BEAUFORT: “Enam adik saya tidak pernah merungut apa lauk untuk berbuka atau bersahur kerana mereka faham keadaan keluarga hidup susah,” kata Siti Norzianah Abdul Pani, 25, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batandok Lubak, semalam.
Anak sulung itu mengaku dia dan adik-beradiknya sudah biasa dengan keadaan itu lantaran kehidupan mereka serba kekurangan kerana pendapatan bapanya, Abdul Pani Ramin, 46, yang bekerja sebagai penoreh getah tidak mampu memberi kemewahan seperti dinikmati orang lain.
“Ayah bekerja sebagai penoreh getah, manakala kami tujuh beradik bergilir menjaga ibu yang mengalami pendarahan otak sejak beberapa tahun lalu.
“Saya bekerja di kantin sekolah bagi membantu ayah termasuk menanggung beberapa adik yang masih bersekolah,” katanya.
Siti Norzianah berkata, gaji sebagai tukang masak di kantin sekolah yang tidak seberapa menyebabkannya kadangkala terpaksa mengikat perut dan menikmati sisa makanan yang ada.
“Kami sekeluarga tidak pernah menikmati ayam atau daging ketika berbuka puasa dan bersahur, malah ada masanya hanya air kosong menjadi santapan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Pani berkata, pendapatannya sebagai penoreh getah kurang RM500 sebulan menyebabkannya tidak mampu menyediakan rumah selesa untuk isteri dan anak-anaknya.
“Keadaan rumah saya ini sangat uzur tetapi ia menjadi tempat kami sembilan beranak berlindung dari hujan dan panas walaupun sudah terlalu banyak kerosakan berlaku pada dinding dan bumbung.
“Malah, pendapatan hasil menoreh getah juga tidak cukup menampung perbelanjaan perubatan isteri yang mengalami pendarahan otak serta menampung keperluan enam anak yang masih bersekolah,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati rumah didiami Abdul Pani sekeluarga sangat sempit dan hanya langsir usang memisahkan bilik tidur, dapur dan ruang tamu.
Malah, dinding yang berlubang, selain bumbung zink yang bocor menyebabkan keluarga berkenaan hidup dalam kesejukan terutama ketika hujan lebat.“Keadaan kesihatan isteri tidak mengizinkan dan memerlukan kos setiap kali pergi ke hospital menyebabkan saya berjimat dan menghadkan perbelanjaan.
“Kami boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang kerana pendapatan tidak menentu.
Abdul Pani berkata, isterinya pernah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa bulan lalu di mana separuh perbelanjaan dan kos rawatan ditanggung kerajaan.
“Selebihnya saya terpaksa mendapat ihsan ahli keluarga lain serta menggunakan duit simpanan sendiri yang dikumpul bersama anak sulung, Siti Norzianah,” katanya. Katanya, sambutan Aidilfitri kali ini sama seperti tahun sebelumnya iaitu tiada pakaian atau juadah istimewa untuk isteri dan anak-anaknya.
“Sebelum ini saya ada memohon mendapatkan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada tahun 2001 tetapi tiada jawapan,” katanya.