Ketidak suburan bukan sahaja berlaku di kalangan wanita tetapi boleh juga berlaku di kalangan lelaki. Bahkan, ada banyak kes masalah kesuburan berpunca daripada suami yang enggan bekerjasama menjalani pemeriksaan, menyebabkan rumah tangga sunyi sepi dan isteri terpaksa berdepan pelbagai tekanan emosi.

Berdasarkan kajian, masalah kesuburan boleh dipecahkan kepada 20 peratus membabitkan lelaki saja dan 30 peratus membabitkan lelaki dan perempuan, manakala 15 peratus lagi pasangan didapati normal.

Ini menunjukkan lelaki menyumbangkan 50 peratus masalah di kalangan pasangan yang tiada anak.

Penyelaras Pusat Kesuburan Konsep, Vivian Tan, berkata lelaki hanya perlu menjalani ujian air mani, sedangkan si isteri terpaksa melalui beberapa pemeriksaan iaitu ujian keseimbangan hormon, imbasan ultra-bunyi bagi memastikan rahim dan saluran tiub fallopia tidak bermasalah dan tiada ketumbuhan, endometriosis atau fibroid serta pemeriksaan kualiti telur.

Malangnya, tidak ramai lelaki sanggup merendahkan tembok keegoan kerana bimbang jika disahkan masalah kesuburan berpunca daripada mereka, ia boleh dianggap mencalarkan harga diri.

Namun, anggapan lapuk ini perlu diketepikan kerana lebih cepat mereka menjalani pemeriksaan (iaitu selepas setahun berkahwin dan kerap mengadakan hubungan kelamin tetapi masih tiada anak, terutama di kalangan pasangan berusia), masalah lebih mudah diselesaikan.

“Lelaki hanya perlu jalani pemeriksaan air mani. Jangan ingat, bila ada air mani bermakna lelaki itu subur, kerana ada banyak kes lelaki mengalami masalah kekurangan atau tiada sperma. Jika dua kali pemeriksaan menunjukkan keputusan normal, pemeriksaan seterusnya berpindah kepada isteri.

“Keputusan normal ini bermakna lelaki mempunyai jumlah sperma sebanyak 40 juta/mililiter. Secara kasarnya jumlah ini memang banyak, tetapi sebahagiannya mungkin mati, cacat atau tidak boleh berenang.

“Daripada jumlah ini, 20 juta sperma perlu bergerak aktif dan boleh berenang pantas untuk melepasi ruang dalam rahim dan salur tiub fallopia. Ini penting kerana sperma perlu berenang sejauh 18 kilometer mengikut jarak sperma sebelum sampai ke telur,” katanya.

Sebanyak 15 peratus sperma yang boleh berenang aktif ini pula mesti mempunyai bentuk normal. Sperma tidak normal seperti berkepala dua, bentuk kepala kecil, terlalu besar, tajam atau bengkok ekor bercabang dua tidak boleh bersenyawa dengan telur.

Bagaimana sperma dihasilkan? Sperma terhasil daripada pembahagian sel yang berulang dalam testis pada kadar 100 juta sel sehari. Penghasilan sperma adalah satu proses panjang dan ia mengambil masa tiga bulan untuk matang.

Sperma matang ini akan berpindah ke dalam epididimis iaitu tiub bergelung, sepanjang tujuh meter dan menyambungkan antara testis dan vas deferens. Sperma matang akan bergerak sepanjang tiub dan disimpan di bahagian bawah (antara dua hingga 10 hari) sehinggalah diperlukan ketika ejakulasi.

Secara purata, lelaki normal mengeluarkan kira-kira tiga mililiter setiap dua hari ketika ejakulasi. Ketika ejakulasi, sperma akan dikeluarkan dulu bersama cecair prostatik, disusuli cecair semi vesikal (yang akan beku dan menjadikan air mani pekat seperti gel).

Masalah kesuburan lelaki boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu:

1) Masalah sperma akibat kecacatan kongenital (sejak lahir) pada organ peranakan lelaki seperti:

- Ketiadaan vas deferens (tiub panjang yang menyalurkan sperma) dan sperma tidak boleh keluar melalui pancutan air mani. Ini menyebabkan air mani tidak mengandungi sperma langsung apabila dianalisis.

Daripada sini, pakar urologi akan menjalankan siasatan lanjutan terhadap keadaan fizikal buah zakar seperti saiz dan kedudukan melalui ujian hormon, sinar-X dan ultra bunyi.

- Masalah vas deferens tersumbat — dapat diatasi melalui pembedahan, pengambilan ubat dan biopsi.

2) Air mani tidak dapat dikeluarkan, sebaliknya mengalir balik ke dalam pundi kencing. Masalah ini boleh disebabkan penyakit kencing manis atau pengambilan ubat tertentu. Pasangan boleh dibantu mendapatkan anak melalui teknik persenyawaan in-vitro (IVF). Namun kes ini jarang berlaku.

