Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my




Sekiranya pembedahan gagal, pesakit boleh melakukan pembedahan pembetulan

DIANGGARKAN hampir 10 juta penduduk dunia menderita akibat buta kornea. Daripada jumlah itu, hanya 100,000 transplan kornea dilakukan setiap tahun di seluruh dunia akibat kekurangan bekalan organ tisu penderma, sekali gus ia dilihat umpama krisis kesihatan sejagat.

Hakikatnya, sejak 200 tahun lalu, saintis sudah mula mencuba pelbagai cara untuk menghasilkan kornea palsu sehinggalah kepada penemuan kornea palsu daripada bahan polimer sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Perunding Pembedahan Opthalmic daripada Pusat Pakar Mata Centre For Sight, Dr Choong Yean Yaw, berkata sebagai pusat pakar mata yang pertama memperkenalkan prosedur transplan kornea palsu di Malaysia, prosedur ini adalah sebahagian daripada hampir 40 prosedur lain yang ditawarkan untuk memperbetulkan pelbagai masalah penglihatan.

Prosedur transplan kornea palsu hanya sesuai kepada pesakit dalam keadaan terdesak. Ini bermakna tanpa pembedahan pesakit tidak mungkin dapat penglihatannya kembali.

“Jika mereka memilih untuk tidak melakukan pembedahan, bermakna mereka memilih untuk tidak mahu melihat lagi, dalam kata lain prosedur ini menunjukkan ia hanya dilakukan ke atas pesakit dengan masalah penglihatan yang sangat serius,” katanya yang menambah tujuan utama prosedur ini ialah untuk memulihkan kembali penglihatan.



Pakar akan mencadangkan prosedur transplan kornea palsu bagi kes tertentu membabitkan penyakit serius hinggalah kepada kecederaan mata akibat trauma.

Antaranya parut akibat jangkitan seperti herpes atau fungus keratitis; penyakit mata seperti keratoconus; faktor keturunan atau kepincangan kornea akibat pembedahan terdahulu; kornea nipis dan bentuk yang tidak normal (seperti keratoconus); komplikasi Lasik; terkena bahan kimia pada kornea atau rosak akibat kecederaan mata dan bengkak yang keterlaluan (edema) pada kornea.

Prosedur transplan kornea palsu dilakukan bertujuan melindungi struktur dalaman mata, mengurangkan kesakitan dan memperbaiki penglihatan yang rosak. Menerusi kajian dan pengalaman bertahun-tahun dalam bidang optalmologi, saintis menemui sejenis bahan yang hampir mampu serasi dengan sel tisu manusia (polimer) dengan kadar tolakan yang sangat rendah oleh penerima organ palsu.

Soalnya, prosedur ini masih kurang popular dan tidak ideal di kalangan pesakit disebabkan beberapa kekurangan. Dalam kebanyakan kes, kornea palsu ini tidak serasi dengan tisu organ penerima. Ini menunjukkan teknologi kornea palsu masih belum mencapai tahap sempurna, namun masih memberikan pilihan kepada pesakit.

Pemeriksaan rapi dilakukan sebelum prosedur transplan dijalankan.

“Biasanya bahan asing yang tidak serasi dengan tisu penerima lama kelamaan akan membentuk jurang antara tisu normal dan bahan asing tadi dan ini memungkinkan berlaku jangkitan,” kata Dr Choong mengenai risiko jangkitan dan penolakan prosedur berkenaan.

Berbanding kaedah lain, transplan kornea palsu jauh lebih ringkas dan selamat berbanding prosedur lain dari segi rawatan dan penjagaan sebelum dan selepas pembedahan. Pesakit masih perlu mendapatkan penjagaan rapi doktor sepanjang hayat selepas transplan kerana mereka akan mengenakan kanta lekap bagi mengelakkan jangkitan, menghalang kornea dan tisu organ di sekelilingnya daripada cair dan perlu ubat titis mata antibiotik bagi mengelakkan jangkitan sepanjang hayat mereka.

“Tidak dinafikan, masih ada banyak kekurangan dan kelemahan apabila kita bercakap mengenai teknologi perubatan dan sehingga kini masih belum ditemui prosedur sempurna. oleh kerana itu juga jumlah pesakit yang menjalankan prosedur ini di klinik kami tidak melebihi dua orang setahun.” katanya.

Bagaimanapun, transplan kornea palsu punya kelebihannya tersendiri. Sekiranya prosedur ini gagal, dan organ palsu menolak penerima, pesakit masih boleh melakukan pembedahan pembetulan dengan mendapatkan tisu daripada penderma organ tisu pula. Pesakit juga tidak perlu bergantung kepada pelbagai jenis ubat-ubatan sepanjang hidup mereka, sebaliknya hanya perlukan ubat titis mata setiap hari.

Anda seharusnya menimbangkan transplan kornea palsu sekiranya prestasi kerja dan keupayaan untuk melaksanakan aktiviti seharian terganggu dek penglihatan yang bermasalah, penglihatan tidak dapat diperbaiki menerusi penggunaan kanta lekap khusus atau prosedur yang kurang invasif, sanggup dan komited untuk menerima khidmat rawatan kaunselor selepas pembedahan sepanjang hayat.