Keliru terlampau banyak jenis doktor

Saudara Pengarang,
SEJAK kebelakangan ini terlalu banyak yang diperkatakan mengenai institusi kedoktoran. Profesion yang dulunya dipandang tinggi kini menjadi bahan kritikan. Walaupun masih ramai ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menjadi doktor, namun reputasi para doktor tidak lagi seperti dahulu.

Satu fenomena yang lebih membimbangkan ialah kewujudan `doktor palsu'. Sebagai pengguna, kita sendiri akan mudah tertipu kerana tiada satu mekanisme untuk mengawal serta mengenal pasti ketulenan dakwaan mereka yang terbabit.

Di samping itu, galakan penggunaan perubatan tradisional/alternatif bukan sahaja memeningkan kepala malah membawa pelbagai implikasi yang kurang sihat.

Pengguna keliru untuk mengenai siapa yang sepatutnya diberi kebenaran menggunakan gelaran doktor ini. Umum mengetahui bahawa hanya mereka yang mempunyai kelulusan ijazah kedoktoran perubatan seperti MBBS/MD/MBChB dan sebagainya sahaja layak menggunakan gelaran doktor (Dr.)

Golongan kedua ialah mereka yang mendapat ijazah doktor falsafah dan boleh menggunakan gelaran DR. (huruf besar bagi membezakan dengan doktor perubatan).

Di samping itu, hanya mereka yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMA) sahaja yang boleh menggunakan perkataan ``klinik'' di premis perniagaan swasta.

Malangnya kini pengamal perubatan tradisional juga menggunakan gelaran tersebut tanpa had atau sekatan. Pengamal perubatan homeopati contohnya menggunakan gelaran Dr. (H) dan dengan bebas menggunakan perkataan ``klinik'' di tempat rawatan mereka. Begitu juga pengamal perubatan tradisional/alternatif yang menggunakan pelbagai gelaran lain seperti Profesor/Sir/Datuk dan sebagainya bagi mengabui mata orang ramai.

Ada di antara mereka memakai pakaian doktor (jubah putih) bagi meyakinkan orang ramai kononnya mereka adalah doktor yang asli. Mereka ini juga menggunakan pelbagai peralatan perubatan seperti stetoskop dan sebagainya bagi memperkukuh imej.

Doktor palsu semakin ramai di Malaysia termasuk yang menyuntik pelbagai ubat (contohnya vitamin C) untuk kecantikan, memeriksa pesakit tanpa mengikut etika kedoktoran dan memberi ubat-ubatan tanpa mengira kesan sampingan atau latar belakang pesakit berkenaan.

Lebih memburukkan lagi keadaan, semakin ramai ahli farmasi dan peniaga kedai ubat yang turut mengambil alih peranan para doktor. Mereka memberi rawatan ubat-ubatan tanpa melakukan pemeriksaan. Ubat tidur, ubat kencing manis, darah tinggi, antibiotik dan sebagainya boleh dibeli dengan bebas.

Mereka turut menjual ubat-ubatan yang terkawal seperti ubat penenang yang boleh menyebabkan ketagihan tanpa had. Alasan mereka ialah ahli farmasi lebih arif tentang ubat dan boleh memberi kaunseling yang lebih baik daripada doktor.

Jadi tidak salah kalau mereka memberi ubat-ubatan tersebut dan para doktorlah yang bersalah kerana enggan memberi kerjasama dan sengaja membesarkan isu sebegini. Kalau begitulah alasannya, lebih baik ditutup sahaja sekolah perubatan dan wujudkan lebih banyak sekolah farmasi kerana ahli farmasi kini lebih pandai daripada doktor sendiri.

Sejak kebelakangan ini terdapat satu kegilaan baru. Orang ramai kini suka membuat ujian darah tanpa perlu merujuk kepada pihak doktor yang berkelayakan. Mereka cuma perlu pergi ke farmasi atau makmal swasta untuk mengambil darah tanpa perlu berjumpa doktor.

Pelbagai ujian diiklankan dan kebanyakannya tidak perlu dilakukan langsung kerana tidak relevan kepada penyakit yang dihidapi.

Tidak kurang pula ubat-ubatan yang dijual secara berleluasa yang mendakwa boleh mengubat seribu macam penyakit tanpa perlu berjumpa doktor. Semuanya mengaku bahawa sumber mereka ialah bahan herba dan tidak mempunyai sebarang kesan sampingan. Malangnya tiada pula bukti saintifik yang dikemukakan.

Pelbagai kepincangan berlaku, tetapi tiada usaha dibuat oleh pihak yang berkuasa bagi membendung fenomena ini daripada semakin berleluasa.

Apakah kita mahu menunggu berlakunya sesuatu tragedi baru hendak bertindak? Sikap reaktif dan bukannya proaktif sudah cukup sinonim di kalangan pihak berkuasa dan masyarakat Malaysia. Apabila terjadi sesuatu insiden, barulah semua pihak kelam-kabut menuding jari.

Agak menghairankan, mereka yang terlibat secara langsung dalam profesion ini masih terus membisu dan tidak mahu bergabung tenaga bagi membela nasib mereka sendiri.

MMA yang sedia ada terbukti kurang tajam taringnya. Kementerian Kesihatan pula seperti biasa ``kurang kakitangan'' untuk melaksanakan penguatkuasaan dan ``tiada kuasa' untuk mengambil tindakan.

Persatuan-persatuan pengguna pula asyik menyalahkan para doktor dan akhirnya nama buruk terus ditanggung oleh profesion kedoktoran. Jadi siapakah yang sebenarnya perlu bertanggungjawab dalam hal ini? - WAN MOHD RUSHIDI, Alor Star, Kedah.