Faktor menyebabkan kitaran haid tidak teratur

Alangkah seronoknya kalau kita dapat mengawal haid yang datang tiap-tiap bulan seperti paip. Apabila tiba masanya, kita hanya perlu buka paip dan membiarkan semua darah keluar, apabila sudah habis mengalir boleh tutup balik paip sampai bulan depan!

Tetapi badan kita lebih kompleks daripada itu, dan ia tertakluk kepada perubahan-perubahan dalaman, seperti berat badan yang menaik atau menurun, stress dari segi fizikal dan emosi dan beberapa lagi masalah perubatan, termasuk thyroid, kencing manis dan masalah hormonal.

Keadaan yang dialami ini berkaitan dengan masalah pengeluaran telur dari ovari pada tiap-tiap kitaran haid. Adalah proses naluri badan kita pada tiap kitaran haid, rangsangan hormon yang dikeluarkan dari ovari akan menyesuaikan badan untuk mengandung. Itulah sebabnya buah dada membengkak, badan terasa buncit dan berbagai lagi perasaan yang termasuk dalam keadaan yang dipanggil sindrom pre-menstual. Jika telur itu tidak disenyawakan oleh sperma, kandungan tidak berlaku dan selepas suatu masa tertentu, darah haid akan keluar dan proses mengeluarkan telur atau ovulasi, berlaku lagi.

Ada kalanya, jika ovulasi tidak terjadi pada satu kitaran, hormon dari ovari menjadi tidak seimbang, menyebabkan haid lambat datang, seperti yang dialami oleh puan. Saya cadangkan puan tanda pada kalendar tiap-tiap kali datang haid supaya dapat mengetahui berapa lama setiap kitaran, jika ia dalam lingkungan 35 hari atau lebih sedikit, ini masih lagi normal. Kalau ia terlebih satu bulan, tetapi pada bulan-bulan lain mengikut masa, saya rasa puan jangan terlalu bimbang, badan puan sendiri sudah membetulkan kitarannya.

Begitu juga dengan aliran darah yang keluar. Lapisan dalaman rahim akan menebal mengikut kitaran juga, bila tiba masa haid, lapisan ini akan gugur dan ini menyebabkan perdarahan. Jadi apa yang keluar bukan semata-mata darah, tetapi sisa lapisan dalam (yang dipanggil secretory endometrium). Pada awalnya hanya sedikit dihakis dulu yang tidak menyebabkan perdarahan yang banyak dan berupa warna coklat. Apabila lebih banyak dihakis, lebih banyak perdarahan berlaku dan ia akan keluar merah pekat kehitaman. Apabila perdarahan berhenti, apa yang tertinggal di dalam akan berubah disebabkan proses degenerasi darah dan tisu dan inilah yang berwarna coklat yang akan keluar hingga lendir menjadi putih kembali. Jika sudah mengandung, anda akan bebas daripada haid selama sembilan bulan, ia tidak menjadi masalah lagi!