3) Genetik — Sama ada membabitkan kromosom, sista fibrosis atau masalah sindrom autoantibodi yang menganggap sperma sebagai bahan asing yang perlu dimusnahkan. Masalah autoantibodi biasanya membabitkan lelaki yang pernah menjalani vasektomi (kaedah pemandulan dengan mengikat vas deferens terutama di kalangan lelaki Barat). Bagaimanapun, kes ini juga jarang berlaku.

4) Masalah hormon — Paras testosteron atau hormon tiroid terlalu rendah. Masalah ini boleh diatasi dengan pengambilan ubat.

5) Gangguan seks — Seperti mati pucuk atau ejakulasi awal. Ini biasanya disebabkan tekanan, pengambilan ubat antidepresan, mengawal tekanan darah tinggi atau kolesterol. Ubat penguat seks seperti viagra bagaimanapun hanya untuk ereksi, tetapi tidak membantu menambah jumlah sperma.

6) Masalah urat (salur darah) pada testis kembang atau timbul. Akibatnya, aliran darah tidak lancar dan boleh merosakkan epididimis dan mengurangkan jumlah sperma. Masalah boleh dibantu melalui pembedahan dan IVF.

7) Senaman keterlaluan seperti angkat berat. Dalam keadaan ini, badan menghasilkan steroid yang menyebabkan masalah ereksi, mengganggu keseimbangan hormon dan mengurangkan penghasilan sperma.

dirol.gif Tekanan, terutama di tempat kerja atau masalah psikologi. Namun ia biasanya lebih dialami wanita.

9) Obesiti — Kesuburan lelaki boleh menurun jika terlalu gemuk kerana mereka mungkin berdepan masalah kekurangan atau tiada sperma langsung.

10) Pengambilan dadah, alkohol dan merokok. Tiga faktor yang perlu dielakkan jika mahu kekalkan kesuburan.

11) Terdedah kepada bahan beracun atau pencemaran.

12) Makanan, terutama jika terlalu banyak makan makanan laut (tiram, kepah, lala, kerang, kepala udang) kerana ia mengandungi banyak raksa yang boleh mengurangkan jumlah sperma.

13) Rawatan kemo atau radioterapi boleh membunuh semua sel dan sperma. Oleh itu Tan menasihatkan lelaki yang perlu menjalani rawatan ini supaya menyimpan sperma dalam bank sperma untuk digunakan kelak.

14) Serangan penyakit seperti buah pinggang, sirosis hati dan kurang zat. Malah, lelaki yang mendapat beguk selepas akil baligh juga boleh mengalami masalah kekurangan atau ketiadaan sperma. Puncanya masih tidak diketahui.


“Masalah kesuburan ini akan terus berpanjangan jika tidak mendapat rawatan. Ada juga lelaki yang pada awal perkahwinan normal, tetapi menjadi tidak subur selepas beberapa ketika atas faktor yang diceritakan tadi.

“Namun bagi pasangan yang berkahwin lewat, segeralah buat pemeriksaan jika tidak mendapat anak selepas setahun berkahwin.

“Banyak kaedah moden boleh membantu pasangan mendapatkan anak, asalkan lelaki sanggup bekerjasama,” katanya.

Antara teknik yang biasa digunakan ialah persenyawaan dalam rahim (IUI, sperma terbaik akan dipilih dan dimasukkan ke dalam rahim isteri untuk persenyawaan) sesuai bagi lelaki yang mengalami masalah bilangan sperma rendah (15 juta hingga 17 juta/mililiter).

Jika tidak berjaya, pasangan boleh beralih kepada teknik IVF (persenyawaan luar rahim, embrio akan disuntik ke dalam rahim isteri).

Namun, pasangan berumur disarankan supaya terus menggunakan kaedah ini.

Kaedah terbaru adalah suntikan sperma Intra-sitoplasmik (ICSI) iaitu teknik persenyawaan secara mikromanipulasi atau bantuan di mana sperma akan disuntik ke dalam telur di bawah mikroskop supaya tersenyawa menjadi embrio sebelum dimasukkan ke dalam rahim.

“Jika anda mengalami masalah kesuburan, jangan malu kerana anda bukan bersendirian. Lebih baik jalani pemeriksaan saintifik (rawatan moden) untuk mencari puncanya.

“Namun, jangan harap boleh berlaku perubahan mendadak selepas menjalani rawatan kerana sperma mengambil masa lama untuk dihasilkan.

“Sehingga kini tiada kaedah boleh membantu memulihkan keadaan sepenuhnya atau mencapai tahap normal, tetapi jangan cepat putus asa, sebaliknya terus berusaha mendapatkan zuriat,” katanya.