Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my




Kaedah alternatif guna pen laser ganti jarum

AKUPUNTUR yang diketahui antara cabang perubatan tradisional China, terus mendapat tempat di kalangan masyarakat antarabangsa biarpun usianya sudah mencecah ratusan tahun.

Tidak hairanlah, teknik berteraskan penggunaan jarum itu turut diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WHO) sebagai kaedah perubatan alternatif. Akupuntur berkait rapat dengan kepercayaan aliran tenaga (Qi) yang beredar melalui 12 garis tenaga dalam badan dan disebut meridian dan ketidakseimbangan meridian inilah menjadi punca penyakit.


Selaras perkembangan semasa, kemunculan akupuntur moden menjadikan kaedah ini kian popular. Di Malaysia, akupuntur moden yang menggunakan pen beraliran elektrik - microcurrent pulse stimulator (MPS), diperkenalkan dua tahun lalu oleh doktor perubatan kelahiran Korea Selatan, Mohamad Kim Myoung Hwan, 74 tahun.

Berbanding akupuntur tradisi yang menggunakan 20 hingga 25 jarum, akupuntur moden hanya menggunakan satu pen MPS. Ia kemudian diletakkan pada titik darah berkaitan selama 15 minit. Pen ini tidak tembus ke kulit, lebih selamat dan cepat berbanding penggunaan jarum.

Lazimnya, jenis masalah dikesan dengan menekan tangan atau hujung jari pesakit.



“Di Korea, akupuntur moden sangat popular. Ia dikatakan membantu melegakan masalah tekanan darah tinggi, strok, kencing manis, tiroid, lelah dan diabetes.

“Jika dulu menggunakan jarum, tetapi sekarang teknik ini berteraskan laser. Kalau jarum, tempohnya sejam. Kalau guna laser lebih cepat, 15 minit saja dan ia lebih selamat,” katanya.

Biarpun berbeza, Dr Mohamad berkata, akupuntur moden dan tradisional masih memiliki asas dan prinsip yang sama.

Secara prinsipnya, perubatan akupuntur melihat setiap manusia lebih 1000 titik darah pada seluruh tubuh. Perawat akan menusuk jarum pada titik tertentu di tubuh pesakit atau garisan meridian bagi mendapat keseimbangan aliran Qi.

Namun bagi takrifan moden, Akademi Akupuntur Perubatan Amerika menyatakan, jarum yang ditusuk kepada titik darah akan merangsang sistem saraf dan melepaskan sejenis kimia ke otot, tulang belakang dan otak.

Bahan kimia ini sama ada bertukar menjadi kesakitan atau mencetus pembebasan bahan kimia atau hormon yang mempengaruhi sistem aturan tubuh pesakit.

Tenaga yang dipulihkan dan keseimbangan biokimia yang terhasil daripada akupuntur menjana keupayaan tubuh untuk sembuh sendiri.

“Akupuntur tradisional menggunakan jarum halus yang dibasmi kuman terlebih dulu sebelum ditusuk ke tubuh pesakit. Ia mungkin menjangkau hingga 324 titik darah setiap titik darah bagi melancarkan perjalanan darah dan membabitkan masa hingga satu jam.

“Teknik moden pula menggunakan pen laser dan tetikus jarum yang menyerupai tetikus komputer. Ia sangat ringkas dan mudah,” katanya.

MPS menggunakan suis khas dan cas elektrik yang terhasil juga boleh dikawal berdasarkan tahap tubuh pesakit. Ia hanya memakan masa 15 minit saja dengan cara menyentuh pada kulit.

Jelasnya lagi, penggunaan akupuntur laser mempunyai kesan yang lebih baik dari segi keselamatan dan kebersihan.

“Akupuntur laser berbentuk pen memiliki bola di hujungnya yang berperanan menyalurkan tenaga laser pada titik yang ditekan. Ia membantu melancarkan perjalanan darah,” katanya.

Info

Akupuntur moden


  • Gunakan pen laser menggantikan jarum

  • Akupuntur tradisi gunakan 20 hingga 25 jarum, akupuntur moden hanya menggunakan satu pen laser

  • Pen ini diletakkan pada titik darah berkaitan selama 15 minit.

  • Pancarannya tidak tembus kulit, lebih selamat dan cepat berbanding penggunaan jarum.