperkenalkan prosedur penanaman injap aortic melalui kateter (TAVI - transcatheter aortic valve implantation).


Dalam masa dua hari iaitu pada 25 dan 26 November lalu, tiga pesakit berusia 77, 76 dan 73 tahun sudah menjalani prosedur Tavi. Lebih mengagumkan, sebaik saja pembedahan mereka sudah boleh bergerak dan pada hari kelima selepas pembedahan, mereka sudah dibenarkan pulang. Pesakit ketiga yang menjalani prosedur ini adalah Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad.

Ketua Jabatan Kardiologi IJN, Datuk Dr Rosli Mohd Ali, berkata masalah penyempitan salur darah injap jantung kronik adalah ancaman kesihatan yang biasa ditemui di kalangan warga emas. Ia terjadi apabila injap salur darah jantung tersumbat. Ini menyebabkan injap tidak boleh terbuka sepenuhnya lalu menghalang aliran darah keluar dan masuk dari jantung ke salur darah besar (aorta) dan seterusnya mengalir ke seluruh tubuh.

“Apabila aliran darah terhalang, jantung perlu bekerja lebih keras untuk mengepam darah ke seluruh badan. Kerja keras ini menyebabkan jantung lemah, mengehadkan jumlah jantung yang mampu dipam. Ia juga menyebabkan gejala seperti letih, pening selain nafas yang singkat,” katanya.

Komplikasi paling teruk, kekurangan darah ke organ utama boleh menyebabkan serangan jantung, angin ahmar atau kematian mengejut.

Jelas Dr Rosli, sebelum ini rawatan utama masalah penyempitan salur darah injap jantung kronik adalah prosedur pembedahan jantung terbuka yang dilakukan dengan pintasan pada kardiopulmanori bagi menghentikan degupan jantung.

Kemudian, injap jantung baru dimasukkan sebelum jantung kembali berdenyut. Walaupun pembedahan ini selamat dan berjaya dilakukan ke atas ramai pesakit, tetapi ia berisiko bagi pesakit usia lanjut.

“Bagi golongan warga emas dan memiliki pelbagai masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi dan diabetes mereka tidak dibenarkan menjadi prosedur ini. Walaupun mungkin mereka berjaya mengharung pembedahan tetapi komplikasi selepas pembedahan mungkin sangat mencabar,” katanya.

Merujuk data di negara-negara Kesatuan Eropah, hampir 60,000 pembedahan gantian injap dilakukan setiap tahun. Bagaimanapun dua pertiga daripada mereka yang memerlukan pembedahan ini tidak boleh berbuat demikian atas faktor usia selain disebabkan mereka turut berhadapan dengan penyakit yang lain.

Bagaimanapun dengan prosedur TAVI, injap salur darah yang baru boleh diganti dalam masa yang singkat antara 45 minit ke dua jam setengah saja tanpa pembedahan terbuka.

Tiub dimasukkan melalui salur darah di bahagian peha atau bagi sesetengah pesakit di bahagian atas dada membolehkan alat mengganti injap ditanam. Alat yang disebut sebagai CoreValve itu bertindak melekat di dinding injap asal. Ia dimasukkan ke dalam kateter sebelum ditolak masuk ke dalam kawasan bermasalah. Injap gantian itu boleh mengembang dan berfungsi seakan injap asal secara automatik apabila berada dalam tubuh pesakit. Proses pengembangan dan fungsinya itu dipengaruhi oleh suhu badan pesakit dan denyut jantung pesakit.

Ini bermakna jika jantung tidak berdegup, injap baru itu tidak berfungsi.

Prosedur baru ini diiktiraf selamat dan tidak memerlukan degupan jantung dihentikan untuk mengantikan injap yang bermasalah.

Secara umum, Dr Rosli berkata, prosedur ini mengambil masa antara 45 minit hingga dua setengah jam. Bagaimanapun untuk pesakit pertama, pasukan perubatan IJN mengambil masa dua setengah jam kerana prosedur ini masih baru untuk petugas IJN selain memerlukan lebih ketelitian.

“Setakat ini prosedur TAVI dikhususkan kepada pesakit berusia lanjut. Bagi pesakit muda yang memiliki masalah sama, rawatan konvensional (pembedahan jantung terbuka) menjadi pilihan. Ini disebabkan injap gantian yang digunakan belum dibuktikan mampu bertahan dalam masa yang lama,” katanya.

Selain itu kosnya yang mahal (RM120,000) hanya untuk satu injap mungkin agak membebankan. Justeru, untuk menjadikan IJN mampu meneruskan prosedur ini kerajaan dan pelbagai pihak swasta diharap mampu memberi sokongan kepada IJN.

Jelas Dr Rosli, prosedur penanaman injap aortic melalui kateter sudah diperkenalkan di Eropah sejak lima tahun tahu. Ia dibangunkan bagi mengurangkan kemudaratan pada pesakit berbanding prosedur konvensional yang dijalankan. Selain itu ia memberi peluang kepada pesakit yang berusia lanjut dan memiliki pelbagai masalah kesihatan lain.

“TAVI adalah pilihan terbaru dunia perubatan. Apatah lagi masalah penyempitan salur darah injap jantung kronik dijangka meningkat di Malaysia berdasarkan jangka hayat penduduk Malaysia yang semakin meningkat,” katanya.

Selain Dr Rosli, pasukan perubatan IJN yang terbabit dengan prosedur Tavi termasuklah Ketua Pengarah Perubatannya, Datuk Dr Robaayah Zambahari, Pakar Bedah Jantung dan Torasik, Dr Jaswant Dillon dan Pakar Bedah Jantung Dr Shaiful Azmi, Pakar Bedah Kardiotorasik, Datuk Dr Mohd Azahari Yakub dan dua pakar bius Datuk Dr Mohamed Hassan Ariff dan Dr Sharifah Suraya.

Prosedur itu turut dibantu Pakar Runding Kardiologi kelahiran Malaysia yang berkhidmat di Ireland, Dr Ganesh Manoharan.