KAKI sering terabai dalam penjagaan kesihatan dan kecantikan walaupun ia sebenarnya berupaya menjadi penunjuk terbaik kesihatan dan perilaku seseorang.
Seorang podiatrist boleh mengetahui kesihatan anda keseluruhannya dengan hanya meneliti tapak kaki dan jari kaki. Tidak seperti chiropodist yang hanya memfokuskan mengenai permukaan kulit, podiatrist melihat kepada fungsi kaki dan kaitannya dengan tubuh.
Mike O’Neill, pakar bedah kaki di The Princess Margaret Hospital di Windsor berkata, podiatrist menjelaskan tanda-tanda awal yang ditunjukkan kaki dan jari kaki antaranya:
Keguguran bulu-bulu di jari kaki – dikaitkan masalah aliran darah:
Urat kebiruan pada kaki (bagi mereka yang berkulit putih) – tanda biasa yang akan muncul pada seseorang yang kuat merokok. Ia mungkin tanda awal penyakit jantung atau masalah di pembuluh darah.
Kemunculan kutil atau gelembung – ia mungkin tanda awal diabetes atau kasut yang dipakai terlalu ketat.
Kaki bengkak, masalah biasa bagi mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang atau jantung.
Dendi yang membengkak mungkin boleh dikaitkan dengan rheumatoid atau osteoarthritis.
Tumit yang kering dan merekah – ada kaitan dengan masalah kelenjar tiroid. jika anda mengalami masalah berat badan yang tidak tetap, lebih baik berjumpa doktor.
Kuku kaki yang mungkin berubah warna. Hijau menunjukkan adanya jangkitan bakteria. Hitam atau ‘brown’ biasanya tanda bengkak atau lebam tapi jika anda masih risau sila rujuk doktor anda kerana mungkin juga terjadi kanser di bawah kuku kaki.
Begitupun, jangan tunggu kaki anda bermasalah untuk dibelai dan dijaga. Seperti juga anggota tubuh yang lain, kaki boleh diurut dan dimanjakan. Apatah lagi kaki melangkah hingga 10,000 tapak sehari justeru, kaki memerlukan perhatian lebih bukan saja untuk kecantikan tapi kesihatan.
Urutan kaki boleh dibuat bila-bila masa sebagai sebahagian rawatan di rumah. Untuk urutan yang lebih menenangkan, campurkan dua sudu teh minyak zaiton, jojoba dengan tiga titik minyak lavender dan satu titik minyak geranium Jerman. Lebih bagus kalau campuran minyak ini dipanaskan terlebih dulu dan sejukkan sebelum digunakan. Atau gunakan saja minyak aromaterapi yang harum atau losyen pelembap.
Mulakan urutan dengan merehatkan kaki anda. Pegang kaki dan sapukan minyak dan urut dari buku lali ke kaki.
Urut kaki dengan belaian yang lembut bagi merangsang perjalanan darah di kaki dan memanaskannya. Kemudian, urut tapak kaki dan jari jemari secara bertentangan dengan langkah pertama tadi secara melawan jam. Kemudian urut mengikut urutan jam.
Mulakan langkah kedua dengan mengurut ibu jari dengan lembut sebelum memulas tiga kali kemudian tarik dan picit dengan lembut.
Gunakan ibu jari tangan dan picit ibu jari kaki dengan lembut dan urut hingga ke pangkal ibu jari. Urut jari jemari yang lain satu persatu selepas itu. Ulangi lagi dengan menggunakan ibu jari tangan yang lain dua pusingan.
Sekali lagi, guna ibu jari tangan untuk menekan ibu jari kaki ke bawah. Kemudian gunakan teknik yang sama pada jari jemari kaki yang lain. Ulang sekali lagi dengan menggunakan ibu jari tangan yang lain.
Pegang kaki dengan tangan, guna ibu jari untuk menekan tapak kaki dan garisan kaki hingga di tengah tapak kaki, mengikut garis ######tarsal. Ulang teknik yang sama pada jari jemari yang lain. Ini boleh membantu mengurangkan tekanan pada arch (lengkung kaki).
Mulakan urutan di tumit, gunakan ibu jari tangan untuk menekan tumit hingga ke hujung jari. Tekan sekuatnya dan urut ikut garis di kaki sebelum mengulang teknik yang sama secara berlawanan.
Akhir sekali, urut tumit dengan dua jari. Sebelum itu urut buku lali dengan mengikut dan melawan jam.
0 Comments Received
Leave A Reply