BAGAIMANAKAH reaksi kita apabila pembedahan anak atau ahli keluarga terpaksa ditunda berkali-kali kerana hospital kekurangan bekalan darah? Pasti perasaan marah, geram, kecewa dan sedih berkecamuk dalam dada, tetapi tidak tahu hendak diluahkan pada siapa.

Bagi yang tidak pernah melaluinya tidak akan tahu bagaimana gelodak dalam hati mereka. Memang ramai akan simpati, tetapi simpati saja tidak dapat membantu apa-apa. Malah, simpati juga tidak sedikit pun meringankan kesedihan yang ditanggung keluarga pesakit.

Sebagai anggota masyarakat yang sihat, kita secara tidak langsung turut bertanggungjawab menjaga kebajikan pesakit dengan memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

Penderma darah tetap adalah orang yang prihatin, penyayang dan menjadi nadi masyarakat kerana darah didermakan itu membolehkan pesakit meneruskan kehidupan mereka.

Sebenarnya, jangka hayat sel darah merah antara 115 hingga 120 hari dan ia boleh disimpan selama 42 hari dalam peti dingin beku untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Kita tidak akan mengalami masalah kekurangan darah kerana badan menghasilkan banyak sel darah yang baru setiap hari bagi menggantikan sel yang mati akibat ‘tua’.

Pakar Patologi Pusat Darah Negara (PDN), Dr Norris Naim, berkata pendermaan darah boleh merangsang badan menghasilkan lebih banyak sel darah baru. Secara tidak langsung ia meningkatkan taraf kesihatan penderma kerana sel darah baru mempunyai keupayaan membawa oksigen yang jauh lebih baik berbanding sel lama.

Ini menyebabkan ramai penderma darah merasa lebih segar dan sihat selepas menderma darah, di samping dapat membantu orang lain. Malah, rata-rata penderma memberi maklum balas mereka lebih tenang kerana mengetahui darah mereka digunakan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

“Selain itu, penderma darah boleh berasa tenteram kerana mempunyai tahap kesihatan baik. Ujian darah dijalankan ke atas semua penderma, walaupun mereka penderma tetap.

“Langkah ini bukan saja bertujuan memastikan darah didermakan adalah selamat, tetapi turut membolehkan penderma mengetahui tahap kesihatan mereka. Jika didapati penderma menghidap penyakit, PDN akan memaklumkan segera perkara itu supaya mereka boleh mendapatkan rawatan,” katanya.

Pada masa sama, kecekapan badan menggunakan zat besi akan meningkat kerana ia diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah yang baru.

Proses ini membantu badan mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelakkan pengumpulan zat besi berlebihan di jantung yang secara tidak langsung merendahkan risiko sakit jantung.

Pun begitu, keinginan menderma perlu datang daripada kerelaan sendiri tanpa dipaksa mana-mana pihak. Yang nyata, PDN dan tabung darah di hospital sering berdepan masalah kekurangan bekalan, terutama pada musim perayaan dan cuti panjang.

Satu unit darah (antara 300 hingga 450 mililiter) dapat menyelamatkan nyawa mangsa demam denggi, kemalangan (yang kehilangan banyak darah), ibu yang tumpah darah ketika bersalin, pesakit talasemia, anemia, leukemia dan haemofilia, mangsa kebakaran serta bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.

Dr Norris berkata, penderma kali pertama tidak perlu bimbang kerana proses pengambilan darah adalah selamat. Banyak langkah keselamatan diambil untuk kebaikan anda dan bakal penerima darah.

Ia dimulakan dengan ukuran tekanan darah (bagi memastikan tekanan darah adalah normal) diikuti ujian pengenalan jenis darah. Sampel sama akan digunakan untuk ujian darah seterusnya.

Malah, selepas contoh darah diambil untuk pengenalan jenis dan ujian darah, pegawai perubatan akan memberi kaunseling secara peribadi bagi memastikan anda penderma berisiko rendah.

Selepas menderma darah, penderma diberikan pil zat besi dan asid filik untuk merangsang badan menghasilkan sel darah baru.

Bagaimanapun, bukan semua orang layak menderma darah.

Ada beberapa ciri yang membolehkan anda layak menjadi penderma, iaitu:


1) Berumur 18 hingga 65 tahun.

2) Berat badan melebihi 45 kilogram.

3) Tahap hemoglobin (kandungan protein dan zat besi) sekurang-kurangnya 12.5 peratus.

4) Tidak menghidap penyakit kronik.

5) Tidak minum alkohol 24 jam sebelum menderma.

6) Tidak mengambil ubat antibiotik, kecuali dengan kebenaran doktor.

7) Tidur melebihi lima jam pada malam sebelum hari menderma.


Manakala kumpulan di bawah juga dilarang menderma buat sementara waktu, iaitu:


1) Demam.

2) Berat badan kurang 45 kilogram.

3) Makan antibiotik yang tidak membenarkan mereka menderma darah.

4) Tidur kurang lima jam.

5) Minum minuman beralkohol kurang daripada 24 jam.

6) Menjalani pembedahan dalam tempoh enam bulan.

7) Mendapatkan rawatan gigi dalam tempoh 24 jam sebelum menderma.

dirol.gif Mendapat suntikan vaksinasi tiga minggu sebelum hari menderma.

9) Menindik telinga, menjalani akupuntur atau tatu dalam masa setahun.



Anda dilarang sama sekali menderma darah jika:


1) Menghidap penyakit kelamin, Aids, tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetes, talasemia, haemofilia dan hepatitis B atau C, sawan, asma dan batuk kering.

2) Menjalankan hubungan seks rambang dengan ramai pasangan.

3) Melanggani pekerja seks (pelacur).

4) Mengamalkan hubungan sejenis (homoseks).

5) Menjalankan hubungan seks dengan dua-dua jantina (biseksual).

6) Mengambil dadah secara suntikan.

Larangan ini bertujuan memberikan penderma menjalani ‘window period’ iaitu tempoh antara waktu kuman, bakteria atau virus memasuki badan hingga badan menghasilkan antibodi untuk menentang mikro organisma berkenaan.

Ini kerana ada penderma tidak sedar perlakuan tidak sihat boleh menjangkiti orang lain melalui darah mereka.

Jika penderma menderma darah dalam tempoh ini, ujian darah mereka mungkin menunjukkan keputusan negatif bagi kehadiran virus atau bakteria.

Bagaimanapun, tempoh ‘window period’ ini berbeza antara individu dan jenis virus atau bakteria. Justeru, jika mahu menjadi penderma, pastikan anda tergolong dalam kumpulan berisiko rendah.

Paling penting, jangan jadikan pendermaan darah untuk menguji kebersihan darah anda kerana ia boleh membahayakan nyawa insan tidak berdosa.

Darah yang diderma akan dibahagikan mengikut komponennya iaitu sel darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, faktor VIII dan IX — yang semuanya ada kegunaan tersendiri.

Contohnya, sel darah merah digunakan untuk merawat pesakit talasemia, leukemia, orang yang kehilangan darah dan kekurangan darah (anemia).

Manakala plasma pula penting untuk merawat mangsa kebakaran dan kebanyakan kes kehilangan darah.

Malah, plasma akan dibekukan sebelum dihantar ke Makmal Serum Commonwealth di Melbourne, Australia untuk dijalankan proses pemecahan bagi menghasilkan faktor VIII, immunoglobulin dan albumin 20 peratus yang digunakan bagi merawat pesakit haemofilia, iaitu masalah darah lambat beku.