Perut besar sebabkan otak kecil


SEMAKIN gemuk semakin tinggi
risiko menghidap dementia.


INDIVIDU yang mempunyai lebihan lemak terutama di bahagian tengah perut berisiko menghidap dementia.

Kajian oleh penyelidik di Sekolah Perubatan Universiti Boston, Amerika Syarikat (AS) terhadap 700 orang dewasa menunjukkan individu yang memiliki berat badan berlebihan mempunyai volum otak yang kecil iaitu penyebab utama dementia.

Menurut laporan Annals of Nuerology, penemuan itu cukup tinggi terhadap mereka yang mempunyai kandungan lemak visceral, sejenis tisu lemak yang di dapati di sekeliling organ.

Penyelidik tersebut mengambil kiraan indeks jisim badan (BMI), ukur lilit pinggang dan menggunakan pengimbas bagi melihat kuantiti lemak pada perut.

Keputusan menunjukkan, semakin tinggi angka BMI, kapasiti otak semakin menurun.

EKSTRA: Kandungan tinggi hormon yang mengawal selera makan terbukti mampu mengurangkan risiko penyakit Alzheimer. Kajian selama 12 tahun melibatkan 200 sukarelawan menunjukkan mereka yang mempunyai kadar hormon leptin rendah lebih cenderung mendapat penyakit tersebut.

Hormon leptin terhasil menerusi sel lemak dan ia berfungsi memberitahu otak bahawa badan telah kenyang sekali gus bertindak mengurangkan selera makan. Potensi hormon leptin sebagai senjata dalam menangani masalah obesiti telah lama diketahui.