BERSUNAT yang juga disebut berkhatan atau berkhitan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan.

Mengikut kitab al-Majmu‘ dan kitab Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, berkhatan wajib ke atas lelaki dan perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan.

Hal ini berdasarkan firman Allah yang maksudnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad SAW): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.” (Surah an-Nahl, ayat 123)

Dalam ayat itu Allah memerintahkan Nabi Muhammad mengikut ajaran agama Nabi Ibrahim yang mana antara ajaran itu ialah berkhatan.

Amalan itu dikuatkan lagi dengan perbuatan Nabi Ibrahim sendiri yang mengkhatan dirinya pada masa umurnya mega_shok.gif tahun.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Berkhatan Nabi Ibrahim ketika Baginda berumur mega_shok.gif tahun dengan alat qadum.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menurut kitab Syarh al-Muhadzdzab, ulama berkata, salah satu perkara dalam agama Nabi Ibrahim ialah berkhatan dan amalan itu adalah wajib dalam agamanya.

Hukum wajib berkhatan termasuk dalil daripada hadis Rasulullah yang bermaksud, “Buanglah rambut kamu yang ada ketika kamu kufur dan berkhatanlah.” (Riwayat Abu Daud)

Seperti amalan khatan di kalangan lelaki yang bermula pada zaman Nabi Ibrahim, amalan berkhatan bagi wanita juga berlaku pada zamannya apabila isterinya Sarah, dikhatankan.

Peristiwa itu bermula apabila Hajar yang juga isteri Nabi Ibrahim mengandung, Sarah berasa cemburu lalu bersumpah untuk memotong tiga bahagian anggotanya sendiri.

Nabi Ibrahim bimbang kalau-kalau Sarah akan memotong hidung dan telinganya lalu Baginda menyuruhnya melubangkan kedua-dua telinganya dan berkhatan. Setelah itu amalan khatan menjadi sunnah bagi wanita Islam.

Berkhatan turut diamalkan pada zaman Firaun dengan didapati mumia perempuan Mesir purba mengamalkannya, begitu juga di negara lain di Afrika seperti di Habsyah dan Sudan.

Berkhatan seterusnya diamalkan di merata dunia termasuk Malaysia tetapi ada yang menganggap amalan itu sebagai tuntutan agama sementara ada pula menganggapnya sebagai adat.

Di sebalik pelbagai pendapat dikemukakan, wujud juga kekeliruan disebabkan timbul pendapat menyatakan berkhatan bagi perempuan tidak wajib, malah sesetengahnya minta amalan itu dihapuskan.

Alasannya, amalan itu menghina wanita dengan mencederakan mahkotanya yang sensitif dan mengurangkan nafsu seks.

Ketua Jabatan di Akademi Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Anisah Abd Ghani, berkata walaupun ulama berselisih pendapat mengenai hukum khitan wanita, amalan berkhatan elok dilaksanakan sebagai fitrah insaniah seiring fitrah Islam.

Selain itu, katanya, ia adalah sunnah yang diamalkan pada zaman Rasulullah yang mengajarkan kepada wanita dan jika tidak diamalkan bererti kita mengetepikan salah satu daripada amalan wanita zaman Rasulullah.

Beliau juga menyokong pendapat Imam al-Akbar Mahmud Syaltut, bahawa hukum khatan bagi lelaki dan perempuan bukan didasarkan kepada nas naqli, tetapi disandarkan kepada kaedah umum syariah iaitu untuk kemaslahatan.

Khatan bagi lelaki ada maslahah yang perlu dijaga iaitu menghindarkan jangkitan kuman yang menyebabkan kanser zakar atau penyakit lain berbahaya, tetapi dalam persoalan khatan bagi kaum perempuan, tiada maslahah perlu dijaga.

“Menurut Imam al-Akbar juga, lemah atau kuat nafsu perempuan bergantung kepada pembinaan hormon dalam diri.

“Begitu juga dalam bab berakhlak atau tidak seseorang bergantung kepada pendidikan agamanya dan keprihatinan ibu bapa mendidik anak.

“Lagipun, khatan bagi perempuan adalah memotong kulit pada atas faraj yang berbentuk seperti balung ayam (tiga segi) yakni clitoris. Bahagian yang dipotong hanyalah sedikit bukan memotong semua sekali,” katanya.


................................................................................
...............

Pakar perubatan Barat sahkan berkhatan dapat hindari barah


PADA musim cuti akhir tahun persekolahan, ramai ibu bapa mengambil kesempatan untuk mengkhatankan anak lelaki mereka. Di negara ini, lazimnya amalan berkhatan anak lelaki dilakukan secara berkumpulan atau lebih dikenali dengan majlis berkhatan beramai-ramai. Rasionalnya, selain daripada melaksanakan tuntutan syarak, amalan sebegini boleh mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat.



Bagi kaum lelaki, khatan (atau dalam bahasa Arabnya disebut khitan) ialah amalan memotong qulfah (kulit yang menutupi kepala) zakar lelaki. Ia juga sering disebut ‘bersunat’.

Menurut pendapat kebanyakan ulama seperti al-Sya'bi, Rabi'ah, al-Azra'i, Yahya bin Sa'ad al-Ansari, Malik, al-Syafi'i dan Ahmad, amalan berkhatan adalah wajib bagi kaum lelaki.

