Kalau suami cepat-cepat faham tanda-tanda isteri meroyan tentu ia tidak melarat teruk. Sanggupkah ibu yang tahap kesihatan mentalnya normal menghempuk anaknya dengan seterika panas? Atau merendam bayi sehingga lemas di dalam besin mandi? Mencekik bayinya kerana menangis?

Ibu itu pula berpelajaran dan datang daripada keluarga yang penuh dengan kasih sayang. Mengapa dia sanggup atau sampai hati berbuat begitu? Ada mendera dan tidak kurang yang membunuh terus. Mesti ada yang tidak kena ni…

Logikkah ibu yang bersusah payah mengandung anak sembilan bulan berbuat begitu? Baik tak payah mengandung atau beranak terus.

Sebenarnya, ramai yang sudah tahu keadaan ini terutama wanita. Ramai yang tahu ada suatu penyakit yang menyerang wanita selepas melahirkan, yang membuatkan dia hilang pertimbangan atau lebih tepat lagi mengalami gangguan mental. Wanita begini diistilahkan masyarakat sebagai gila meroyan. Bunyinya memang kejam dan ada unsur-unsur menghina. Kita biasanya akan marah jika kaum keluarga kita dikatakan berpenyakit itu. Kalau boleh kita mahu sorok-sorokkan lagi. Namun sebenarnya, keprihatinan lelaki yang merupakan orang paling terdekat isteri adalah paling penting dalam situasi isteri meroyan ini. Persoalannya, adakah lelaki tahu atau buat-buat tidak tahu kerana menganggap sebagai ‘penyakit’ wanita yang diibaratkan seperti datang bulan saja.

Pada kebanyakan kes isteri meroyan, pihak suami acap kali menganggap pasangan mereka berubah laku itu sebagai semula jadi. Keadaan inilah yang membuatkan keadaan menjadi semakin teruk. Apabila suami tidak memahami. Sedangkan penyakit ini perlu diberi bantuan rawatan awal.

Lagi malang apabila pihak keluarga pesakit tidak percaya dengan perubatan moden dan menganggap meroyan hanya boleh dirawat dengan perubatan tradisional saja. Di sinilah juga sepatutnya terletaknya kebijaksanaan suami. Jika mereka memahami keadaan dan cepat bertindak menyelamatkan keadaan, mungkin nyawa dapat diselamatkan.

Untuk lelaki dan masyarakat sekalian, anda sepatutnya lebih mengetahui tentang ‘penyakit’ ini! Masyarakat dan suami terutamanya harus sedar yang postnatal depression adalah suatu penyakit yang perlu dirawat.

- Istilah psikologinya: psikosis puerpera. Mengikut perangkaan kajian luar Negara, penyakit ini menyerang kurang 1.5 daripada setiap 1,000 kelahiran. Istilah perubatan pula postnatal depression yang bersangkut paut dengan kelakuan aneh sebagai kesan emosi (kejiwaan) yang dihadapi oleh wanita selepas melahirkan anak.

- Keadaan meroyan ini biasanya menyerang ibu yang pertama kali melahirkan. Ingat, dia akan bertindak agresif dan tidak dapat mengawal diri dan ada kalanya mencederakan orang. Jadi amat bahaya jika ibu ini dibiarkan menjaga bayi.

Tanda-tanda meroyan boleh dilihat seawal dua hari selepas bersalin. Tanda-tandanya termasuk:

1) gangguan tidur

2) keresahan

3) sensitif

4) rendah diri

5) kurang selera makan

6) selalu bersedih.

7) Sikapnya juga berubah, dari periang menjadi pendiam. Sentuhan dengan dunia
realiti akan hilang.

dirol.gif Bersikap luar biasa seperti fenomena halusinasi dan delusi. Halusinasi, kononnya melihat lembaga menakutkan atau mendengar suara ghaib yang menyuruh melakukan sesuatu. Delusi pula apabila dia merasa yang ada orang merancang untuk memusnahkannya. Keadaan itu menyebabkan dia berasa waswas dan syak wasangka dengan orang. Sering berhadapan halusinasi dan delusi, si ibu tidak akan kisah kebajikan anak yang baru dilahirkan. Dia akan terdorong melakukan jenayah, seperti membunuh anaknya.


