Ada dua jenis ubat utama iaitu ubat original dan ubat generik.

Ubat original

Ubat original ialah ubat yang dipatenkan oleh syarikat yang menemui ubat tersebut. Syarikat-syarikat ini biasanya syarikat-syarikat besar yang menjalankan penyelidikan (Research & Development – R&D) sehinggalah mereka menemui ubat tersebut.

Ubat generik

Ubat generik ialah ubat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat lain setelah tempoh paten yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang mengeluarkan ubat original telah luput. Kandungan ubat generik adalah sama dengan ubat original. Bagaimanapun ia tidak boleh diberi nama yang sama, kerana setiap nama adalah unik dan telah dipatenkan.

Selalunya ubat-ubat original adalah lebih mahal daripada ubat generik. Syarikat original telah mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk aktiviti R&D sehingga ubat itu ditemui. Satu ubat yang baru mungkin memerlukan belanja sehingga satu billion ringgit dan mengambil masa bertahun-tahun sebelum ia dipasarkan. Syarikat ini juga bertanggung-jawab dalam ujian klinikal (clinical trial) untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya. Ujian ini dilakukan ke atas manusia, dan bukannya haiwan. Oleh itu adalah wajar untuk syarikat tersebut mengenakan harga yang tinggi ke atas ubat itu untuk mereka mendapatkan semula modal yang telah dikeluarkan.

Syarikat-syarikat besar yang menjalankan R&D dan mengeluarkan ubat-ubat original kebanyakannya berasal dari Amerika Syarikat dan Eropah. Antara yang terkemuka ialah :

  • GlaxoSmithKline (Panadol, Ventolin, Piriton)

  • Jansen (Daktarin, Nizoral)

  • Novartis (Voltaren, Lamisil)

  • Parke-Davies (Ponstan, Benadryl)

  • Pfizer (Viagra, Norvasc, Trosyd)

Sebagai contoh Ponstan yang dikeluarkan oleh Parke-Davies. Kini paten yang diberikan telah luput. Sudah banyak pengilang-pengilang termasuk di Malaysia yang mengeluarkan ubat generik yang kandungannya sama dengan Ponstan. Ubat-ubat mereka diberi nama dengan pelbagai nama seperti Pontalon, Mefecap, Melgesic dan sebagainya. Persamaan antara ubat-ubat ini dengan Ponstan – kandungan yang sama iaitu mefenamic acid.

Antara pengilang-pengilang generik yang terdapat di Malaysia ialah Prime Pharmaceutical, Malayan Pharmaceutical Factory, Ranbaxy dan sebagainya.