Oleh Dr Irfan Mohamad

Kuman tibi boleh jangkiti telinga, otak, usus dan saraf

SEBUT saja tuberkulosis atau tibi, hampir semua orang akan membayangkan pesakit yang menghadapi simptom paru-paru seperti batuk berpanjangan atau batuk berdarah. Jarang sekali kita mendengar penyakit ini menjangkiti bahagian badan yang lain seperti telinga, hidung, tekak mahupun leher.

Malah di Malaysia, 60 daripada setiap 100,000 penduduk, menghidap tuberkulosis - penyakit komuniti yang masih gagal ditangani. Tuberkulosis disebabkan organisma dikenali Mycobacterium tuberculosis. Jangkitannya boleh terkena kepada mana-mana bahagian anggota badan selain paru-paru.


Struktur tubuh seperti telinga, hidung, tekak dan kelenjar pada leher turut terdedah kepada penyakit tuberkulosis. Malah otak, usus, saraf dan tulang termasuk tulang belakang turut berpotensi dijangkiti organisma ini yang boleh terjadi secara terasing, selain disebabkan tuberkulosis paru-paru itu sendiri.

1. Tuberkulosis telinga

Bahagian telinga yang kerap dijangkiti penyakit ini ialah telinga tengah. Sumber jangkitan biasanya tuberkulosis paru-paru. Jangkitan pada saluran pernafasan ini naik ke telinga menerusi salur Eustachio yang seterusnya ke telinga tengah. Jangkitan juga boleh berpunca daripada bawaan darah yang mengalir melalui bahagian yang sudah dijangkiti seperti paru-paru dan kelenjar pada leher.

Pesakit akan mengalami tanda jangkitan telinga tengah seperti tidak selesa dalam telinga yang pada kebanyakan masa tidak sakit, bunyi berdesing, kurang pendengaran dan telinga berair. Pemeriksaan telinga pula mendapati gegendang telinga mungkin berlubang. Gegendang telinga bagi penyakit tuberculosis ialah wujudnya banyak lubang pada satu gegendang. Cecair telinga tengah yang dijangkiti tuberkulosis pula akan keluar melalui lubang-lubang ini. Ia akan membasahi saluran tengah luar dan simptom inilah yang membawa pesakit datang berjumpa doktor.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan komplikasi seperti saraf muka lumpuh, kerosakan tulang osikel mahupun kehilangan pendengaran kekal akibat jangkitan yang merebak ke telinga dalam.

Rawatan untuk tuberkulosis telinga ini termasuk membersihkan cecair dalam telinga. Cecair ini diambil sebagai sampel untuk diuji bagi memastikan organisma yang menjadi puncanya. Jika ada tisu yang tumbuh, cebisannya juga boleh dijadikan sampel untuk diuji. Selepas diagnosis dipastikan, rawatan utama ialah ubat-ubatan seperti yang digunakan untuk rawatan tuberkulosis lain. Komplikasi ditangani secara pembedahan, jika perlu. Selepas jangkitan dapat dikawal, barulah kaedah memulihkan pendengaran boleh dilakukan.

2. Tuberkulosis hidung

Ini boleh dilihat dengan wujudnya masalah seperti gejala hidung tersumbat, biasanya pada sebelah saja tetapi ia tetap tanpa pasang surut. Kadangkala pendarahan hidung boleh berlaku. Pemeriksaan doktor mendapati seperti ada ketumbuhan di dalam rongga hidung dan biasanya ia terletak pada septum iaitu tulang tengah hidung.

Sedikit tisu pada ketumbuhan itu diambil menggunakan forseps biopsi. Selepas dipastikan diagnosisnya, rawatan sama seperti tibi paru-paru akan dimulakan. Kerosakan pada struktur hidung akan diperbaiki selepas rawatan tibi itu disempurnakan.

