LELAKI dan wanita sebenarnya tidak banyak berbeza dari segi penjagaan kesihatan dan kecantikan diri. Pakar Dermatologis, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abdul Kadir Jailani berkata, kulit organ terbesar tubuh yang meliputi seluruh badan.


Ia bertindak sebagai pendinding menentang kepanasan, kecederaan dan jangkitan selain mengatur keseimbangan suhu badan, menyimpan air dan lemak, organ deria (sensory), menghalang kehilangan air dan mencegah kemasukan bakteria.

“Walaupun setiap orang memiliki karektor kulit yang berbeza (ketebalan, warna dan tekstur) tetapi secara umum kulit memiliki lapisan yang sama untuk semua orang, lelaki dan perempuan; epidermis, dermis dan lapisan lemak (subcutaneous) di bawah kulit,” katanya.

Justeru dari sudut penggunaan barangan penjagaan kulit tidak banyak bezanya antara lelaki dan wanita.

“Lelaki boleh menggunakan produk kecantikan perempuan, tiada masalah. Cuma jika berlaku alahan berhenti menggunakannya. Itu panduan yang mudah, bukan saja untuk lelaki tetapi perempuan juga,” katanya.

Justeru itu bukan sesuatu yang mustahil untuk melihat lelaki metroseksual mendapatkan rawatan wajah setiap bulan. Kunjungan ke spa atau salon sudah menjadi sebahagian rutin.

Sementara itu, Kathrine Chong dari Ozmosis Health and Day Spa berkata, kebanyakan lelaki yang datang mendapatkan rawatan di situ adalah profesional.

“Selain datang pada temujanji hujung minggu ada yang datang waktu makan tengah hari. Rawatan yang dibuat juga pelbagai. Tetapi ramai datang untuk buat waxing (melilin) selain buat facial. Ada yang memilih rawatan waxing untuk seluruh bahagian kaki selain waxing di bahagian belakang dan dada,” katanya.

Urutan juga menjadi pilihan ramai pelanggan lelaki. Pada Kathrine, penjagaan penampilan seharusnya tidak hanya tertumpu kepada wanita tetapi juga lelaki.

“Alasannya mudah, setiap orang ada hak bergaya dan menjaga penampilan.

semua orang mahu kelihatan menarik dan semua orang berhadapan dengan masalah tekanan misalnya. Jika urutan boleh membantu meredakan ketegangan fikiran, tidak salah lelaki juga memilihnya,” katanya.

Penjagaan penampilan ini tidak terhad pada penjagaan kulit wajah atau tubuh badan tetapi juga perawatan kuku tangan dan kaki.

Bagi Khairul Aniza Ismail, Pengarah Urusan The Makeup Bar, trend lelaki metroseksual ini sangat menarik. Golongan lelaki sebegini katanya adalah kelompok pelanggan yang perlu diberi perhatian.

Kebanyakan lelaki yang berkunjung ke The Makeup Bar akan mendapatkan perawatan kuku tangan dan kuku kaki, satu daripada rawatan yang disediakan.

“Kebanyakan lelaki yang mendapatkan perawatan kuku di sini adalah golongan atlit seperti pelari dan lelaki profesional seperti yang bekerja dalam bidang pemasaran. Tentu saja jika mereka menjaga penampilan, mereka lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai dengan penampilan menawan,” katanya.

Pelanggan lelaki yang bertandang ke Kuku Bar biasanya mereka yang berhadapan dengan masalah kulit kaki yang keras selain kaki yang bercekam atau memotong kuku dengan bentuk yang tidak betul hingga mendatangkan rasa sakit.

“Kami biasanya akan potongkan kuku dan kilatkan selain membuang kulit kaki yang keras dan ada juga yang merekah dan kematu. Awalnya mereka bermula dengan rawatan di bahagian kuku kaki. Tapi kemudiannya mereka turut membuat rawatan ke bahagian kuku tangan. Trend ini pada saya sangat menarik kerana lelaki sudah mula mengambil berat mengenai penampilan,” katanya,

Ada sesetengah pelanggan lelaki yang datang mendapatkan rawatan kuku kaki dan tangan di situ bermula dengan pelawaan isteri. Ada juga yang datang dengan rakan sepejabat atas kesedaran sendiri.

“Selalunya kerana rasa selesa dengan penampilan baru, mereka akan membawa rakan lelaki lain. Di sini selain kami turut mengajar tips untuk penjagaan kuku kaki dan tangan di rumah untuk dibuat sendiri,” katanya.