Hanya dua kali kepitan diperlukan bagi setiap buah dada semasa prosedur mamografi.

SUDAH agak lama rasa-rasanya kita tidak berbicara tentang kanser buah dada. Biasanya, cakap-cakap mengenainya lebih ketara menjelang bulan kesedarannya pada Oktober, walaupun setiap hari sepatutnya menjadi hari kesedaran akan peri bahayanya kanser buah dada, khususnya bagi kaum wanita.

Memang kemunculannya tidak dapat dihalang-halang. Kalau mahu, sel-sel kanser boleh sahaja menempel bila-bila sahaja yang ia suka di buah dada anda.

Bagaimanapun, kesedaran, langkah-langkah pengesanan proaktif, aktiviti fizikal, pemakanan yang seimbang dan gaya hidup sihat secara keseluruhannya merupakan bonus dalam membantu mengurangkan risiko kejutannya.

Kenyataannya, apabila kanser buah dada berjaya dikesan awal, ia meningkatkan prospek hidup pesakit dengan ketara. Ini kerana, diagnosis pada tahap yang masih belum terlambat menjadi penentu kejayaan satu-satu rawatan yang diberikan.

Fakta inilah yang sehingga kini tidak henti-henti diperjuangkan oleh banyak persatuan mahupun institusi berkaitan untuk menyedarkan wanita betapa mereka sebenarnya mempertaruhkan nyawa.

Jadi, berapa besarkah masalah berkaitan kanser buah dada di Malaysia?

Kanser buah dada merupakan kanser yang paling banyak dikesan di kalangan wanita di Malaysia tanpa mengira kumpulan etnik.

Ia juga adalah penyebab utama kematian yang disebabkan oleh kanser - merangkumi 30.4 peratus kanser yang baru dikesan di kalangan wanita Malaysia.

Bilangan kes kanser buah dada juga meningkat dari tahun ke tahun sebagaimana laporan terakhir Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia.

Insidennya adalah 4,337 pada tahun 2002 berbanding 3,825 pada tahun 2000. Seorang dari 19 orang wanita di Malaysia mempunyai kebarangkalian untuk mendapat penyakit ini.

``Berbeza dengan kebanyakan negara membangun yang lain di mana kanser ini banyak dikesan pada wanita yang berusia lanjut, lebih dari separuh atau bersamaan 52.3 peratus pesakit di Malaysia adalah berumur kurang dari 50 tahun.

``Penyakit ini boleh berlaku bila-bila masa ketika wanita masih mempunyai anak-anak yang sedang membesar dan ketika kebanyakan wanita masih lagi berada dalam alam pekerjaan,'' kata Pakar Runding Radiologi, Hospital Kanser NCI (NCICH), Dr. Azubah Awang Abd. Rahman.

Menurutnya, kajian turut mendapati bahawa kanser adalah lebih susah untuk dikesan ketika wanita masih mengalami kitaran haid.

Apakah perlunya penyakit ini dikesan pada peringkat awal?

Dr. Azubah berkata, wanita yang kurang berpeluang menjalani pemeriksaan buah dada mempunyai risiko yang tinggi kanser buah dada dikesan pada peringkat yang lewat.

Sebanyak 50 hingga 60 peratus kes yang baru dikesan di Malaysia adalah di peringkat lewat.

``Kajian telah menunjukkan, semakin lewat kanser itu dikesan, semakin tipis peluang untuk sembuh selepas rawatan.

``Wanita Melayu adalah yang paling ramai di mana penyakit ini didiagnos pada peringkat yang sudah lewat,'' katanya.

Seperti yang diketahui, sifat kanser adalah keupayaannya untuk merebak ke organ lain.

Jika kanser buah dada dikesan ketika ia masih terhad di buah dada, kadar pesakit masih sihat selepas lima tahun adalah 98 peratus.

Jika ia telah merebak ke kelenjar limfa setempat ketika dikesan, peratusannya menurun ke mega_shok.gif peratus manakala jika ia telah merebak ke organ lain seperti hati, otak atau tulang, peratusan yang masih hidup selepas lima tahun hanyalah 26 peratus.

``Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan penemuan di atas adalah betapa pentingnya kanser buah dada dikesan di peringkat awal,'' tegas beliau.

Apakah yang perlu dilakukan untuk pengesanan awal kanser buah dada?

