JANGAN mudah percaya jika anda melihat wajah bintang pujaan anda yang kelihatan begitu menyerlah dan cantik di dada-dada akhbar mahupun majalah.
``Kalau ia nampak begitu cantik dan mengasyikkan seolah-olah ia terlalu bagus pada hakikatnya, tanggapan anda mungkin ada betulnya,'' kata Craig Jessup.
Amaran itu dikeluarkan oleh seorang jurusolek celebrity Hollywood ketika ditanya tentang raut wajah para artis di tempatnya yang tidak dimamah usia.
Bukan sahaja nama-nama seperti Kylie Minogue, Demi Moore dan Madonna tidak nampak tua, malah mereka juga nampak lebih muda daripada sebelumnya.
Bagaimanakah itu semua mungkin terjadi?
Daripada faktor genetik ke gaya hidup sihat, grooming, teknik foto dan pencahayaan, warna mekap, potongan rambut, kerja keras hasil bantuan jurulatih peribadi, pembedahan plastik serta pelbagai kaedah rawatan meremajakan kulit - semuanya memainkan peranan.
Pakar kecantikan yang bekerjasama dengan Jessup pula berkata, tidak kurang juga individu yang menjadi bertambah menawan selaras peningkatan usianya.
``Seseorang juga akan kelihatan semakin berseri-seri apabila dia menjadi seorang yang lebih terkenal,'' ujar beliau.
Pakar Estetik dan Antipenuaan, salah sebuah pusat perubatan estetik swasta di Klang, Selangor, Dr. Alice Prethima Michael berkata, proses penuaan menyebabkan perubahan tertentu pada kulit.
``Apabila usia bertambah, kolagen dan elastin iaitu serat yang mengekalkan ketegangan kulit akan menjadi lemah.
``Akibatnya, kulit menjadi longgar dan tidak kejap, menipis dan kehilangan lemak - membuatkan ia kelihatan tidak tegang dan berkedut,'' katanya.
Dalam pada perubahan-perubahan itu berlaku, graviti turut melaksanakan tugasannya dengan menarik-narik kulit, menyebabkannya menjadi kendur.
Menurutnya, matahari menjadi penyebab utama perubahan kulit.
Berapa banyak seseorang itu terdedah kepada sinarannya akan menentukan sejauh manakah kedutan pada kulit.
``Pendedahan terhadap cahaya matahari semasa remaja mahupun kanak-kanak memberikan impak yang besar kepada kulit pada usianya 30, 40 atau 50 tahun.
``Sebab itulah, pemakaian pelindung sinaran ultraungu adalah sangat penting dan menjadi asas dalam penjagaan kulit terutamanya pada bahagian wajah,'' katanya.
Merokok juga menjadi faktor penyumbang kepada kulit yang berkedut selain turut bergantung kepada ibu bapa kerana ia cenderung diwarisi.
Dr. Alice berkata, terdapat beberapa kaedah bagi merawat tanda-tanda penuaan seperti asid retinoik dalam menterbalikkan kesan-kesan kerosakan akibat matahari.
Sementara itu, garis-garis halus yang disebabkan oleh ekspresi wajah selama bertahun-tahun seperti senyum, mengelipkan mata, ketawa, mengunyah mahupun mengerutkan dahi boleh dirawat dengan beberapa teknik lain sama ada secara suntikan mahupun laser.
Botox, kata Dr. Alice, jenama singkatan daripada Botulinum Toxin merupakan rawatan awet muda yang berasal daripada racun clostridium botulinum, muncul pilihan nombor satu celebrity Hollywood.
``Suntikan `susuk moden' itu bertindak dengan cara menghalang penghasilan bahan kimia neurotransmiter asetilkolin oleh hujung-hujung saraf yang menghantar impuls pengecutan otot.
``Ringkasnya, ia menghalang saraf daripada menyampaikan mesej kepada otot-otot agar mengecut, sebaliknya merehatkan otot-otot,'' katanya.
Dalam sejarah industri kosmetik, tidak ada satu rawatan seumpamanya yang begitu pantas berkembang di dalam pasaran seperti mana botox meraih perhatian umum.
Khabar angin yang bertiup kencang mengaitkan penggunaan prosedur tidak sampai setengah jam ini dengan bintang-bintang terkemuka Hollywood.
Walaupun tidak mengakuinya secara terbuka tetapi Sylvester Stallone, Elizabeth Hurley, Celine Dion, Kim Bassinger dan pengacara American Idols, Ryan Seacrest dipercayai memakai botox.
Hanya beberapa orang yang berani membuat pengumuman terbuka mengenainya seperti aktor Cliff Richard, pelakon komedi Joan Rivers dan aktres Annie Potts.
Dan, apa-apa sahaja yang menjadi kegilaan para bintang Hollywood yang menjadi medan uji kaji oleh para pakar di bidang itu yang sama ghairahnya, turut menjadi obsesi di kalangan para peminat.
