Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my




Rawatan guna Fondaparinux bantu halang pembentukan darah beku

SUDAH banyak amaran dan pesanan dihebahkan mengenai bahaya kegagalan jantung. Malangnya, mesej ini gagal menyedarkan masyarakat dunia, termasuk di Malaysia apabila fakta menunjukkan penyakit jantung terus mendahului sebagai pembunuh utama.

Statistik pada 2006 menunjukkan sejumlah 31,186 kes kemasukan dicatatkan di 773 unit rawatan rapi (ICU) di seluruh Malaysia. Daripada bilangan itu, sebanyak 12,534 kes membabitkan serangan Sindrom Koronari Akut (ACS) atau masalah jantung yang disebabkan kekurangan aliran darah ke jantung.


ACS saja mewakili 47 kes bagi setiap 100,000 penduduk manakala masalah koronari lain adalah 141 bagi setiap 100,000 penduduk.

Peningkatan ini jelas ketara di negeri yang semakin pesat membangun seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang mencatat peratusan kemasukan ACS yang semakin membimbangkan.

“Fungsi jantung sebenarnya cukup mudah, sebagai pengepam ia mengekalkan pengeluaran darah beroksigen ke seluruh tubuh manusia. Dan secara umumnya penyakit jantung adalah satu keadaan yang menjejaskan otot-otot jantung (miokardium) dan saluran-saluran darah dalam jantung (arteri koronari).

Dr Rosli Mohd Ali

“ACS pula merangkumi satu keadaan yang terhasil akibat kekurangan bekalan darah ke otot jantung disebabkan pembentukan plak di dalam saluran darah. Ini mengakibatkan berlakunya thrombosis atau darah beku,” kata Ketua Jabatan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Rosli Mohd Ali.

Menurutnya, antara tanda-tanda ACS termasuk sakit dada, loya, muntah, sesak nafas, peluh dingin dan sakit kepala. Kira-kira 1.3 juta penduduk di Eropah dan 1.7 juta di Amerika Syarikat mengalami ACS yang menyebabkan tiga masalah iaitu angina yang tidak stabil, Non ST- segment elevation myocardial infarction (NSTEMI) dan ST- segment elevation myorcardial infarction (STEMI).

NSTEMI membabitkan kerosakan pada plak lebih berat akibat saluran yang tersumbat pada kadar berterusan namun tidak menyebabkan kerosakan/kematian seluruh otot jantung akibat pembentukan darah beku koronari. STEMI pula merujuk gangguan plak pada kawasan lebih besar dan menyebabkan pembentukan darah beku yang berterusan. Ia juga menyebabkan kelancaran darah ke otot-otot jantung terhenti tiba-tiba.

Dari segi kaedah rawatan pula, ada perkembangan baru merawat ACS. Menerusi Arixtra (Fondaparinux Sodium) - sejenis terapi anticoagulant (dadah yang memperlahankan atau menghentikan pembentukan darah beku) yang mendapat kelulusan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan, mampu merawat gejala ACS termasuk sakit dada (angina yang tidak stabil) selain dua jenis serangan jantung lain iaitu NSTEMI dan STEMI.

Menurut Dr Rosli, rawatan menggunakan Fondaparinux membolehkan doktor menghalang pembentukan darah beku yang boleh menyebabkan serangan sakit jantung, strok, darah beku di salur darah dalam dan arteri pulmonari yang tersumbat oleh darah beku (pulmonary embolism).

Khusus bagi merawat pesakit ACS, Fondaparinux memberi pilihan baru dalam usaha menghalang berlakunya morbiditi dan mortaliti akibat sakit dada yang tidak stabil (unstable angina), Stemi dan Nstemi.

Satu kajian rambang antarabangsa yang dipanggil OASIS 5, membabitkan 20,078 pesakit dengan simptom ACS di 576 kawasan di 41 negara yang diberikan rawatan dalam masa 24 jam. Hasilnya, Fondaparinux memberikan kesan yang sama seperti enoxaparin dalam mengurangkan kematian, otot jantung mati selepas berlaku darah beku koronari (Myocardial Infarction) dan kegagalan bekalan darah ke bahagian tubuh yang sukar dirawat (refractory ischemia) dalam masa 9 hari.

Kajian itu turut mendapati pesakit yang dirawat dengan Fondaparinux mengalami 48 peratus pengurangan pendarahan serius berbanding masing-masing 2.2 peratus dan 4.1 peratus insiden dengan pesakit yang dirawat dengan enoxaparin.

Buat masa ini, rawatan ACS lebih menumpu kepada usaha mencegah atau mengurangkan kecederaan berlarutan kepada otot jantung.

Rawatan menggunakan pelbagai variasi ubat ubatan seperti antithrombotics yang digunakan untuk membantu menghalang pembentukan darah beku, dan prosedur tertentu seperti pembedahan plastik untuk membetulkan saluran darah yang tersumbat (angioplasty/stent placement) dan pembedahan pintasan.

Info: Bagaimana ACS di kesan dan dirawat

  • Penilaian berdasarkan sejarah klinikal pesakit

  • Ujian darah untuk mengesan kecederaan/kerosakan jantung

  • Menerusi ujian merekod fungsi jantung secara grafik (ECG).