Oleh Hafizah Iszahanid

Ketahui risiko di negara yang ingin dilawati

SELAIN memikirkan keseronokan untuk keluar negara, pernahkah anda mengambil masa menyemak status kesihatan negara yang bakal dilawati?

Tahukah anda dalam masa sebulan, separuh daripada 100,000 pelancong yang bertandang ke negara-negara membangun, akan mengalami masalah kesihatan?


Bukan setakat itu, daripada 8,000 yang berjumpa doktor, 5,000 mendapat cuti sakit, 300 terlantar di wad manakala 1,100 lain hilang upaya bekerja dengan sekurang-kurangnya seorang pula berkemungkinan meninggal dunia?

Sebenarnya, selain menyediakan pasport dan tiket untuk keluar negara anda perlu memastikan imunisasi anda juga di tahap baik. Misalnya jika anda mengunjungi negara yang berhadapan masalah hepatitis B atau A, anda perlu pastikan anda sudah mendapat pelalian penyakit berkenaan.

Dekan Fakulti Sains Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa, Prof Yasmin Abdul Malik, berkata disebabkan kebarangkalian mendapat penyakit sewaktu melancong sangat tinggi, pengembara sepatutnya berjumpa doktor sebulan atau dua bulan sebelum memulakan perjalanan.

“Pengembara biasanya menghidap penyakit ini melalui makanan dan air yang tercemar, serangga atau sentuhan dengan orang lain yang sudah oun dijangkiti. Jangkitan lazimnya membabitkan sistem gastro usus atau pun menerusi sistem pernafasan yang menyebabkan masalah cirit-birit dan Influenza,” katanya.

Jelas Yasmin, kebanyakan penyakit yang menyebabkan komplikasi cirit-birit tidak boleh dicegah dengan vaksin. Namun, ia boleh dielakkan dengan mematuhi peraturan asas yang mudah iaitu, minum hanya air dalam botol, makan di restoran yang bersih dan memilih makanan panas yang dimasak dengan sempurna.

Penyakit berkaitan pernafasan seperti Influenza dan meningokokul pula boleh dicegah dengan pengambilan vaksin. Selain itu penyakit pengembara lain yang boleh dicegah dengan vaksin adalah Hepatitis A dan B serta demam tifoid atau demam kepialu.

“Mereka yang ingin berkunjung ke Afrika, Amerika Selatan dan Tengah, Asia dan Asia Barat sebenarnya paling terdedah terhadap penyakit yang boleh mengancam nyawa ini.

“Lebih menyukarkan keadaan, kos mendapat rawatan di negara asing pula biasanya membebankan dan hanya menambah kesulitan terhadap pengembara,” katanya.

Jelas Yasmin, tahap serius masalah demam kepialu, Hepatitis A dan Hepatitis B mungkin berbeza bergantung kepada negara yang dilawati. Bagaimanapun, secara umum ia masih berupaya mendatangkan komplikasi yang kronik.

Apa yang pasti, kemungkinan berdepan komplikasi begini sememangnya tidak wajar kerana kebanyakan ancaman ini sebenarnya boleh dicegah dengan pelalian.

Namun, mengambil suntikan pelalian bukanlah bermaksud seseorang itu bebas 100 peratus daripada risiko penyakit kerana ia sebaliknya mengurangkan risiko jangkitan. Selebihnya pengembara perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam memilih makanan dan minuman.