Virus H5N1 yang menyerang sekarang pernah menjangkiti manusia pada 1918

SELESEMA burung yang melanda beberapa negara Asia hari ini dikaitkan dengan virus H5N1. Ia adalah sejenis penyakit yang berjangkit di kalangan spesies burung termasuk ayam, itik dan burung liar yang disebabkan oleh virus influenza jenis A.



Selesema burung yang menyerang spesies burung termasuk ayam, itik dan burung buat kali pertama dilaporkan menjangkiti manusia pada 1997 di Hong Kong dan sehingga kini, masih belum ada jangkitan selesema burung dari manusia ke manusia dilaporkan.

Tetapi menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Atlanta mengenal pasti virus yang menyerang sekarang adalah sama dengan virus yang pernah menjangkiti manusia pada 1918. Analisis yang dijalankan menunjukkan selesema burung H5N1 telah melalui beberapa mutasi yang serupa seperti virus 1918.

Dalam usaha membantu dunia bersedia menghadapi wabak selesema buruang, pusat itu telah membangunkan semua virus influenza yang membunuh 50 juta manusia pada 1918. Dengan penyelidikan lanjutan, saintis mungkin dapat mengenal pasti perubahan pada virus selesema burung H5N1 sebelum ia berupaya menjangkiti antara manusia.

Penghasilan semula virus selesema 1918 itu bagaimanapun tidak sepi daripada kontroversi kerana ia bukan tanpa risiko kesihatan dan belum pasti ia dapat membantu dalam usaha menghasikan vaksin.

Genom virus 1918 itu dikatakan diambil daripada tisu mangsa selesema ketika itu, iaitu mayat dua askar muda dan mayat seorang wanita.



Golongan berisiko pada selesema burung

- Tinggal berdekatan dengan tempat pembiakan burung atau kawasan ternakan ayam, itik dan burung-burung.

- Bekerja di ladang ternakan, rumah penyembelihan dan pasar.

- Bertugas memeriksa tempat ternakan ayam,itik dan burung-burungan.

Simptom di kalangan manusia

- Panas badan

- Sakit tekak/kerongkong

- Selesema

- Batuk

- Jangkitan mata

- Sesak nafas atau susah bernafas



Apa yang perlu anda buat

- Jaga kebersihan persekitaran; rumah, terutama di ladang ternakan, rumah penyembelihan dan pasar.

- Kebersihan juga harus dijaga semasa mengendalikan ayam atau burung-burungan yang hendak dimasak.

- Jaga kebersihan diri dengan sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air yang bersih.

- Pastikan ayam atau burung-burungan dimasak dengan sempurna, sekurang-kurangnya pada suhu70°C untuk memastikan virus tersebut musnah.Telur juga hendaklah dimasak dengan sempurna, elakkan memakan telur setengah masak atau telur masak mata kerbau.

- Dinasihatkan supaya tidak mengunjungi ladang ternakan.

- Pastikan ayam perliharaan dikurung dan tidak dibiarkan berkeliaran.

- Hindarkan kanak-kanak daripada menghampiri atau bermain-main dengan ayam dan burung-burungan.

- Jika anda mempunyai risiko tinggi bagi penyakit selesema burung dan mempunyai tanda-tanda penyakit selesema burung, segera berjumpa doktor.