Oleh Dr Chew Nee Kong




Penyakit serang sesiapa saja tanpa mengira jantina, umur, status sosial, budaya atau latar belakang kerjaya

SALAH faham yang biasa mengenai Parkinson ialah ia dikaitkan dengan penyakit orang tua. Hakikat sebenarnya, 15 peratus daripada mereka yang didiagnosis dengan Parkinson berusia 50 tahun ke bawah. Parkinson boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira jantina, umur, status sosial, budaya atau latar belakang kerjaya.

Parkinson ialah masalah gangguan otak yang berlaku apabila sel saraf tertentu atau neuron dalam otak mati atau rosak. Ia menyebabkan sel saraf berkenaan tidak lagi menghasilkan bahan kimia yang dikenali sebagai dopamine (yang bertindak memudahkan kelancaran koordinasi dan fungsi otot). Apabila 80 peratus neuron ini, mati atau rosak, Parkinson terjadi.


Antara gejala Parkinson ialah menggeletar (tremors), kelambatan pergerakan, kejang, sukar melakukan imbangan badan, tulisan jadi kejang, air muka menjadi kaku, terpaksa berjalan merangkak, sukar untuk bertutur dan menjadi murung.

Adalah sukar untuk mendiagnosis penyakit ini kerana tiada pemeriksaan yang khusus untuk mengesahkan seseorang menghidapnya. Diagnosis hanya boleh dibuat melalui sejarah perubatan pesakit dengan melakukan siri pemeriksaan fizikal.

Parkinson bukan setakat gangguan pergerakan, sebaliknya boleh menjejaskan pesakit dari segi emosi. Mereka berhadapan dengan kemurungan, kekeliruan, halusinasi, gusar, nyanyuk, gangguan usus, hilang deria bau dan mengalami gangguan tidur.

Sungguhpun sudah diketahui bertahun lamanya, Parkinson masih tiada penawar. Kehilangan sel otak berterusan menyebabkan penyakit semakin teruk. Kerosakan tidak dapat dielakkan dan gangguan psikiatrik terjadi lebih kerap, terutama apabila keadaan penyakit itu mencapai tahap teruk.

Ramai juga pesakit mengalami pergerakan badan secara tidak sengaja kerana ubat yang diambil kurang berkesan apabila penyakit itu sudah sampai ke tahap lebih serius. Semua komplikasi ini mengakibatkan berlaku kecacatan jangka panjang kepada pesakit Parkinson yang akan membabitkan hampir semua aspek kehidupannya - dari segi fizikal, pekerjaan dan sosial.

Disebabkan sebahagian besar daripada gejala Parkinson berpunca akibat kekurangan dopamine, ubat-ubatan yang biasanya digunakan akan mengganti atau meniru ciri-ciri dopamine bagi mengurangkan rasa menggeletar, mengurangkan kekakuan dan kelambatan pergerakan yang dikaitkan dengan penyakit Parkinson.

Preskripsi ubat biasanya bergantung pada tahap seriusnya penyakit, umur pesakit selain tahap boleh terima ubat yang digunakan.

Bagaimanapun, fakta yang perlu diterima ialah tahap kehilangan upaya fizikal pesakit Parkinson semakin lama menjadi semakin teruk. Selepas 10 hingga 15 tahun, ramai daripada mereka akan menghadapi kesukaran untuk menjalani aktiviti harian walaupun mengambil rawatan ubat yang maksimum (dalam kombinasi kelas ubat yang banyak).

Pesakit Parkinson hanya boleh pulih pada tahap 90 peratus saja, walaupun mereka mengambil ubat yang terbaik. Rawatan bagi penyakit Parkinson tidak boleh menggantikan sepenuhnya kekurangan dopamine dalam otak.

Apabila keadaan penyakit menjadi semakin serius dan gejala penyakit tidak lagi dapat dikawal melalui pengambilan ubat, contohnya, keadaan menggeletar yang semakin tidak boleh dikawal, pembedahan otak adalah antara cara mungkin berkesan dalam mengurangkannya. Namun, pembedahan Deep Brain Stimulation (DBS) - Stimulasi Otak Dalam - boleh didapati di Malaysia tetapi kos rawatannya sangat mahal.

Rawatan sel stem (melalui pemindahan) bagi mengubati Parkinson semakin mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, rawatan sel stem yang dilakukan di Barat, belum lagi dapat membuktikan keberkesanannya. Banyak isu teknikal perlu diselesaikan sebelum ia disyorkan untuk mengubati pesakit Parkinson. - Penulis ialah Pakar Runding Neurologi, Hospital Pantai Cheras.