Oleh Hafizah Iszahanid




Saiz tak sempurna, salah cara berjalan punca sakit belakang

SEPASANG kaki milik anda bukan hanya untuk berjalan, berlari atau melompat. Sepasang kaki itu juga akar kepada kesempurnaan kesihatan.

Walaupun setiap orang memiliki sepasang kaki, tetapi setiap kaki tidak sama. Ada individu yang memiliki ukuran kaki berbeza atau gerbang tapak kaki yang tidak serupa. Ada individu yang tidak memiliki gerbang tapak kaki langsung.


Bentuk kaki mempengaruhi lenggang lengguk anda berjalan. Bentuk kaki yang tidak sempurna saiznya akan mengganggu keseimbangan seluruh tubuh. Sama seperti prinsip asas kejuruteraan, tapak yang tidak kuat tidak berupaya menampung beban. Pergerakan sendi yang tidak normal boleh menjejaskan pergerakan sendi lain yang normal.

Kaki yang tidak sempurna saiznya atau cara berjalan yang tidak menggunakan seluruh kekuatan kaki akan menyebabkan individu itu sakit belakang. Ada kalanya, sakit belakang yang berpanjangan sebenarnya berpunca daripada saiz kaki yang tidak sempurna atau cara berjalan yang tidak betul.

Ketua Pengarah Eksekutif eChiro Lab, Edward Yong berkata kaki yang tidak seimbang memberi kesan pada lutut, kawasan pelvik dan tulang belakang yang dikenali sebagai kesan rantaian kinetik.

Mesin imbasan tapak kaki.

“Setiap orang lahir dengan perbezaan bentuk gerbang kaki dan bentuk kaki kerana semua itu diwarisi secara genetik. Namun, apabila kita tahu ketidakseimbangan itu menjejaskan postur tubuh malah menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang, langkah pemulihan perlu diambil,” katanya.

Yong berkata, ketidakseimbangan dalam postur tubuh akan membuatkan kaki kerap tergelincir daripada kasut. Manakala mereka yang memiliki gerbang kaki yang tinggi cenderung untuk mengalami sakit tengkuk dan bahu.

“Ada kalanya, gerbang kaki berubah kerana tulang kaki. Misalnya, wanita yang kerap menggunakan kasut tumit tinggi memiliki gerbang yang tinggi,” katanya.

Jelas Yong, bentuk kaki yang tidak sempurna boleh menjadi punca seseorang itu mengalami masalah pinggul, lutut (arthritis dan osteoarthritis), masalah tumit, sakit belakang malah kadang kala mungkin melangkaui hingga radang pada tendon.

Postur tubuh sempurna bermula dengan sepasang kaki.

Manakala tekanan pada tulang di paha (tibia dan femur) boleh menyebabkan lutut juga tertekan dan mungkin menyebabkan pelvik dan tulang belakang teralih. Jika tekanan itu lebih kerap pada sebelah bahagian badan saja, ia menyebabkan paras pelvik antara tubuh kanan dan tubuh kiri tidak sama.

Pergerakan pelvik yang tidak sama menyebabkan tekanan pada otot dan tisu yang kemudiannya menyebabkan sakit belakang yang kronik.

Justeru pelapik pemulih (corective orthotics) biasanya menjadi pilihan bagi mereka yang ingin memperbaiki postur dan keseimbangan tubuh.

Jelas Yong, pelapik pemulih dibuat khas untuk individu dan ia dihasilkan selepas imbasan tapak kaki dibuat. Di Malaysia, antara teknologi imbasan tapak kaki terkini adalah menerusi imbasan tapak kaki yang dibina sejak 1994 oleh RSscan Antarabangsa.

Mesin imbasan ini memiliki kelajuan dan mempunyai resolusi tinggi yang boleh rakam lebih 500 imej dalam masa sesaat selain mampu menganalisis agihan tekanan atau paksaan tekanan yang ditanggung sepasang kaki.

“Menerusi imbasan tapak kaki, lenggang lenggok dinilai. Analisa lenggang lenggong adalah perincian cara anda berjalan,”katanya.

Jelas Yong, mesin imbasan kaki boleh menangkap hingga 1,500 imej kaki ketika melangkah. Daripada situ bebanan kaki anda boleh diketahui. Imbasan tapak kaki juga boleh memberitahu berapa berat beban yang anda tanggung dan adakah cara anda berjalan itu berpotensi memberi masalah kepada sistem tubuh anda.

“Melalui imbasan tapak kaki kami boleh mengetahui mengapa seseorang itu kerap berhadapan dengan kesakitan pada bahagian pinggul atau lutut,”katanya.

Daripada analisa itu juga, pelapik pemulih dibuat. Pelapik pemulih juga bukan hanya untuk mereka yang berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan postur tubuh tetapi juga pesakit diabetes. Malah, jika masalah ketidakseimbangan postur tubuh dikesan awal, pelapik pemulih boleh dipakai sejak seawal usia, misalnya sejak berusia 10 tahun.

Menstabilkan dan menyeimbangkan kaki melalui pelapik pemulih membantu mengurangkan kesakitan pada lutut terutamanya akibat beban berat tubuh yang ditanggung.

INFO: Siapa yang memerlukan pembentukan semula kaki?

  • Mereka yang ada masalah bahagian bawah tulang belakang
  • Berhadapan dengan masalah pinggul
  • Masalah lutut - sakit seperti arthiris dan oesteoarthritis
  • Masalah tumit dan kaki