BENJOL, terseliuh dan kekejangan otot adalah sakit luaran yang biasa berlaku pada masa yang singkat. Penyakit ini tidak mempunyai kesan pada kulit tetapi sekadar dirasai saja. Ia juga tidak mempunyai kesan jangka panjang dan boleh diubati dengan mudah.



Penyakit luaran boleh berlaku pada bila-bila masa kerana tidak menunjukkan apa-apa tanda. Penyakit ini menyerang pada semua peringkat umur menyebabkan seseorang itu berasa kesakitan yang keterlaluan.

Oleh sebab penyakit ini tidak mempunyai ubat khusus, terdapat beberapa petua yang mampu mengurangkan kesakitan ketika mengalaminya.

BENJOL:

BAGI kanak-kanak yang baru belajar berjalan, kerap kali mereka terhantuk sehingga kepala menjadi benjol. Benjol yang besar akan menyebabkan terasa sakit. Tidak ada ubat khusus merawat benjolan tersebut.

Ada petua mudah iaitu si ibu perlu mengulum setengah genggam rambut pada bahagian hujung. Kemudian rambut hendaklah disapukan pada dahi kanak-kanak yang benjol. Sapukan dengan rata sehingga kanak-kanak tidak menangis.

Sekiranya diamalkan petua ini, benjolan pada dahi kanak-kanak akan beransur hilang.

TERSELIUH:

TERSELIUH terjadi apabila urat bergerak daripada kedudukan asal sehingga menimbulkan kesakitan. Bagi golongan bekerja sebagai buruh, terseliuh sering dialami terutama pada bahagian pinggang kerana sentiasa memikul beban yang berat.

Oleh sebab itu, ramai yang menggunakan minyak urut menghindarkan rasa sakit. Di sini terdapat satu petua mudah untuk mengatasi masalah ini. Caranya dengan mendapatkan daun limau nipis dan sedikit kapur. Sapukan kedua-dua bahan ini pada bahagian sakit dan urut secara perlahan. Sekiranya dilakukan dengan kerap, rasa sakit akibat terseliuh akan berkurangan dan kemudian akan terus hilang.

KEKEJANGAN:

KEKEJANGAN otot kerap berlaku terutama di kalangan atlit negara. Kebiasaannya kekejangan otot berlaku apabila pengaliran darah bergerak pantas secara tiba-tiba.

Kekejangan menyebabkan rasa sakit keterlaluan sehingga membuat seseorang itu kejang. Apabila kekejangan berlaku pada kaki, seseorang tidak dapat berjalan dengan baik.

Untuk mengatasinya, titiskan air bawang merah ke dalam lidah beberapa titik. Air itu juga boleh dimasukkan ke dalam lubang hidung.