Demam kepialu merupakan sejenis penyakit yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh bakteria Salmonella thypi (S. thypi).
Ia biasa ditemui di beberapa bahagian negara membangun. Pertubuhan
Kesihatan Sedunia menganggarkan, sebanyak 16 juta kes demam kepialu
berlaku saban tahun. Kira-kira 600,000 daripadanya meragut nyawa.
Demam kepialu boleh dicegah melalui pemvaksinan dan biasanya boleh
dirawat dengan penggunaan antibiotik bagi mengurangkan tempoh kesakitan
serta mengurangkan gejala-gejalanya.
Bagaimanakah ia menular?
S. thypi hanya berumah di dalam tubuh manusia. Seseorang yang
menghidap penyakit ini akan membawa bakteria di dalam saluran darah dan
saluran pencernaan mereka.
Sebilangan kecil daripada pesakit yang dinamakan sebagai pembawa,
pulih daripada penyakit ini tetapi terus membawa bakteria di dalam
badannya.
Apabila kedua-dua pesakit dan pembawa membuang air besar, S. thypi turut dikeluarkan bersama-sama najis.
Anda boleh jatuh sakit sekiranya memakan makanan dan meminum minuman
yang dikendalikan oleh seseorang yang mengeluarkan S. thypi ataupun,
jika sisa kumbahan tercemar dengan bakteria S. thypi memasuki air yang
anda gunakan untuk minum atau membersihkan makanan.
Oleh kerana itu, demam kepialu sering ditemui di tempat-tempat di
mana penduduknya kurang mengamalkan membasuh tangan manakala airnya
mungkin tercemar dengan sisa kumbahan.
Sekali bakteria S. thypi dimakan atau diminum, ia akan membahagi dan
merebak ke dalam saluran darah dan badan akan bertindak balas dengan
menunjukkan beberapa gejala seperti demam.
Langkah-langkah pencegahan
Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat mencadangkan dua tindakan asas bagi melindungi diri anda daripada demam kepialu:
1. Rebus, masak, kupas atau lupakan sahaja.
Elakkan makanan serta minuman yang berisiko. Ini mungkin mengejutkan
anda tetapi melihat apa yang anda makan dan minum terutamanya semasa
dalam perjalanan adalah sama pentingnya seperti anda mendapat pelalian.
Dengan menghindari makanan berisiko juga mampu melindungi diri anda
daripada lain-lain penyakit seperti cirit-birit, kolera/taun, disenteri
dan hepatitis A.
2. Dapatkan pemvaksinan.
Jika anda menetap atau dalam perjalanan menuju ke negara yang biasa
diserang wabak demam kepialu, anda perlu menimbangkan pemvaksinan
menentang demam kepialu. Berjumpalah dengan doktor untuk mengetahui
lebih lanjut tentang pilihan vaksin anda.
Apakah gejala-gejala demam kepialu?
- Demam tinggi yang berpanjangan, setinggi 39o hingga 40o Celsius
- Badan terasa lemah dan tidak bermaya
- Sakit perut dan hilang selera makan
- Sakit perut
- Dalam sesetengah kes, pesakit akan mengalami ruam bertompok warna merah jambu (seperti bunga mawar)
- Satu-satunya cara untuk mengesahkan sama ada seseorang itu
menghidap demam kepialu adalah dengan cara menguji sampel najis atau
darah bagi mengesan kehadiran S. thypi.
Apakah yang boleh anda lakukan?
Jika anda mengesyaki diserang demam kepialu, segeralah berjumpa doktor.
Mereka yang diberikan antibiotik lazimnya akan mula menunjukkan
tanda-tanda pulih dalam tempoh dua hingga tiga hari. Kematian jarang
berlaku jika pesakit mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, pesakit yang tidak mendapatkan rawatan akan terus
mengalami demam sehingga berminggu dan berbulan lamanya. Sebanyak 20
peratus daripada mereka akan meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi
jangkitan.
Bahayanya tidak akan berakhir...
Sekalipun gejalanya kelihatan seperti telah tiada, namun, anda masih berkemungkinan membawa S. thypi.
Jika demikian, penyakit itu mungkin datang semula dan anda dalam
masa yang sama boleh menyebarkan demam kepialu kepada orang lain.
Malah, jika anda terlibat dalam kerja-kerja mengendalikan makanan
dan menjaga kanak-kanak kecil, anda mungkin dilarang meneruskan tugas
sehinggalah doktor benar-benar pasti anda tidak lagi membawa bakteria
S. thypi.
0 Comments Received
Leave A Reply