Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

DEKAD pertama alaf baru menyaksikan dunia berdepan ancaman penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) pada 2003, selesema burung dan terbaru Influenza A (H1N1) yang tidak hanya meragut 5,000 nyawa dan dijangkiti lebih 400,000 lagi di seluruh dunia, tetapi turut menjejaskan ekonomi.

Perkembangan itu mendorong Rangkaian Yayasan Asia Eropah (Asef) bagi Kesihatan Awam yang mengumumkan pelan tindakan konkrit aktivitinya tahun ini yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kemudi Pertama anjuran Asef dan dipersetujui sebulat suara oleh 10 rakan pertubuhan dari Asia dan Eropah, baru-baru ini.

Selain memastikan negara rakan Mesyuarat Asia Eropah (Asem) bersedia menghadapi penularan wabak penyakit berjangkit, pelan tindakan itu juga bertujuan bertujuan meminimumkan impak sosial dan ekonomi akibat penularan penyakit seumpamanya di kedua-dua rantau menerusi pertukaran pengetahuan dan pengalaman serta kerjasama berhubung dasar dan perkembangan strategi.


Sebagai sebahagian inisiatif Asem bagi Kekangan Pantas Wabak Selesema yang dibiaya kerajaan Jepun, Rangkaian Asef bagi Kesihatan Awam itu turut menjadi landasan pertama Asia dan Eropah membabitkan isu kesihatan awam.

Dengan tumpuan khusus wabak dan penyakit berjangkit serta mengambil pendekatan pelbagai sektor ke arah aktivitinya, rangkaian itu diwujudkan pada 2009 bagi tempoh awal selama lima tahun.

“Kerjasama pelbagai sektor dan persediaan serantau penting bagi keberkesanan kekangan dan tindak balas kepada ancaman wabak. Jepun mendahului berhubung inisiatif Asem dan adalah sesuatu yang menggembirakan melihat apa yang sudah dicapai oleh rangkaian ini sejak Mei lalu,” kata Pengarah Bahagian Asem, Kementerian Luar Jepun, Takehiro Okubo.

Berdasarkan kejayaan perhimpunan rakan pertubuhan rangkaian berkenaan di seluruh Asia dan Eropah sejak permulaannya Mei 2009, rangkaian itu merumuskan pelan tindakan untuk dilaksanakan di seluruh rantau dan sektor pada tahun ini.

Bersempena usaha itu, Asef membentuk tiga kumpulan kerja yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama untuk tindakan iaitu Perpaduan Serantau dan Penyakit Berjangkit, Perancangan dan Tindak Balas Wabak Pelbagai Sektor dan Dialog Kesihatan Awam.

“Ketika wabak seterusnya tidak dapat dijangka, kita bersama-sama dengan rakan pertubuhan dan anggota Asem, yakin rangkaian ini sudah mengambil pendekatan yang relevan dan sesuai untuk mengenal pasti isu kompleks yang penuh dengan cabaran dan ketidaktentuan.

“Strategi membolehkan kita memenuhi matlamat utama meningkatkan kesedaran orang awam untuk lebih bersedia dan mengawal penularan wabak,” kata Pengarah Eksekutif Asef, Dominique Girard.

Apa lebih penting, kata Girard, usaha rangkaian itu membabitkan penyertaan pelbagai pertubuhan awam dan swasta, masyarakat dan kerajaan di peringkat antarabangsa dan tempatan. Sudah pasti, keutamaan seperti kekuatan, kepakaran dan sumber setiap rakan yang terbabit, turut diberi perhatian.

Namun, apakah keutamaan bagi negara seperti Malaysia?

Menurut Girard, aspek kesedaran dan perancangan amat penting untuk mengawal penularan sebarang penyakit berjangkit.

“Asef yakin kita boleh memberi sumbangan aktif kepada usaha meningkatkan kesedaran orang awam di Asia dan Eropah menerusi pelbagai aktiviti. Ia juga menjalin kerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan yang terbabit secara langsung dalam program perkembangan komuniti,” katanya.

Ini, katanya, selaras dengan ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut menegaskan pendekatan keseluruhan masyarakat ketika mengiktiraf kebergantungan antara pelbagai sektor dalam memastikan kesan sosial dan ekonomi akibat wabak berkenaan dapat diminimumkan.