Ada banyak hadis yang menunjukkan pensyariatan khatan. Antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, katanya, bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai fitrah (sifat semula jadi) seseorang manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Selain itu, diriwayatkan daripada Ammar Yasir, katanya, bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Antara fitrah ialah berkumur-kumur, membersihkan hidung dengan air, menggunting misai, bersiwak, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, memotong bulu kemaluan dan berkhatan." (Riwayat Ahmad).

Berdasarkan hadis di atas, Abdullah Nasih Ulwan (1990:113) menjelaskan, meskipun Rasulullah menyebut khatan bersama perkara sunat, namun tidak bermakna hukum berkhatan itu sunat.

Katanya, hadis di atas membicarakan dua perkara utama iaitu perkara wajib dan sunat.

Dalam hal ini, al-Khattabi pula berpendapat, meskipun khatan selalu disebut bersama dengan perkara sunat seperti mencukur bulu ketiak dan memotong kuku, kebanyakan ulama mengiranya sebagai wajib. Ia adalah syiar Islam dan pembeza antara Muslim dan kafir.

Sekiranya seorang yang berkhatan mati di kalangan sekumpulan manusia yang tidak berkhatan, maka hendaklah dia disembahyangkan dan dikuburkan di tanah perkuburan Islam. (Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiyyah al-Awlad, 1990 jil.1, hal.112).

Kewajipan berkhatan juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada 'Utsaimin bin Kulaib bahawa Rasulullah bersabda kepada orang yang baru memeluk Islam yang bermaksud: "Bersihkanlah dirimu daripada rambut kufur dan berkhatanlah." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Selain itu, diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, katanya: "Seseorang yang tidak berkhatan tidak diterima solatnya dan hasil penyembelihannya juga tidak boleh dimakan."

Maka, jelas bahawa khatan itu adalah fitrah manusia, syiar Islam dan ia wajib ke atas kaum lelaki. Oleh itu, sesiapa yang tidak menyegerakan khatan sejak mula memeluk Islam dan tidak melaksanakan juga hingga masa balighnya, maka dia dikira berdosa.

Kebanyakan ulama menyatakan bahawa khatan adalah wajib ketika seseorang anak itu sudah hampir baligh. Tidak berapa lama lagi anak itu akan menjadi mukallaf untuk mematuhi segala hukum syariat dan perintah Allah.

Tetapi masa yang paling afdal (baik) ialah pada hari pertama kelahiran. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir, katanya, bahawa Rasulullah telah mengkhatankan al-Hasan dan al-Husin pada hari ketujuh (selepas kelahiran) mereka.

Setiap amalan yang disyariatkan oleh Allah tidaklah sia-sia, malah ada hikmah dan kelebihannya.

Justeru, amalan berkhatan ini mempunyai banyak faedahnya. Paling penting ialah faedah dari aspek kesihatan.

Menurut Dr Sobri al-Qubbani di dalam bukunya Hayatuna al-Jinsiyyah, antara faedah terpenting berkhatan ialah seseorang lelaki itu akan dapat menghindari daripada penyakit kulit yang disebabkan oleh peluh yang berkumpul dalam kulit qulfah itu.

Perkara ini telah dibuktikan oleh Dr Gerald Weiss, seorang pakar bedah. Beliau menegaskan tanpa khatan, bahagian di bawah kulit yang menutupi kepala zakar akan menjadi tempat takungan pelbagai jenis kuman dan ini meningkatkan risiko mendapat infeksi (cesspool of infection). Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Menurut Dr Sobri al-Qubbani lagi, berkhatan juga dapat menghindari daripada penyakit kanser. Hal ini dibuktikan oleh Dr Edgar J Schoen, seorang profesor Perubatan Kanak-Kanak di Universiti California di San Francisco. WebMD Medical News bertarikh 6 Mac 2000 melaporkan satu kajian yang beliau lakukan bersama rakannya mendapati daripada 89 kes kanser zakar, 87 daripadanya adalah dari kalangan lelaki yang tidak berkhatan.

Justeru, mereka merumuskan, khatan mencegah lelaki dari menghidap kanser zakar dan penemuan ini telah dimuatkan di dalam majalah Pediatrics. (Neil Osterweil, Experts Disagree on Whether Procedure Should Be Routine, WebMD Medical News, Lycos Health, 6 Mac 2000).

Seperti dijelaskan Dr Danial Zainal Abidin di dalam bukunya Perubatan Islam Kontemporari, ada banyak kajian yang menunjukkan khatan mencegah daripada pelbagai jenis penyakit. Antaranya:

l Risiko seseorang wanita menghidap barah pangkal rahim adalah tinggi jika pasangannya tidak berkhatan.

Satu kajian yang dilakukan di Lembah Kashmir pada 1993 menunjukkan, amalan berkhatan di tempat ini menyebabkan peratus barah pangkal rahim menjadi rendah berbanding kawasan lain di India.

l Mengikut Dr Edgar J Shoen, seorang pakar kanak-kanak terkenal, luka yang sering berlaku pada kulit penutup zakar ketika melakukan persetubuhan memudahkan seseorang lelaki yang tidak berkhatan dijangkiti kuman penyakit jangkitan seksual, terutama siplis, chancroid dan genital herpes. (Dr Edgar J Shoen, Circumcision A Lifetime of Medical Benefits, Medicirc, 2000)

Berdasarkan hasil kajian di atas, jelaslah bahawa orang yang berkhatan itu akan dapat menikmati kesihatan yang baik serta terhindar daripada pelbagai penyakit berbahaya.