Setiap wanita digalakkan menjalani pemeriksaan buah dada sendiri setiap bulan seawal usia 20-an supaya mereka tahu apabila terdapat sebarang perubahan yang terjadi pada buah dada mereka.

Teknik pemeriksaan yang betul boleh dipelajari di kebanyakan klinik dan hospital. Risalah tentang teknik ini juga senang didapati di klinik dan hospital.

Jika seseorang wanita mengesan sebarang tanda atau gejala pada buah dada, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

Antara tanda atau gejala dimaksudkan adalah:

- Rasa sakit

- Perubahan pada bentuk

- Perubahan kedudukan atau rupa puting

- Adanya ketulan

- Terdapatnya lelehan pada puting



``Apabila seseorang wanita mencecah umur 40 tahun, mereka digalakkan menjalani mamografi.

``Sebahagian wanita terutamanya yang mempunyai ahli keluarga terdekat dengan sejarah kanser ini mungkin dinasihatkan untuk memulakan pemeriksaan berkala mamografi,'' kata Dr. Azubah.

Seelok-eloknya, mereka yang berada dalam golongan ini mendapatkan nasihat doktor tentang bila perlunya mereka memulakan pemeriksaan ini.


Apakah mamografi?

Mamografi adalah pemeriksaan menggunakan sinar-X dengan dos yang selamat untuk mengesan perubahan pada buah dada.

Kemudahan untuk pemeriksaan ini boleh didapati di hospital-hospital kerajaan di setiap negeri dan di hampir semua hospital swasta.

Menurut Ketua Radiologi di hospital yang sama itu, pemeriksaan ini bertujuan mengesan kanser buah dada ketika saiznya masih kecil.

``Dan belum pun lagi dapat dirasai oleh wanita berkenaan atau doktor yang memeriksanya.

``Jika ia dapat dikesan pada masa ini, peluang wanita berkenaan untuk pulih selepas rawatan adalah amat cerah,'' jelas Dr. Azubah.

Mengulas lanjut prosedur berkenaan, untuk mendapatkan imej yang memuaskan dari pemeriksaan tersebut, buah dada yang diperiksa perlu dikepit secukupnya.

``Walaupun kepitan ini menimbulkan rasa tidak selesa atau sakit, tetapi ia amat penting untuk menjamin kualiti mamografi yang bagus dan laporan dapat dibuat. Dua kali kepitan perlu diberi untuk setiap buah dada.

``Keseluruhan proses mengambil masa lebih kurang lima hingga 10 minit. Pesakit perlu menunggu lebih kurang setengah jam untuk filem selesai diproses,'' katanya.

Laporan bagi filem mamografi yang selesai diproses diberikan oleh pakar radiologi. Beliau akan memberikan laporan atau mencadangkan pemeriksaan yang seterusnya, jika keadaan memerlukan.

Di antara pemeriksaan lanjut yang mungkin diperlukan adalah filem tambahan, pemeriksaan ultrasound atau biopsi.

``Walau apa pun pemeriksaan tambahan yang mungkin dicadangkan, wanita berkenaan perlu bertenang kerana ia tidak semestinya bermakna mereka pasti menghidapi barah.''

Dalam keadaan yang biasa, setiap wanita digalakkan untuk mengulangi pemeriksaan ini setiap satu hingga dua tahun di samping melakukan pemeriksaan sendiri buah dada pada setiap bulan.

Kesimpulannya, kata Dr. Azubah, kanser buah dada adalah barah yang paling banyak berlaku di kalangan wanita.

``Setiap wanita perlu diberikan kesedaran untuk melakukan pemeriksaan sendiri buah dada dan menjalani pemeriksaan mamografi agar penyakit ini dapat dikesan pada peringkat awal.

``Ini akan meningkatkan peluang mereka untuk sembuh selepas rawatan.''

Awas lelaki!

Setiap tahun, kira-kira 1,600 lelaki di Amerika Syarikat bakal didiagnos dengan kanser buah dada dan sebanyak 400 daripada mereka akan mati pada tahun ini!Sesungguhnya, apa yang masih kurang disedari oleh kebanyakan kaum Hawa di negara ini adalah betapa pengesanan awal kanser memainkan peranan penting dalam merangka strategi menyeluruh untuk merawat penyakit tersebut.