Faktor yang menyebabkan meroyan
Pelbagai faktor yang boleh menyebabkan penyakit mental inil Antaranya:

1. Faktor genetik atau baka

2. Perubahan tahap hormon seperti progesterone dan estrogen secara mendadak

3. Tekanan emosi ketika dalam pantang

4. Kualiti perhubungan suami isteri serta perhubungan dengan bayi yang baru lahir



Suami selalu tidak memahami tekanan emosi si isteri
- Sebenarnya tekanan emosi wanita baru bersalin berbeza. Tidak dinafikan anak merupakan pengikat kasih antara pasangan suami isteri dan kebanggaan keluarga keseluruhannya. Tetapi bagaimana jika anak yang dilahirkan tidak kehendaki? Contohnya pasangan yang belum bersedia menambah ahli keluarga atau tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

- Emosi semakin tertekan apabila wanita itu sendiri tidak mempunyai hubungan baik dengan ibunya atau mentua.

- Sakit bersalin. Walau anak ketiga, keempat atau kelima, kesakitannya tetap tiada tandingan, hanya Tuhan yang mengetahuinya. Namun suami menganggap isteri telah biasa. Langsung tidak mahu membantu menjaga anak yang menangis saban malam. Isteri tidak dapat berehat dengan secukupnya dan ini membuatkan tiada kegembiraan dalam menimang cahaya mata sebaliknya membosankan. Lagi teruk, suami masih beranggapan isteri akan pulih selepas dua tiga hari dan mahu makan minumnya terhidang seperti biasa dan marah melihat rumah masih bersepah.


Rawatan?

- Dikatakan kurang 70 peratus wanita yang terbabit akan sembuh dengan rawatan yang betul. Risiko penyakit berulang selepas kelahiran seterusnya lebih kurang 15 peratus. Dalam proses rawatan, faktor jika adanya ahli keluarga lain yang berpenyakit mental dan pertelingkahan suami isteri akan menjejaskan proses pemulihan pesakit. Adalah lebih baik pesakit mendapat rawatan sebagai pesakit dalam di hospital jika keluarga tidak dapat mengawalnya. Selain ubat-ubatan, kaunseling hubungan suami isteri perlu dibuat serentak memandangkan wanita berpenyakit ini amat membenci hubungan seksual. Jadi kaunseling amat perlu bagi menyelamatkan rumahtangga.

- Sokongan emosi orang terdekat. Tidak banyak kajian dilakukan ke atas punca berlaku postnatal depression dan perubahan hormon merupakan faktor kecil saja. Faktor sekitar lebih menyumbang kepada tekanan itu. Bagi yang pertama kali melahirkan, sokongan moral dan emosi daripada orang terdekat amat perlu seperti suami. Sokongan suami merupakan penawar yang paling mujarab.

- Ahli keluarga perlu bekerjasama mengembalikan keyakinan dan keriangan ibu yang tertekan. Pujuk dan bimbing dia selalu. Ingatkannya supaya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Mohon ketenangan melalui solat dan doa.


Persediaan sebelum menimang cahaya mata.

- Bersedia dari segi mental, fizikal dan material.

- Berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat persediaan menghadapi kelahiran.

- Jumpa kaunselor untuk sesi kaunseling perkahwinan supaya berbincang tentang aspek persediaan emosi dan persediaan menimang cahaya mata.

- Dapatkan ilmu tentang sebelum dan selepas kelahiran anak.


Wahai suami!!!
Pekalah dengan perubahan isteri. Lelaki sepatutnya lebih didedahkan dengan penyakit ini kerana mereka orang terdekat isteri. Mungkin dalam kursus pra perkahwinan, penceramah perlu menggalakkan lelaki supaya lebih mengetahui tentang penyakit wanita dan kemungkinan terjadi meroyan. Lelaki sendiri perlu banyak membaca atau bertanya pada yang lebih tahu terutama doktor

Penyakit ini penting dikesan dan diketahui lelaki supaya tidak terjadi seperti satu kes di Texas, bapanya meninggalkan anak sendirian dengan ibu bermasalan yang mengakibatkan tangan anak mereka dipotong. Si suami mengaku yang isterinya berkeadaan ganjil selepas kelahiran anak ketiga mereka tetapi masih keluar bekerja seperti biasa.