Oleh Hafizah Iszahanid

Aedes boleh bertelur dalam setitik air

MALAYSIA sudah mengenali denggi sejak 1975. Namun, selepas 34 tahun denggi masih menjadi antara ancaman kesihatan utama di negara ini.

Pada peringkat gobal, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 2.5 bilion penduduk dunia terdedah kepada ancaman denggi, manakala 50 juta kes denggi dicatatkan setiap tahun. Malah, denggi turut menjadi wabak di lebih 100 negara.


Timbalan Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman, berkata denggi boleh disifatkan penyakit bandar. Malah di kawasan penempatan sesak, kes wabak denggi boleh melonjak sehingga 75 peratus.

“Walaupun denggi sudah lama wujud di Malaysia, kajian pada 2006 mendapati 50 peratus penduduk masih beranggapan mereka tidak akan diserang denggi, manakala 30 peratus lagi tidak peduli mengenainya,” katanya.

Kata Dr Hassan, masyarakat umum hanya membuat andaian nyamuk bertelur di dalam air bertakung, tetapi tidak ramai yang tahu telur nyamuk ini mampu bertahan tanpa air sehingga tiga bulan. Malah struktur ketahanan larva atau jentik-jentik itu memungkinkan nyamuk bertelur walaupun hanya dalam setitik air.

“Aedes juga berupaya terbang sehingga 400 meter. Walaupun kementerian melancarkan program Combi (Program Komunikasi Perubahan Tingkah Laku), malangnya tidak semua kawasan melaksanakannya. Secara perbandingan, setakat ini ada 900 zon yang melaksanakan Combi.

“Kita dapati, kes denggi lebih rendah di kawasan Combi berbanding kawasan yang tidak melaksanakan program itu,” katanya.

Mengenai vaksin antidenggi, Dr Hassan berkata, setakat ini lima daripadanya masih dalam ujian percubaan, manakala dua lagi masih pada tahap penilaian. Ini menyebabkan vaksin itu tidak mungkin dapat disiapkan dalam masa lima tahun.

Apa yang pasti, hampir setiap hari, kita terus dibayangi kebimbangan mengenai kes demam denggi yang seakan-akan tiada surutnya. Buktinya, bagi tempoh seminggu iaitu 27 Disember 2009 hingga 2 Januari lalu, sejumlah 876 kes demam denggi dicatatkan, termasuk tiga kematian dilaporkan di seluruh negara. Jumlah itu meningkat 60 kes berbanding minggu sebelumnya.

Secara keseluruhannya, Sabah mencatatkan peningkatan kes ketara sebanyak 187 peratus, diikuti Melaka 133 peratus, Kedah 67 peratus dan Perak 31 peratus. Jumlah terkumpul kes demam denggi setakat 2 Januari adalah 41,486 dengan 88 kematian.

Kebanyakan kes membabitkan kematian dikaitkan dengan komplikasi demam denggi seperti demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.

Dr Hassan berkata, ada banyak faktor demam denggi semakin bertambah. Selain ketibaan angin monsun timur laut (November 2009 hingga Mac 2010) perpindahan penduduk ke bandar, masalah bekalan air dan pembukaan kawasan penempatan baru yang sebahagiannya tidak terancang.

INFO: Denggi Berdarah

  • Gejala awal demam denggi berdarah hampir sama dengan denggi. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian pesakit mula berpeluh, resah dan sakit sendi. Pendarahan akan berlaku pada liang kecil di kulit. Demam denggi berdarah boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ.


Sindrom Renjatan Denggi
  • Bagi kes yang serius, keadaan pesakit merosot dengan mendadak selepas demam beberapa hari.
  • Antara gejala kegagalan peredaran darah ialah kulit pesakit menjadi dingin, lebam dan padat dengan darah terkumpul, sianosis sirkumoral (circumoral cyanosis) dan pesakit berasa tidak selesa.
  • Seterusnya, melarat ke tahap renjatan yang kritikal seperti denyutan nadi yang lemah dan cepat, tekanan darah rendah, kulit menjadi dingin serta lembap dan berasa tidak selesa.
  • Pesakit yang mengalami renjatan berada keadaan bahaya dan boleh mengancam nyawa jika rawatan bersesuaian tidak diberikan segera.
  • Jangka masa renjatan pendek. Pesakit mungkin meninggal dunia dalam tempoh 12 - 24 jam atau sembuh dengan cepat selepas diberi terapi antirenjatan.


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.