Oleh Hafizah Iszahanid




Skoliosis penyebab kaki pendek, sakit belakang kronik, selain jejaskan pernafasan

TULANG belakang yang membengkok atau skoliosis, bukanlah satu penyakit. Ia sebaliknya rujukan yang digunakan bagi menjelaskan keadaan bengkok yang berlaku pada tulang belakang.

Secara umumnya, tulang belakang secara semula jadi sememangnya bengkok sedikit bagi membantu bahagian atas badan mengekalkan keseimbangan jajaran pelvik. Bagaimanapun, apabila terlalu bengkok, inilah yang dimaksudkan sebagai skoliosis.


Remaja perempuan lebih kerap dikesan dengan masalah skoliosis, terutama jenis idiopathik skoliosis iaitu satu keadaan tulang belakang yang membengkok tanpa diketahui sebabnya dan berlaku sejak kecil lagi. Tulang belakang yang membengkok ini pula membentuk seakan-akan huruf C atau pun S.

Lazimnya, ia membabitkan kawasan bahagian atas belakang atau bahagian antara atas belakang dan bawah belakang badan. Bagaimanapun, ia juga mungkin hanya berlaku pada bawah belakang.

Pakar Runding Ortopedik Hospital Pakar Shah Alam, Dr Ariff Sukimin Mohd Shukri, berkata dalam beberapa jenis kes skoliosis, idiopatik skoliosis adalah yang paling biasa dikesan.

“Ia kerap kali dikesan di kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 16 tahun. Walaupun lelaki dan perempuan memiliki kecenderungan yang sama untuk berdepan dengan skoliosis, tetapi remaja perempuan lebih kerap dikesan dengan idiopathik skoliosis,” katanya.

Untuk remaja lelaki, masalah tulang belakang yang membengkok memerlukan pemeriksaan lanjut, malah skoliosis di kalangan lelaki ada kalanya memaparkan komplikasi daripada masalah lain.

Dr Ariff berkata, andai dibiar tanpa rawatan, waktu paling berisiko bagi pesakit ialah ketika mencecah usia akil baligh, kerana ketika itu pertumbuhan tulang pesakit sangat pantas.

Walaupun skoliosis umumnya mudah dikesan, tetapi bagi kes yang tidak teruk, seseorang itu hanya menyedari kelainan pada tulang belakangnya selepas membuat imbasan sinar-X ketika pemeriksaan kesihatan.

“Bagi kes yang tidak teruk, skoliosis mungkin boleh ditangani dengan terapi tetapi bagi kes serius, individu yang bermasalah itu perlu menjalani pembedahan,” katanya.

Kata Dr Arif, bagi kebanyakan kes yang membabitkan kanak-kanak perempuan, masalah tulang bengkok yang tidak dirawat akan menjadi semakin teruk. Tulang akan semakin membengkok apabila pesakit itu semakin membesar sekali gus menjejaskan penampilan dan pergaulan sosial penghidapnya.

“Mengesan skoliosis mudah. Apabila pesakit membongkok, belakang badannya tidak selari. Tulang belakang yang membengkok akan menonjol,” katanya.

Selain itu, mereka yang berhadapan dengan masalah skoliosis mengalami masalah sakit belakang yang kronik, kaki pendek sebelah, selain bahu juga tinggi sebelah dan pinggul yang tidak selari.

Pesakit yang tidak mendapat rawatan akan-akan semakin menderita seiring usianya. Tulang belakang bengkok menjejaskan jantung dan paru-paru dan menyukarkan pernafasan. Skoliosis yang progresif akan menjejaskan bahagian bawah tulang belakang (lumbar spine).

Pembedahan selalunya jalan terakhir apabila tulang belakang yang membengkok itu tidak boleh dipulihkan dengan terapi. Bagaimanapun, kosnya sangat mahal kerana memerlukan implan dipasang pada hampir sepanjang tulang belakang.

INFO: Skoliosis

  • Kerap dialami kanak-kanak dan remaja 10-16 tahun
  • Remaja perempuan kerap alami jenis idiopathik skoliosis
  • Mudah dikesan apabila membongkok, belakang badan tidak selari dan tulang belakang menonjol
  • Kes tidak teruk dirawat dengan terapi dan yang serius perlu dibedah.