LELAKI memasuki gerbang usia 40 hingga 55 tahun akan berhadapan fenomena andropaus – sama dengan menopaus yang dialami wanita. Tidak seperti wanita, lelaki tidak mengalami tanda atau isyarat yang jelas seperti putus haid untuk menandakan perubahan ini.



Apa yang jelas, penyusutan tahap hormon seperti estrogen bagi wanita dan testosteron bagi lelaki boleh menyebabkan perubahan tubuh lelaki secara beransur-ansur seperti sikap, ragam, cepat rasa letih, kekurangan tenaga fizikal dan kehilangan nafsu syahwat.

Kajian juga menunjukkan penyusutan testostetron boleh menimbulkan risiko kesihatan lain seperti penyakit jantung dan lemah tulang.

Namun, tidak ramai menyedari hakikat ini kerana kebanyakan lelaki beranggapan kesuburan mereka kekal sepanjang hayat, walaupun terpaksa berjalan menggunakan tongkat. Ada yang cuba mempertahankan jika dituduh mati pucuk, hilang syahwat dan tiada selera seks.

Walaupun ini antara ‘kelebihan’ yang menjadi kebanggaan lelaki, tetapi sejak lahir mereka sebenarnya berdepan kadar kematian lebih tinggi berbanding wanita dan risiko ini bertambah.

Kajian Persatuan Andrologi Malaysia dan Kajian Penuaan Lelaki (MSASAM) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya ke atas 351 lelaki di Lembah Klang berusia melebihi 50 tahun menunjukkan, secara umumnya lelaki mengamalkan gaya hidup tidak sihat, dengan 41.9 peratus merokok (atau pernah merokok) 43.3 peratus minum arak, 57.3 peratus sangat kurang bersenam dan 78.7 peratus mengalami obesiti.

Hasil kajian mendapati lelaki juga banyak mengalami gangguan kesihatan seperti tekanan darah tinggi; kencing manis serta masalah jantung, prostat dan pendengaran.

Lebih 66.1 peratus dilaporkan menghadapi sekurang-kurangnya dua masalah kesihatan dan hanya 13.4 peratus benar-benar sihat. Meskipun senarai masalah kesihatan ini panjang, hanya 38.4 peratus menjalani pemeriksaan kesihatan.

Lebih malang, fenomena ‘malu dan liat’ berjumpa doktor lebih ketara di kalangan lelaki Melayu kerana ramai selesa membeli ubat di farmasi tanpa merujuk kepada pakar perubatan terlebih dulu.

Malah, kajian itu mendapati sebanyak 35.8 peratus mengalami masalah mati pucuk (ED), walaupun 78.9 peratus mengakui kehidupan seksual mereka aktif.

Sebagaimana wanita, peningkatan usia menyebabkan keupayaan lelaki menghasilkan hormon testosteron menurun dan keadaan ini dipanggil andropaus atau menopaus lelaki.

Jika penghasilan testosteron di bawah paras biasa, ia menimbulkan beberapa gejala antaranya mati pucuk, cepat letih dan marah, cepat lupa, keinginan seks yang rendah, kemurungan dan kepanasan.

Tabiat dan gaya hidup memberi pengaruh besar kepada kesihatan lelaki, terutama apabila umur meningkat. Merokok, terlalu banyak makan terutama makanan kaya lemak tepu dan garam, minuman keras dan kurang bersenam antara faktor risiko utama yang menyebabkan kematian dan penyakit di kalangan lelaki.

Merokok, penyakit kronik (jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi, stroke dan kanser), Aids, ketagihan dadah dan arak, obesiti, suka terbabit dalam kegiatan berbahaya dan tekanan kerja adalah sebahagian faktor yang dikenal pasti memendekkan umur lelaki.

Semua faktor di atas, disertakan gaya hidup mewah dan pasif, corak makanan tidak seimbang serta kurang perhatian terhadap taraf kesihatan, turut mempercepatkan proses penuaan dan andropaus sebelum waktunya.

Isteri turut memainkan fungsi penting dalam memastikan kesihatan suami kerana kajian mendapati lelaki yang sering ditinggalkan 40 jam seminggu merosot 25 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, katanya, kekurangan hormon testosteron juga membawa beberapa kebaikan kepada lelaki tua, antaranya peningkatan ketumpatan tulang dan kesihatan keseluruhan, memperbaiki keadaan fizikal dan psikologikal, pengurangan jisim lemak serta masalah kardiovaskular.

Selain itu, makanan boleh membantu memperbaiki kesihatan, antaranya kacang soya (yang mampu mengurangkan masalah kanser prostat), brokoli, teh hijau, kunyit, bawang putih, avokado, ginseng serta pil vitamin, terutama Vitamin C, E, beta-karoten, selenium dan zink.

Bahkan, lelaki berumur juga dinasihati berhenti merokok, kurangkan minum minuman keras, makan makanan menyihatkan dan kurang berlemak serta mengamalkan sikap dan berfikiran positif bagi mengelakkan tekanan kerana ia bukan saja menjejaskan keupayaan seksual, malah mempercepatkan proses penuaan.