AHMAD Johari, 43, bapa kepada Samion, 8, dari Pekan Jitra, Kedah yang mati tercekik ikan puyu baru-baru ini, reda dengan pemergian arwah buat selama-lamanya dalam usia semuda itu.

Ikan sebesar ibu jari kaki itu dikatakan telah melompat ke dalam mulut Samion ketika anak ketiga daripada empat beradik itu sedang menundukkan kepalanya sambil mengocakkan air di dalam kolah.

Benarlah, apa yang telah berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Sekurang-kurangnya, tragedi tersebut menyedarkan kita akan peri pentingnya pengetahuan bantuan kecemasan.

Sekadar mengambil beberapa contoh kes tercekik yang pernah mendapat perhatian umum.

Jika anda masih ingat, berita Presiden Amerika Syarikat George W. Bush yang pengsan beberapa ketika kerana tercekik ketika memakan biskut, pernah menghiasi muka depan hampir kebanyakan akhbar tempatan, Januari 2002.

Kejadian berlaku semasa Bush berseorangan menonton perlawanan bola sepak di antara Baltimore Ravens dan Miami Dolphins menerusi kaca televisyen di sebuah bilik di White House.

Doktor yang merawat Bush, Richard Tubb berkata, bosnya itu mungkin pengsan disebabkan oleh cara mengunyah dan menelan biskut yang tidak betul yang kemudiannya mengakibatkan kadar degup jantung yang perlahan.

Pengajarannya daripada kemalangan itu, Bush berkata: ``Saya perlu mengikuti nasihat ibu supaya mengunyah dahulu makanan sebelum menelannya dan memberikan perhatian ketika makan.''

Sementara itu, sekurang-kurangnya tiga warga Tokyo, Jepun mati setelah tercekik sejenis kuih beras yang melekit yang dijadikan hidangan istimewa menyambut tahun baru, terlekat di kerongkong dan menutup saluran pernafasan mereka.

Beralih ke dalam negara, seorang lelaki lumpuh berusia 62 tahun mengalami sesak nafas sebelum akhirnya meninggal dunia akibat tercekik dodol di Gua Musang, Kelantan.

Dalam kes berasingan di Kuala Lumpur, seorang kanak-kanak perempuan, 3, yang sedang mengunyah gula-gula jeli telah terjatuh dari basikalnya dipercayai sesak nafas, sebelum tidak sedarkan diri dan juga, mati tercekik.

``Masalahnya, apabila seseorang mengalami cekikan, mangsa selalunya akan mudah panik.

``Memburukkan keadaan apabila individu yang berada berhampiran dan berpotensi menjadi satu-satunya penyelamat, juga menjadi panik.''

Kenyataan itu dipetik daripada artikel Kecemasan: Tercekik yang disiarkan di dalam laman rasmi Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

Menurut laporan itu lagi, adalah penting bagi seseorang untuk bertenang jika berdepan situasi serupa suatu hari nanti.

Berikut adalah laporan penuh artikel berkenaan. Sekiranya anda berhadapan dengan masalah kecemasan tercekik, ikutilah arahan di bawah sebagai panduan.

Pengurusan/pengendalian kanak-kanak yang menghadapi masalah cekikan bergantung kepada saiz tubuh mereka.


Mengendalikan masalah cekikan di kalangan orang dewasa/ kanak-kanak dengan ketinggian melebihi 1.2 meter.

Sekiranya mangsa berada dalam keadaan sedar:

* Bercakap dengan mangsa

* Jika mangsa boleh menjawab, bermakna dia dapat menggerakkan udara di dalam salur pernafasannya (boleh bernafas)

* Galakkan mangsa untuk batuk. Jika mereka berupaya batuk dengan kuat, tunggu dan awasi sahaja keadaan mangsa.



Lakukan sesuatu jika:

* Mangsa tidak dapat menjawab

* Anda berpendapat bahawa tiada udara mengalir keluar dan masuk ke dalam salur pernafasannya (mangsa tidak bernafas)

* Mangsa hilang keupayaan untuk batuk dengan kuat.



Tindakan yang boleh dilakukan

Untuk mangsa yang sedang berdiri:

Berdiri di belakang mangsa. Letakkan sebelah tangan anda di atas genggaman tangan yang sebelah lagi di tengah-tengah badan mangsa iaitu betul-betul di bawah hujung tulang dada.

Sekiranya mangsa terlalu tinggi, baringkan mereka di atas permukaan yang rata.

