Gastrik bukan alasan tidak puasa
Pesakit lewatkan makan sahur dan ketika berbuka elak makanan pedas

GASTRIK tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa meskipun ramai yang beranggapan tidak makan dalam tempoh yang lama akan menyebabkan asid di dalam perut bertindak balas menyebabkan perut sakit.

Tapi sebenarnya, jika kita memahami sebenarnya apa itu gastrik, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa. Pakar Perubatan Am dan Respiratori Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Fazilah Ahmad berkata, gastrik atau peptik ulcer disease (PUD) adalah penyakit yang disebabkan oleh berlakunya lebihan rembesan asid hydroklorik di dalam perut atau hyperacidity yang seterusnya menyebabkan iritasi dan luka di dalam perut.


KEADAAN gastrik yang
menyerang pesakit.

Begitupun kata Dr Fazilah, dari kajian yang dilakukan tidak pula menunjukkan ketika berpuasa rembesan asid hydroklorik ini bertambah malah didapati puasa boleh mengurangkan rembesan asid ini.

“Begitu juga dengan keadaan hyperacidity, keadaan ini tidak menjadi teruk ketika berpuasa. Malah ketika perang dunia kedua, di mana ramai banduan yang kebuluran, kadar penyakit PUD ini tidak bertambah,” katanya.

Justeru jelas Dr Fazilah, pesakit gastrik berupaya untuk berpuasa. Paling baik katanya, seseorang itu tahu tahap kroniknya penyakit yang mereka hadapi.

“Seeloknya mereka perlu menjalani ujian seperti ujian Endoskopi dan doktor akan dapat menentukan keseriusan tahap gastrik mereka. Mereka juga perlu memastikan dapat rawatan yang sempurna untuk penyakit gastrik itu. Pada masa kini banyak ubat-ubatan yang boleh didapati seperti kumpulan ubat-ubatan H2 antagonist seperti Zantac, tagamet serta ubat PROTON PUMP inhibitors seperti Nexium, Pariet dan sebagainya yang boleh menyembuhkan pesakit ini. Pesakit perlu mengambil rawatan ini ketika berpuasa,” jelasnya.

Begitupun, jika pesakit yang masih berasa sakit di bahagian ulu hati, muntah dan membuang air besar dengan najis berwarna hitam dan sangat busuk walaupun sudah mengambil ubat-ubatan, mereka perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut. Keadaan ini kata Dr Fazilah, menunjukkan keadaan peptik ulcer mereka menjadi lebih teruk dan mungkin mengalami pendarahan atau perfosi.

“Selain menjalani rawatan perubatan dan mematuhi nasihat doktor, pesakit itu sendiri sebenarnya harus mengambil langkah berjaga-jaga, Antaranya, ketika berbuka mungkin mereka boleh mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit tetapi berulang-ulang, lewatkan bersahur, elakkan dari memakan makanan yang pedas dan berempah kerana ini mungkin menerukkan penyakit mereka, elakkan dari meminum minuman berkarbonat atau kandungan kaffine yang tinggi dan sebaik-baiknya berhenti merokok,” katanya.



Gejala

1) Sakit perut dan rasa tidak hadam. Sakit perut selalunya dirasai di bahagian atas perut.

2) Rasa pening kepala.

3) Terasa sakit di ulu hati. Sendawa dan kentut yang kerap.

4) Loya atau muntah.

5) Badan rasa lemah lesu.

6) Berat badan menurun

7) Najis menjadi hitam atau gelap dan mungkin keluar darah ketika buang air besar yang menunjukkan ulser sudah menyebabkan pendarahan.


Apa yang perlu anda tahu

1) Gastrik atau nama perubatannya, gastritis secara amnya merujuk kepada inflamasi (radang) pada bahagian lapisan perut (mukosa), tetapi ia juga lazim digunakan untuk menerangkan pelbagai gejala yang disebabkan inflamasi itu termasuk pedih ulu hati atau ketidakselesaan perut.

2) Punca sebenar gastritis ialah jangkitan sejenis bakteria, Helicobacter Pylori atau lebih dikenali sebagai H Pylori yang lazim ditemui pada pesakit gastritis kronik.

3) Saintis masih tidak mengetahui bagaimana bakteria itu menjangkiti manusia.