Malah, bahangnya turut sampai ke mari dan anda tidak mampu meneka sama ada orang yang duduk di sebelah anda pun menggunakan prosedur tersebut ataupun tidak.
Di sebalik kehebatannya itu, FDA melahirkan kebimbangan akan potensi botox yang kini diambil seolah-olah vitamin biasa, daripada disalah guna.
Isnin lalu, sepasang suami isteri di New York lumpuh satu badan selepas disuntik dengan cecair rawatan botox palsu yang mengandungi bahan toksin 2,000 kali ganda lebih kuat berbanding suntikan botox biasa.
``Botox merupakan preskripsi ubat-ubatan yang sangat kritikal dikendalikan oleh pakar berkelayakan sahaja, dalam suasana perubatan yang bersesuaian.
``Jika tidak kena caranya, seperti suntikan yang berlebihan misalnya, boleh menyebabkan kelopak mata atas terkulai ke bawah (ptosis) selain mengancam nyawa,'' kata Dr. Alice.
Beliau menjelaskan, sebenarnya, terdapat beberapa alternatif dalam rawatan memberikan keremajaan semula pada wajah di dalam pasaran.
Ia sesuai dilakukan oleh individu dengan gaya hidup yang sibuk dan tidak memerlukan cuti atau masa pemulihan yang panjang.
``Rata-ratanya hanya memakan masa lebih kurang 45 minit, waktu rehat selepas prosedur yang sangat sekejap (boleh meninggalkan klinik dengan segera).
``Proses penyembuhannya juga pantas dan paling penting, ketidakselesaan yang minimum darinya,'' katanya.
Antara soalan yang boleh diajukan kepada doktor sebelum prosedur dimulakan adalah dari segi kelayakannya, hasil yang boleh dijangkakan, jangka masa rehat, risiko, komplikasi serta kosnya.
Berikut adalah antara beberapa prosedur rawatan kosmetik terkini dan sebahagiannya semakin popular bagi masalah kulit menua:
* Mesoterapi
Gabungan vitamin, mineral, ubat-ubatan dan asid amino (isipadu jumlah mengikut kesesuaian individu) disuntik menggunakan jarum yang sangat halus, secara langsung di bawah permukaan kulit yang disasarkan.
Ia membantu melawan radikal bebas, merangsang fibroblas yang menghasilkan serat kenyal, kolagen dan elastin di samping mendorong ######bolisme badan.
Selain kegunaannya untuk merawat kedutan di muka, mesoterapi juga boleh digunakan untuk mengurangkan berat badan, selulit, keguguran rambut, menghapuskan kesan parut dan membentuk badan.
* Laser
Menggunakan tenaga laser karbon dioksida (CO2) atau sumber cahaya yang dipancarkan ke atas kulit yang kemudiannya diserap oleh cecair di dalam sel-sel kulit, sekali gus menegangkan kedutan dan garis-garis halus.
Sel-sel kulit lebih tua disingkirkan dengan lembut, lapisan demi lapisan, digantikan dengan kulit baru, segar dan sihat.
Proses ini juga memulakan pengeluaran kolagen secara alami yang mengetat dan memberikan penampilan muka yang lebih `terangkat'.
Lazimnya digunakan untuk melenyapkan garisan pada bibir yang disebabkan oleh aktiviti merokok dan merawat parut daripada jerawat.
Kaedah ini juga berupaya menghilangkan tatu yang tidak dikehendaki sebagaimana menjadi kegemaran Geri Halliwell dan Cher.
* Endermologi
Teknik urutan ini meningkatkan pengaliran darah pada bahagian muka dan juga boleh dilakukan di seluruh badan untuk merehatkan otot-otot.
Bersama-sama rejimen senaman, diet dan vitamin, endermologi sangat baik untuk merawat selulit dan pembentukan badan.
* Microdermabrasion
Turut dikenali sebagai prosedur makan tengah hari di mana kristal-kristal aluminium oksida ditiup atau dilalukan di atas kulit sebelum ditanggalkan semula menggunakan vakum - membawa bersamanya lapisan luar kulit.
Rawatan ini turut menanggalkan bintik hitam dan putih yang menutup liang kulit, meratakan rona wajah serta mengecilkan luang roma.
* Pengelupasan kimia (chemical peel)
Rumusan kimia ditempatkan di atas bahagian wajah bagi menanggalkan lapisan kulit mati. Ia mengambil masa beberapa hari sehingga dua minggu sebelum menyerlahkan kulit bawah yang baru dan kelihatan lebih segar. Lazimnya digunakan bagi merawat garisan halus sekeliling mata dan mulut.
* Likatan kosmetik (cosmetic filler)
Aktres Melanie Griffith dan Pamela Anderson memilih cara ini kerana manfaatnya yang luas dari membuang parut jerawat hingga merawat kedutan dan menganjalkan semula bibir.
Likatan tisu lembut biasanya berupa kolagen atau lemak membantu mengisi tekstur pipi dan bibir yang kendur agar nampak penuh berisi.
0 Comments Received
Leave A Reply