SETIAP wanita mempunyai pengalaman menopaus berbeza. Ada yang menopaus cepat (awal 40 tahun) dan ada juga yang masih datang haid walaupun umur menjangkau 60 tahun, tetapi ia biasanya berlaku pada umur antara 50 atau 51 tahun.
Menopaus tidak dapat dihindarkan dan ramai wanita bimbang perubahan sistem biologi badan sedikit sebanyak mempengaruhi kestabilan emosi serta fizikal, khususnya saiz tubuh yang semakin mengembang.
Ia bermula secara semula jadi, iaitu apabila ovari kurang menghasilkan hormon estrogen dan progesteron. Ketika umur subur, kedua-dua hormon ini bertanggungjawab mengawal proses ovulasi (penghasilan telur) dan kitaran haid.
Mencecah lewat 30 tahun, jumlah progesteron akan berkurang dan kesuburan telur dalam ovari juga semakin menurun yang akhirnya mengakibatkan haid berhenti. Ketika ini wanita tidak boleh lagi mengandung.
Proses menopaus boleh dibahagikan kepada dua peringkat - perimenopaus dan posmenopaus. Ketika perimenopaus, paras hormon menjadi tidak menentu, menyebabkan wanita mengalami kepanasan dan kitaran haid tidak tetap.
Posmenopaus pula ditakrifkan sebagai tempoh selepas 12 bulan anda mendapat haid terakhir. Ketika ini fungsi ovari terhenti; ia tidak lagi menghasilkan estrogen, progesteron mahupun telur.
Walaupun ia proses semula jadi, beberapa masalah kesihatan boleh mempercepatkan menopaus seperti histeroktomi, iaitu pembuangan uterus (dan bukan ovari). Ini menyebabkan haid berhenti terus, walaupun ovari masih menghasilkan telur dan wanita yang menjalani histeroktomi tidak akan mengalami fasa perimenopaus.
Selain itu, rawatan radiasi dan kemoterapi (biasanya membabitkan pesakit kanser) akan mempercepatkan menopaus. Bagaimanapun, proses ini berlaku perlahan dan mungkin mengambil masa beberapa bulan atau tahun sebelum memasuki fasa perimenopaus.
Simpton
Antara simptom lain yang lazim dialami wanita menopaus termasuk vagina dan kulit menjadi kering, kepanasan (penurunan paras estrogen boleh menyebabkan salur darah mengembang dan meningkatkan suhu kulit), susah tidur, emosi tidak stabil dan pertambahan berat badan yang ketara.
Pertambahan berat badan berlaku dengan cepat kerana lemak yang sebelum ini disimpan di paha dan pinggul akan beralih ke pinggang dan abdomen; menyebabkan wanita kehilangan bentuk badan.
Walaupun ini masalah biasa, ia tidak harus dibiarkan kerana pada usia begini, usaha mengekalkan berat badan sukar dilakukan.
Ada banyak sebab lemak mudah berkumpul di pinggang, antaranya:
1) Kebanyakan wanita menopaus mula mengurangkan aktiviti senaman.
2) Pengambilan makanan bertambah; dan tenaga daripada makanan ini akan ditukar kepada lemak jika tidak digunakan.
3) Kadar ######bolisme menurun. Pengurangan kadar ######bolisme bermakna jumlah tenaga diperlukan juga berkurang dan wanita menopaus harus mengawal pemakanan.
4) Faktor genetik juga memain fungsi. Sesetengah wanita mengalami masalah pengumpulan lemak pada pinggang sejak muda dan golongan ini lebih sukar mengekalkan bentuk badan.
Peningkatan usia bukan penghalang untuk kekal cantik. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang serta kerap berseman.
Senaman seperti aerobik, berbasikal, berjalan, berjogging atau menari boleh membantu meningkatkan kadar ######bolisme, menguatkan tulang dan membantu membakar lemak.
Senaman juga boleh menambah jisim otot yang bertanggungjawab menukarkan makanan kepada tenaga untuk mengelakkan ia ditukar kepada lemak.
Pada usia melebihi 50 tahun, wanita perlu mengurangkan 200 hingga 400 kalori berbanding ketika muda. Lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Ambil makanan dalam kuantiti kecil dan kunyah perlahan-lahan. Paling penting, makan hanya apabila terasa lapar.
0 Comments Received
Leave A Reply