Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my




Perubatan tradisional Cina tumpu punca penyakit, kurangkan derita kesan kemoterapi

KEWUJUDAN perubatan tradisional Cina sejak berkurun lamanya mengimbangi kemajuan perubatan konvensional atau Barat. Kewujudannya lebih 5,000 tahun dulu terus mendapat pengiktirafan ramai, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengakuinya sebagai perubatan alternatif.

Bagaimanapun, ramai tertanya-tanya sejauh mana gandingan kaedah rawatan konvensional Barat dan perubatan tradisional Cina mampu membantu merawat penghidap penyakit kronik seperti barah. Perunding Kanan Jabatan Imunologi dan Onkologi IAG HealthSciences Medical Center di Singapura, Profesor Li Fumin, berkata jika dibuat perbandingan, perubatan konvensional lebih bertumpu kepada rawatan dan tanda penyakit, manakala perubatan tradisional Cina pula menumpu kepada punca penyakit.


Amalan perubatan tradisional ini, termasuk rawatan menggunakan ubat-ubatan herba, akupuntur, terapi diet dan kedua-dua urutan Tui Na dan Shiatsu. Qigong dan Tijiquan juga punya hubung kait dengan perubatan tradisional Cina.

“Kebanyakan pesakit yang mendapatkan khidmat rawatan alternatif lebih cenderung untuk mendapatkan pandangan kedua selepas disahkan menghidap penyakit kronik seperti barah.

“Pesakit barah yang sudah menjalani rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi akan mengalami kesan sampingan yang serius seperti lemah, rambut gugur, hilang selera dan kehilangan berat badan. Di sinilah peranan perubatan tradisional Cina amat berkesan iaitu membantu mengurangkan derita akibat kesan sampingan, di samping mengubat dari dalam,” katanya.


Prof Li berkata, beliau akan menyediakan ramuan herba bersesuaian mengikut seriusnya penyakit untuk dipulihkan dan melawan penyakit daripada menular. Penyediaan ini juga diamalkan dalam proses memulihkan pesakit yang mana ramuan ini mampu mengekalkan keadaan kesihatan bagi menghalang virus barah daripada merebak semula seperti sel barah payudara walaupun ketumbuhan sudah dibuang ia mempunyai kebarangkalian untuk merebak.

“Sel barah bukan saja berkembang dan bercambah dengan pantas tetapi bersifat menyerang. Kaedah rawatan konvensional berkesan membunuh sel barah menerusi rawatan kemoterapi dan radioterapi boleh menyebabkan perubahan terhadap fungsi normal badan dan sistem imun tubuh,” katanya yang turut merawat pesakit barah di Malaysia.

Selepas beberapa siri kemoterapi, ubat mula hilang kesannya. Apa yang dilakukan oleh ubatan berasaskan herba ialah bertindak menjadikan tubuh lebih terbuka dengan kemoterapi serta mengembalikan sensitiviti dan menjadikan rawatan lebih efektif.

Prof Li berkata, rawatan alternatif herba bertumpu usaha membina semula sistem imun semula jadi pesakit untuk melawan sel yang memudaratkan dan menyasarkan untuk mengurangkan kesakitan dan rasa kurang selesa akibat barah atau kemoterapi dan radioterapi.

Beliau yang memiliki kepakaran selama 39 tahun dan disegani kerana sumbangannya dalam bidang kajian berkaitan ketumbuhan menegaskan, barah adalah penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup yang ditentukan oleh tabiat, diet, senaman dan merokok.

“Ubat hanya akan diberikan kepada pesakit selepas keseluruhan simptom disahkan,” katanya yang turut menjadi perunding jemputan di pusat perubatan alternatif Kuala Lumpur sejak setahun lalu. Jurucakap pusat rawatan alternatif berkenaan, Ariza Zainal, berkata pusat rawatan alternatif itu yang sudah beroperasi sejak dua tahun lalu, kini bertindak sebagai pusat rawatan susulan bagi pesakit barah tempatan yang menerima rawatan awal di hospital luar negara.

INFO: Perubatan Cina

  • Berasaskan ubat-batan herba
  • Akupuntur
  • Terapi diet
  • Urutan Tui Na dan Shiatsu