Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my


Tangki berisi nitrogen cair untuk proses pembekuan sel stem dan sel darah putih.

Mereka masih agak was-was mengenai perkhidmatan ini dan lebih suka basuh, tanam uri dan tali pusat selepas bayi dilahirkan

ORANG ramai terutama ibu bapa perlu membuang jauh-jauh sangkaan anak mereka tidak akan diserang penyakit bahaya seperti leukemia dan beranggapan mereka akan sihat sepanjang hayat.

Jangan berbicara mengenai barah, bagaimana dengan penyakit kronik lain yang sering kelihatan menyerang kanak-kanak seperti celebral palsy atau talasemia?


“Ia tidak bermakna kita meminta anak mendapat penyakit tetapi jika itu berlaku, kita sudah bersedia menghadapinya. Jadi, tiada ruginya menyimpan darah tali pusat kerana besar manfaatnya kepada anak itu sendiri atau mungkin juga kepada adik beradiknya.

“Kemajuan pesat dalam bidang perubatan sudah menunjukkan kajian potensi bagi merawat penyakit seperti celebral palsy dan diabetes Jenis Satu dan sudah membuktikan penyakit seperti leukemia, talasemia serta anemia berpotensi dirawat menggunakan darah tali pusat,” kata Pengarah Eksekutif Syarikat Bank Darah Tali Pusat pertama, StemLife Berhad, Prof Dr Aw Tar Choon.

Bagi tujuan itu, amat penting ibu bapa mendapatkan penerangan sejelas-jelasnya mengenai prosedur pengambilan dan penyimpanan darah tali pusat yang dijamin tidak menyakitkan, jauh sekali membahayakan ibu dan bayi.

Alat yang digunakan untuk mengambil darah tali pusat bayi sebaik dilahirkan.

StemLife yang ditubuhkan pada 2001 ialah syarikat swasta pertama menyediakan sel stem daripada darah tali pusat untuk pemindahan tulang sum-sum bagi tujuan rawatan leukemia pediatrik.

Ia syarikat swasta yang pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan institusi penyelidikan untuk mengkaji sel stem dewasa dari saluran darah untuk kegunaan dalam rawatan masalah berkaitan darah, sakit jantung, ulser kaki dan kecederaan serta trauma bersukan.

Syarikat kini, katanya mempunyai lebih 30,000 pelanggan rakyat tempatan dan 10 peratus daripada jumlah itu ialah orang Islam.

“Saya sedar kebanyakan orang Melayu masih agak was-was mengenai perkara ini. Kebanyakan mereka membasuh dan menanam uri serta tali pusat selepas bayi dilahirkan.


“Namun kesedaran di kalangan mereka mengenai kebaikan menyimpan darah tali pusat semakin tinggi dan semakin ramai orang Melayu menggunakan khidmat kami termasuk golongan selebriti.

“Malah di Emiriah Arab Bersatu, bank darah tali pusat sudah ditubuhkan beberapa tahun lalu di Sharjah atas pembiayaan kerajaan,” katanya.

Beliau juga berkata, orang Melayu perlu lebih prihatin mengenai perkara itu kerana kesukaran mendapatkan penderma bersesuaian jika berdepan masalah kesihatan

“Orang Cina misalnya, boleh mencari penderma bersesuaian di Taiwan atau Amerika Syarikat tetapi orang Melayu sukar berbuat demikian. Sumber mereka agak terhad. Jadi, lebih baik bagi mereka membuat persediaan awal dengan menyimpan darah tali pusat.

“Malah dengan berlaku perkahwinan campur dalam masyarakat kita, sewajarnya penyimpanan darah tali pusat perlu diberi pertimbangan serius,” katanya.

Prof Aw berkata, banyak faedah menyimpan darah tali pusat berbanding mengambil sel stem pada peringkat dewasa, kerana selain selamat dan tidak menyakitkan, ia bebas daripada sebarang penyakit seperti Sistem Pernafasan Yang Teruk (SARS) atau influenza manakala risiko penolakan juga rendah.

“Orang dewasa yang tidak berkesempatan menyimpan darah tali pusat masih boleh menjalani kaedah pengambilan sel stem tetapi prosesnya panjang dan kosnya lebih tinggi.

“Jadi, untuk apa kita membazirkan wang jika kaedah penyimpanan darah tali pusat tersedia pada kos jauh lebih murah, kaedah pengambilan yang langsung tidak menyakitkan dan dijamin selamat.

“Jangan mensesiakan kepesatan teknologi perubatan dengan mengambil ringan kepentingan menyimpan darah tali pusat. Jika tidak kerana anak sendiri, fikirkan apa ia boleh buat kepada orang lain.

“Bagi saya itu juga satu bentuk sumbangan kepada masyarakat. Kajian awal ke atas sel stem dewasa menunjukkan ia sudah hampir sampai ke peringkat mampu merawat penyakit hati dan kardiovaskular. Saintis masih berusaha keras menjalankan kajian lanjut sebelum boleh mengumumkan kejayaan mereka.

“Namun seperti saya tegaskan tadi, dulu proses pengambilan sel stem dari tulang sum-sum menyakitkan dan mahal. Darah tali pusat juga terbukti dapat memberi kesan sama dengan sel stem tulang sum-sum dalam merawat banyak penyakit berkaitan sistem darah kanak-kanak. Jadi, saya tidak nampak ada sebab untuk kita memandang remeh perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru mengenai kebaikan darah tali pusat, kanak-kanak berusia 18 bulan di Chennai, Thamirabhani, yang didiagnos dengan talasemia akhirnya berjaya dipulihkan menggunakan rawatan sel stem yang diambil daripada darah tali pusat adik lelakinya, Pugazhendi.

Sel stem itu dipindahkan kepada Thamirabhani Mac lalu dan selepas lima bulan tempoh pengawasan, doktor minggu lalu mengumumkan Thamirabharani sudah sembuh daripada talasemia.