Lakukan tekanan dengan cepat dan padu ke dada mangsa ke dalam dan ke atas. Lakukan sehingga benda yang tersekat itu terkeluar daripada tekak.

Bagi mangsa yang terbaring di atas lantai:

* Terlentangkan mangsa di atas permukaan yang rata dan keras

* Duduk melutut dengan mangsa berada di tengah-tengah

* Letakkan pangkal sebelah tangan anda di tengah abdomen mangsa (di bawah tulang dada) dengan tangan yang sebelah lagi menekan di atasnya

* Kemudian lakukan tekanan dengan cepat dan padu ke dada mangsa dengan membongkok sedikit ke hadapan.

Sekiranya mangsa tidak sedarkan diri:

* Periksa laluan udaranya (salur pernafasan).

Buka mulut mangsa dengan memegang rahang bawah dan lidah dan menolaknya ke bawah.

* Jika anda dapat melihat sesuatu, masukkan jari anda di satu sisi tekak dan dengan menggerakkan jari anda ke sisi satu lagi, cuba mengorek keluar benda yang tersekat itu

* Jika mangsa tidak bernafas dengan spontan walaupun anda berjaya mengeluarkan benda yang tersekat, berikan dua hembusan nafas yang cepat melalui kaedah pernafasan mulut ke mulut

* Jika dada mangsa tidak bergerak naik, hembusan nafas yang anda berikan seperti terhalang oleh sesuatu dalam salur pernafasan mangsa atau anda tidak berjaya mengeluarkan benda yang tersekat di tekak, anda perlu bertindak segera.

Tindakan anda

* Baringkan mangsa menelentang. Duduk melutut merentang dengan mangsa berada di tengah-tengah

* Letakkan tapak sebelah tangan anda di bahagian bawah tulang dada dengan tangan satu lagi di atasnya

* Dengan membongkok ke hadapan, tekan abdomen mangsa dengan cepat dan padu beberapa kali


Mengendalikan masalah cekikan di kalangan orang dewasa/kanak-kanak dengan ketinggian kurang dari 1.2 meter.

Sekiranya kanak-kanak dalam keadaan sedar:

* Perhatikan bayi/kanak-kanak berkenaan. Jika mereka tidak bernafas, tidak boleh menangis atau batuk dengan kuat, terus ke langkah kedua.

Jika kanak-kanak tidak sedarkan diri:

Periksa saluran udara mangsa.

Buka mulut mangsa dengan memegang rahang bawah dan lidah dan menolaknya ke bawah.

Jika anda terlihat objek yang tersekat, masukkan jari anda di satu sisi tekak dan dengan menggerakkan jari anda ke sisi satu lagi, cuba mengorek keluar benda yang tersekat itu.

Jika mangsa tidak bernafas dengan spontan walaupun anda berjaya mengeluarkan benda yang tersekat, berikan dua hembusan nafas yang cepat melalui kaedah pernafasan mulut ke mulut.

Jika dada mangsa tidak bergerak naik, hembusan nafas yang anda berikan seperti terhalang oleh sesuatu dalam salur pernafasan mangsa atau anda tidak berjaya mengeluarkan benda yang tersekat di tekak, terus ke langkah kedua.

Kedudukan menelungkup/meniarap:

Letakkan bayi/kanak-kanak dalam keadaan meniarap. Ampu kepala dan badannya di atas lengan anda. (Anda perlu duduk untuk memudahkan proses ini).

Teknik tepukan belakang:

* Tepuk belakang bayi/kanak-kanak dengan cepat dan padu menggunakan dasar tapak tangan, di bahagian antara tulang kipasnya sebanyak empat kali.

Telentangkan bayi/kanak-kanak:

* Pusingkan bayi supaya menelentang dengan mukanya memandang ke atas. Ampu kepala dan badannya di atas lengan anda. (Anda perlu duduk untuk memudahkan proses ini).

Teknik lonjakan dada:

* Dengan menggunakan dua jari, tekan tulang dada bayi/kanak-kanak sebanyak empat kali dengan cepat.

* Teruskan langkah dua hingga lima sehingga objek yang tersekat dapat dikeluarkan.



INGAT...

Jangan panik. Bertenanglah dan ikuti arahan yang dinyatakan di atas.

Jika anda gagal mengeluarkan objek yang tersekat, dapatkan rawatan kecemasan segera di hospital yang terdekat.