NEW YORK: Wanita yang menggunakan pil perancang berdepan risiko hilang keinginan untuk melakukan hubungan seks sehingga setahun selepas berhenti mengambil ubat itu, menurut kajian.

Kehilangan syahwat, tidak berupaya mencapai kemuncak dan sakit ketika bersetubuh sudah lama diketahui sebagai kesan sampingan pengambilan pil perancang.

Penyelidikan terdahulu menyatakan nafsu seks wanita akan kembali normal dalam masa empat minggu selepas berhenti mengambil pil perancang.

Bagaimanapun, kajian selama tujuh tahun oleh penyelidik diketuai Dr Claudia Panzer, pakar endokrinologi di Denver, Colorado, menunjukkan kimia yang dikeluarkan pil itu untuk menahan pengeluaran tahap testosterone, berterusan sehingga setahun selepas wanita berhenti mengambilnya, lapor akhbar The Sunday Times.

Wanita yang mengambil pil perancang mempunyai empat kali lebih tinggi tahap hormon seks binding globulin (SHBG) yang menghentikan pengedaran testosterone dalam badan berbanding wanita yang tidak mengamalkan pengambilan pil perancang.

Penyelidikan dalam Jurnal Perubatan Seksual bulan ini berdasarkan kajian ke atas 124 wanita pra menopaus yang menghadiri klinik masalah seksual.

Separuh daripada wanita berkenaan menggunakan pil, 39 daripada mereka sudah berhenti menggunakannya dan 23 lagi tidak pernah mengambil pil itu. – Agensi