Strok haba, salah satu jenis penyakit berkaitan cuaca panas paling teruk, melibatkan gangguan neurologi yang spektrumnya boleh bermula dari perubahan perangai seperti marah, keliru sehingga menjadi koma!
Beliau berkata, seseorang itu boleh mendapat penyakit berkaitan cuaca dan haba. Hipertermia adalah suatu keadaan di mana suhu badan meningkat melebihi paras normal suhu badan manusia sekitar 37o Celsius yang bukan disebabkan oleh perubahan paras suhu yang telah ditetapkanpada pusat termoregulasi otak, hipotalamus.
Perubahan suhu badan harian yang normal berlaku dalam lingkungan perpuluhan lima hingga 1o Celsius sahaja.
Dr. Loong berkata, peningkatan cuaca dan suhu yang berlaku dengan ketara dan mendadak boleh mengganggu fungsi-fungsi sistem badan yang disebabkan oleh peningkatan suhu badan yang keterlaluan.
``Apabila terdedah kepada kepanasan yang keterlaluan, badan akan menyerap haba dan bukan lagi mengeluarkan haba.
``Ini ditambah dengan haba yang dijana oleh badan, maka badan perlu bekerja lebih keras untuk menghilangkan haba,'' katanya.
Apabila haba meningkat, hipotalamus iaitu bahagian otak yang berfungsi sebagai termostat tubuh yang terletak pada bahagian otak akan mengesan perubahan yang berlaku.
Ia sama ada mempengaruhi manusia untuk bertindak balas dengan cara sedar ataupun tidak. Secara sedar, seseorang itu akan melakukan sesuatu untuk menyejukkan badan seperti mencari tempat berteduh atau memasang alat penghawa dingin dan kipas.
Tindak balas hipotalamus yang tidak disedari pula memberikan kesan seperti vasodilatasi saluran darah dan peningkatan dalam perpeluhan supaya haba boleh hilang dengan lebih cepat.
Haba sama ada boleh hilang dengan cara penyejatan dan radiasi (meliputi 90 peratus cara kehilangan haba), konduksi ataupun konveksi.
Ahli sukan, pekerja yang banyak menghabiskan masa di bawah bahang panas, warga emas, orang obes, bayi atau kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, berisiko tinggi diancam strok haba, kata Dr. Loong.
Lain-lain terdiri daripada mereka yang mempunyai penyakit tertentu seperti masalah jantung, radang paru-paru dan mereka yang mengambil ubat-ubatan tertentu untuk merawat selesema, darah tinggi dan Parkinson.
Tambahnya, cuaca panas bukan setakat menyebabkan ketidakselesaan tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan manusia seperti mengalami masalah kulit, mata, selaran matahari (sunburn), ruam panas, kekejangan haba, edema haba, sinkope haba, kelesuan haba dan paling serius, strok haba.
``Tip terpenting ialah ilmu pengetahuan terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi agar boleh mengecam gejala ini dan mengambil tindakan sewajarnya,'' kata Dr. Loong.
0 Comments Received
Leave A Reply