Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my




ADA banyak pertikaian mengenai penggunaan vaksin kebelakangan ini dan paling kerap diperkatakan ialah mengenai keberkesanan penggunaannya dalam membentuk imuniti, khususnya di kalangan kanak-kanak.

Mereka yang menyokong menganggapnya penting, manakala yang berpandangan sebaliknya menganggap suntikan itu menjejaskan sistem daya tahan badan si kecil ini.

Hakikatnya, semua berhak memberi pandangan masing-masing. Walaupun bukan semua orang memerlukan vaksin, tetapi golongan berisiko seperti kanak-kanak khususnya, vaksin adalah cara mudah mendapatkan perlindungan jika dibandingkan dengan mendapat imuniti daripada sesuatu penyakit hanya selepas diserang penyakit berkenaan.


Secara ringkasnya, vaksin adalah persiapan biologi untuk memperbaiki imuniti kanak-kanak terhadap sesuatu penyakit. Ia mengandungi virus atau bakteria yang mati atau dilemahkan.

‘Agen’ itu kemudian merangsang sistem imun badan untuk mengenal pasti bahan asing dalam tubuh, memusnahkannya dan ‘merekod’ kehadirannya. Apabila benda asing itu menyerang sistem imun sekali lagi, ia mudah dikenali dan dimusnahkan.

Pakar Runding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata kanak-kanak di Malaysia beruntung kerana kebanyakan vaksin mencegah penyakit yang boleh mengancam kesihatan, diberikan secara percuma di negara ini.


Ia seperti vaksin yang diberikan untuk melindungi daripada penyakit seperti polio, tetanus, batuk kokol dan campak.

“Malah, hasil usaha program pelalian itu ancaman polio atau campak sudah jarang dikesan di kalangan kanak-kanak tempatan. Namun, banyak kes pneumokokal, satu lagi penyakit yang mengancam nyawa, dicatatkan bukan saja di kalangan kanak-kanak di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Pneumokokal ialah penyakit berjangkit yang berpunca daripada bakterium Streptococcus pneumoniae. Ia boleh menyebabkan jangkitan pada salur darah, meningitis (jangkitan pada air tulang belakang atau sekitar otak) dan radang pada paru-paru,” katanya.

Bakterium yang sama juga menyebabkan berlaku jangkitan pada telinga tengah yang boleh menyebabkan pekak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan antara 700,000 hingga sejuta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah meninggal dunia kerana pneumokokal setiap tahun.

“Kanak-kanak yang berusia di bawah usia dua tahun sangat berisiko tinggi terhadap serangan pneumokokal ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Zulkifli, pneumokokal mudah dicegah. Seperti bakal jemaah haji mengambil suntikan meningitis sebelum ke Makkah, pelalian juga menjadi cara terbaik untuk memberi imuniti kepada kanak-kanak daripada diserang penyakit ini.

Walaupun jenis pneumokokal yang menyerang kanak-kanak dan dewasa berbeza, kedua-duanya boleh dicegah dengan vaksin. Pelalian ini sudah lama berada di pasaran tempatan biarpun belum disenaraikan dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan. Disebabkan permintaan yang masih kurang, harganya sangat mahal.

INFO: Senarai suntikan percuma untuk kanak-kanak

  • Batuk kering
  • Diphtheria
  • Tetanus
  • Pertussis (Batuk kokol)
  • Haemophilus Influenzae Type B
  • Hepatitis B
  • Polio
  • Beguk
  • Campak
  • Rubella
    Sumber: Kementerian Kesihatan