Oleh Hafizah Iszahanid

Sakit kepala tiada penawar ini turut dialami kanak-kanak seawal 10 tahun

SEBUT saja migrain, ramai dapat membayangkan betapa azabnya berdepan masalah sakit kepala ini. Apa tidaknya, bukan sekadar kepala yang berdenyut, tetapi mata terasa perit untuk dibuka, pandangan kabur, sukar berdiri dan ada ketikanya seperti hendak pitam. Malah, sakit kepala ini juga boleh menyebabkan mood yang pada awalnya baik, boleh berubah menjadi marah dalam sekelip mata.

Hakikatnya, migrain bukan sekadar sakit kepala. Kerap kali ia dirujuk sebagai masalah neurologi yang biasa menyerang khususnya wanita. Serangan migrain selalunya berlaku pada sebelah bahagian kepala, rasa sakit yang seakan dicengkam, loya, muntah dan sensitif pada cahaya, bunyi, bau malah pergerakan.


Dari segi perubatan, migrain terjadi apabila kombinasi saluran darah yang mengembang dan membebaskan bahan kimia daripada saraf fiber yang melingkari sekitar saluran darah itu. Pembebasan bahan kimia itu menyebabkan radang, rasa sakit dan seterusnya arteri membengkak.

Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Pusrawi Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Dr Zainordin Md Noor, berkata migrain adalah masalah yang biasa ditemui dengan anggaran antara tiga hingga 29 peratus penduduk.

“Kerap kalinya migrain menyerang mereka yang berusia 16 tahun ke atas. Namun, kanak-kanak seawal usia 10 tahun boleh diserang migrain tetapi ia sedikit berbeza,” katanya.

Dr Zainordin berkata, migrain kanak-kanak ini mempunyai simptom seperti muntah atau loya. Ia bagaimanapun tidak membabitkan sakit kepala.

Migrain di kalangan dewasa pula biasanya menyerang pada sebelah kiri atau kanan kepala. Rasa sakitnya pula berbeza-beza bagi setiap pesakit. Ada yang berasa sedikit kesakitan dan tidak kurang yang mengalami rasa sakit keterlaluan.

Bagi sesetengah individu, rasa sakit yang menyerang itu boleh hilang dalam tempoh tiga jam tetapi ada yang perlu menanggung kesakitan sehingga tiga hari lamanya.

Berbanding lelaki, wanita lebih kerap mengalami migrain yang dipercayai berkaitan dengan perubahan hormon, terutama ketika waktu haid. Bagi seorang perempuan yang kerap diserang migrain, serangan itu akan berhenti apabila dia hamil. Namun, migrain kembali menyerang selepas melahirkan anak.

Ramai percaya migrain bukan penyakit yang diwarisi secara genetik. Bagaimanapun jika ada ahli keluarga anda mengalami migrain, anda berkemungkinan turut mengalaminya.

Migrain terbahagi kepada dua jenis

1) Migrain biasa (tanpa aura)

Rasa sakit yang mencengkam dan selalunya pada sebelah kepala saja. Ada kala diikuti dengan rasa sakit perut, hilang selera makan, loya, muntah, sembelit dan cirit birit. Biasanya terjadi pada sembilan daripada 10 pesakit. sensitif pada bau, cahaya dan kebisingan.

2) Migrain klasik (dengan aura)

Sebelum serangan, biasanya pandangan pesakit terganggu dengan gambaran bintang-bintang, cahaya atau garisan bengkang bengkok. Secara puratanya, serangan migrain jenis ini berlaku dalam tempoh 22 jam.

Punca

1) Tekanan - ada kala serangan migrain berlaku akibat komplikasi tekanan. Apabila tekanan hilang, pesakit diserang migrain.

2) Terdedah kepada sinaran lampu, bunyi bising atau kepanasan yang melampau.

3) Tidak cukup tidur atau terlebih tidur.

4) Perubahan hormon.

Pencetus migrain

Jelas Dr Zainordin, ada sesetengah makanan berpotensi menjadi pencetus migrain. Walaupun bukan pada semua orang, tetapi bagi sesetengah pesakit, mereka akan diserang migrain apabila mengambil coklat, keju, buah-buahan sitrus, ais krim atau minuman kafein.

“Ada bezanya antara migrain dengan sakit kepala biasa. Serangan sakit kepala setiap hari adalah sakit kepala biasa. Migrain sebaliknya membabitkan serangan seminggu sekali atau sebulan sekali. Migrain ini biasanya berdenyut dan kesakitannya pada sebelah bahagian kepala saja,” katanya.

Walaupun ada kes pesakit migrain yang mengalami kesakitan pada kedua-dua belah kepala, tetapi ia jarang berlaku.

Migrain tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dielak dengan mengurangkan tekanan, mengelak makanan yang boleh menjadi mencetus serangan. Selain itu jika anda menyedari tanda-tanda awal migrain, ia boleh dicegah dengan mengambil ubat tahan sakit seperti aspirin, paracetemol atau ubat khusus untuk migrain.

Namun, mengambil ubat terlalu kerap tanpa nasihat doktor akan menyebabkan komplikasi penyakit lain seperti gastrik.

Rawatan

Berdasarkan keadaan anda, doktor akan memberi ubat-ubatan yang bersesuaian. Ada pelbagai jenama ubat yang boleh anda beli di pasaran. Bagaimanapun, berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat adalah cara paling baik.

Memandangkan ia adalah masalah yang sehingga kini belum dapat ditangani, anda perlu bijak menguruskan migrain, termasuk menjauhi makanan-makanan yang boleh mencetuskan masalah itu selain mengawal tekanan dengan baik.

INFO: Makanan pencetus migrain

  • coklat
  • keju
  • buah-buahan sitrus
  • ais krim
  • minuman kafein