3. Tuberkulosis tekak

Selaku bahagian yang paling hampir dengan paru-paru dan mempunyai komunikasi langsung dengannya, tekak atau larinks tidak terlepas daripada dijangkiti. Hal ini mudah difahami kerana sekresi terhasil daripada paru-paru yang dijangkiti akan sentiasa melalui kawasan tekak atau larinks, terutama di bahagian belakang (posterior). Ini disebabkan bahagian itu laluan sering digunakan oleh sekresi untuk keluar masuk paru-paru. Sewaktu kita tidur juga, sekresi yang dijangkiti ini akan berada pada bahagian yang mengikut graviti iaitu posterior larinks. Selain itu, perebakan melalui saluran darah juga boleh berlaku.

Gejala tuberkulosis larinks termasuk suara serak, batuk berdarah dan sakit tekak. Pemeriksaan laringoskopi menunjukkan ada tisu yang tumbuh di mana-mana bahagian larinks. Sampel tisu diperlukan untuk tujuan diagnosis. Rawatannya sama seperti tibi paru-paru.

4. Tuberkulosis kelenjar limfa leher

Adakalanya kuman tibi menjangkiti kelenjar limfa yang sememangnya dalam kuantiti banyak pada bahagian leher kita. Senario yang biasa dilihat dalam kes begini adalah bengkak kelenjar yang boleh memakan ruang begitu besar. Ini menyebabkan pergerakan leher menjadi terbatas. Selain itu, pesakit juga tidak terkecuali daripada menghidapi tanda umum tibi seperti demam, berpeluh pada waktu malam dan tanda sistemik yang lain.

Diagnosis boleh dibuat dengan mengambil sedikit sampel isi kelenjar yang bengkak itu dengan prosedur ringkas menggunakan jarum yang halus. Sampel ini akan disahkan mengandungi tibi sebelum rawatan seperti yang dilaksanakan untuk tibi pada bahagian badan yang lain. Walaupun kelenjar itu bengkak dalam saiz yang agak besar, ia akan surut selepas rawatan disempurnakan.

Ujian lain

Bagi setiap bahagian yang dinyatakan, ujian sampel sekresi atau tisu yang positif adalah penting. Ia diperlukan sebelum rawatan dimulakan. Selain itu, ada beberapa jenis ujian lain yang boleh dilakukan bagi membantu diagnosis. Antara yang sering dilakukan di kebanyakan hospital di negara ini ialah ujian kahak, ujian Mantoux, sinaran x dada dan sebagainya.

Jika pesakit batuk dan mempunyai kahak, sampel kahak itu akan diperoleh daripada pesakit. Ia akan diuji di makmal bagi melihat sama ada ia mengandungi sampel organisma. Ujian Mantoux ialah satu ujian yang melihat reaksi pada lapisan bawah kulit. Jika ada reaksi dalam masa 48 jam hingga 72 jam selepas suntikan introduksi antigen iaitu tuberkulin, maka ia menyokong diagnosis. Ujian sinaran-x dada adakalanya positif walaupun pesakit tidak mempunyai tanda batuk seperti yang dijangkakan. Perubahan pada bahagian atas paru-paru (apikal) adalah satu penemuan yang amat membantu diagnosis. Selain itu, teknologi seperti PCR (polymerase chaĆ­n reaction) bagi mengesan Mycobacterium tuberculosis boleh dilakukan bagi membantu diagnosis bagi institusi yang mempunyai kemudahan tersebut.

Apa yang lebih penting ialah diagnosis tepat yang cepat dapat dibuat. Sebarang tindakan melengahkan masa untuk mendapatkan rawatan mungkin mengubah prognosis. Segeralah berjumpa doktor anda jika ada tanda-tanda seperti disebutkan dan jangan tunggu sehingga sakit. Rawatan awal mampu memberikan hasil yang lebih baik.

Disediakan: Dr Irfan Mohamad, Pensyarah Kanan/Pakar Perubatan Telinga, Hidung dan Tekak, Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala & Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan. Universiti Sains Malaysia Kota Bharu