Oleh Suzan Ahmad

BERDASARKAN sumber Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit kardiovaskular menjadi punca utama kematian di negara ini sejak 1970 lagi. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pula, 16.7 juta orang di seluruh dunia meninggal dunia akibat penyakit jantung setiap tahun atau seorang dalam setiap tiga kematian. Selain itu statistik WHO di negara maju atau membangun, turut menunjukkan 40 hingga 75 peratus daripada semua yang menghidap penyakit jantung, meninggal dunia sebelum tiba di hospital atau sebelum sempat mendapat rawatan.

Pakar Perunding Kardiologi, Pusat Perubatan Tropicana, Dr Haizal Haron Kamar menjelaskan, apa saja masalah jantung boleh membawa kepada lemah jantung termasuklah kes rentak jantung tidak seragam.

“Rentak jantung yang tidak seragam berlaku apabila jantung mengepam darah pada kadar yang luar biasa dan istilah yang sering digunakan untuk menerangkan keadaan ini termasuk aritmia jantung, ketidakaturan rentak dan disritmia atau ketidak selarasan rentak jantung.”


“Bagi orang dewasa, rentak jantung biasanya berdenyut antara 60 hingga 100 kali seminit. Degupan jantung bermula dari atrium kanan, di mana sekumpulan sel khas yang dipanggil nodus sinus (SA) atau perentak semulajadi akan menghantar isyarat elektrik. Isyarat ini kemudian disebarkan di seluruh atria ke nodus atrioventrikel (A-V). Nodus ini kemudian akan menghantar isyarat elektrik ke sekumpulan gentian yang bergerak ke seluruh ventrikel. Proses ini akan mencetuskan pengecutan yang menghasilkan degupan jantung.”

Jelasnya, ritma jantung yang tidak seragam adalah satu keadaan di mana Perentak semulajadi (SAN) jantung menghasilkan kadar degupan jantung yang luar biasa; Laluan pengaliran terganggu dan Degupan ektopik yang menyebabkan aritmia.

Kebanyakan mereka yang menghadapi masalah rentak jantung tidak seragam ini memiliki prognosis yang normal. Mereka mungkin tidak memerlukan rawatan khas, walau bagaimanapun, bagi yang menghadapi gejala yang serius atau yang dikaitkan dengan masalah penyakit-penyakit lain (seperti penyakit jantung) akan menghadapi risiko yang lebih tinggi dan memerlukan rawatan atau perhatian perubatan yang khusus. Antara gejala rentak jantung tidak seragam tekanan perasaan atau stres; darah tinggi; merokok; kelesuan; kurang tidur dan kerja berlebihan dan kesan sesetengah dadah seperti kafein, alkohol, amphetamine dan ubat batuk dan selsema.

Pelbagai kaedah rawatan bukan Farmakologi bagi mengatasi kes rentak jantung tidak seragam termasuk yang terbaru di pasaran produk V-Patch On Board Real-Time Cardiac Analyzer atau alat penganalisis kesihatan jantung pada waktu sebenar yang pertama seumpamanya di dunia.

Alat yang dibangunkan V-Patch Medical Systems Pty Ltd yang berpangkalan di Australia ini diedarkan Ogawa World Berhad dan bakal berada di pasaran dalam jangka masa tiga hingga enam bulan lagi.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif V-Patch Medical Systems Pty Ltd, Peter Taylor, V-Patch menjadi jawapan tepat terhadap isu berkaitan kepentingan kardiologi arus utama. Sistem itu dibina berpandukan amalan sejagat sedia ada berkaitan dengan mengenal pasti penyakit dan rawatan susulan terhadap pesakit jantung berisiko.

“Lebih menarik lagi, ia kos efektif, menggunakan kemudahan telekomunikasi sedia ada serta merakam data kritikal pesakit pada waktu sebenar pada saat dan ketika serangan penyakit jantung berlaku.

Menurutnya, dengan menggunakan alat ini, pesakit lebih mudah bergerak dan tidak perlu dimasukkan ke hospital untuk pengawasan kerana mereka memakai alat tampalan pakai buang yang nipis. Alat tampalan ini dihubungkan dengan peranti pintar kecil (dikenali sebagai v-pod) yang mengumpul, menganalisa dan menghantar data terbabit kepada doktor menerusi rangkaian telefon mudah alih sedia ada serta internet.