Antara persoalan yang kerap ditanyakan kepada kami di farmasi ialah bagaimanakah cara terbaik untuk menguruskan badan. Masalah berat badan merupakan masalah yang sering menjadi keutamaan pelanggan, terutamanya wanita.

Bagaimanapun, ada juga di kalangan mereka ini sebenarnya tidaklah ‘gemuk’ seperti yang mereka sangkakan. Pengiraan BMI (body mass index) mereka mendapati sebenarnya mereka termasuk dalam lingkungan berat ideal. Sila klik di sini untuk mengetahui berat ideal anda atau cara-cara mengira BMI badan anda.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa penjagaan pemakanan yang baik dan senaman yang berjadual setiap minggu adalah cara yang terbaik dan tersihat untuk mengawal berat badan anda. Kaedah ini bukan sahaja murah, malah tidak menimbulkan kesan-kesan sampingan yang didapati dengan mengambil ubat-ubatan.

Antara produk-produk yang sering digunakan untuk tujuan membantu menguruskan berat badan ialah seperti yang diterangkan di bawah ini:

  • Appetite suppresant

Ubat jenis ini digunakan untuk mengekang selera makan anda. Antara jenama yang ada di pasaran ialah Adipex Retard, Duromine, Ionamin, Panbesy, dsb. Kesemuanya mengandungi phentermine. Ia berkait dengan ubat seperti amphetamine (ecstasy). Ubat-ubatan ini dikenali sebagai ubat-ubat psikotropik. Pembelian di farmasi hendaklah disertakan dengan preskripsi dari doktor.

Ubat dari jenis ini hendaklah diambil dengan berhati-hati. Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu mengambilnya. Pesakit jantung, galukoma, hyperthyroidism ataupun yang pernah menagih dadah tidak boleh mengambil ubat ini. Ubat ini boleh menyebabkan ketagihan.

Ubat jenis ini mempunyai banyak kesan-kesan sampingan dan penggunaan yang lama tidak digalakkan. Pengambilan melebihi tiga bulan berturut-turut adalah tidak dibenarkan. Antara kesan sampingan yang paling ketara ialah rasa resah (restlessness), menjadi lebih agresif dan sukar tidur. Kesan-kesan ini berlaku kerana ubat dari jenis ini bertindak di bahagian otak pengambilnya untuk memberhentikan selera makannya. Antara kesan sampingan lain ialah tekanan darah naik, mulut kering, dsb. Oleh kerana ubat ini (contohnya Duromine) berkesan selama 16 jam, pengambilnya yang menghadapi masalah untuk tidur perlu mengambilnya pada awal pagi (sebaik sahaja bangun pagi).

Pengambilan ubat ini bersama-sama dengan ubat kurus yang lain adalah tidak digalakkan. Pengambilannya bersama-sama dengan ubat monoamine oxidase inhibitor adalah tidak dibenarkan.

Amino asid l-phenylalanine juga dikatakan boleh membantu mengawal selera makan. Ia boleh diambil sebagai alternatif yang selamat berbanding ubat-ubat konvensional biasa.

  • Makanan Gantian (Meal Replacement)

Rawatan dari jenis ini mengandungi makanan yang perlu anda ambil mengikut peraturannya, dan berhenti daripada mengambil makanan-makanan yang biasa diambil seperti nasi untuk makan tengahari, dsb. Dalam kata lain, anda hanya boleh mengambil produk ini sahaja sepanjang tempoh rawatan. Bergantung kepada jenis produk yang anda beli, ada yang menyarankan anda mengambilnya dua kali sehari dan ada yang tiga kali sehari. Ada juga yang membenarkan anda meminum susu, dan ada juga yang membenarkan anda mengambil sedikit makanan sekiranya anda rasa betul-betul lapar. Produk-produk jenis ini mengandungi low calory diet (makanan berkalori rendah) atau very low calory diet (makanan berkalori sangat rendah).

Sebagaimana yang dinyatakan bahawa pemakanan yang baik dan senaman yang kerap adalah penting untuk membantu anda mengurangkan berat anda secara berkesan dan untuk jangka masa yang lama. Email kami yang terdahulu juga ada menyatakan bahawa penurunan berat badan antara 5-10% adalah memadai untuk mengurangkan risiko-risiko berkaitan dengan kegemukan.

Rawatan melalui pemakanan gantian ini adalah antara cara yang efektif untuk mengurangkan berat badan dengan cepat. Bagaimanapun adalah penting supaya mereka yang mengamalkannya mempunyai daya motivasi yang tinggi. Ini kerana sepanjang rawatan ini anda akan rasa ketagih untuk makan makanan yang tidak sepatutnya anda ambil. Banyak antara mereka ini merasa tertekan dan sukar untuk melawan nafsu makan mereka. Akhirnya, bila mereka mengambil makanan yang tidak dibenarkan, terutamanya makanan berlemak, badan mereka mendapati bahawa lemak ini menjadi lebih sukar untuk dibuang. Berat badan akan naik semula (kesan yo-yo). Ini adalah akibat dari penurunan kadar metabolisma badan mereka semasa mereka menjalani rawatan melalui pemakanan gantian ini.

Selalunya produk jenis ini juga mempunyai bahan yang membantu anda mengurangkan rasa ingin makan dengan mencampurkan bahan seperti serat di dalamnya. Oleh itu nafsu makan anda sedikit sebanyak dapat dikawal.

Produk-produk ini menurunkan berat badan dengan menambah metabolisma lemak. Ia tidak menghakis otot (protin) dari badan anda. Oleh itu tone badan anda dapat dikekalkan.

Antara perkara lain yang perlu diperhatikan semasa mengambil produk ini ialah :

  • Sila ikuti program makanan yang disediakan bersama-sama dengan produk yang anda beli, sekiranya ada.

  • Jangan campur dengan air yang panas kerana ia akan merosakkan amino asid yang ada di dalam produk-produk ini.

Antara jenama yang ada di pasaran Malaysia ialah :

  • Cambridge Diet

  • 21st Century Fat Burner

  • Lipase inhibitor

Xenical adalah antara ubat terkini yang digunakan untuk tujuan menguruskan berat badan. Ia mengandungi orlistat 120mg dalam setiap kapsul berwarna biru.

Xenical bertindak dengan memberhentikan fungsi enzim lipase. Enzim lipase bertanggungjawap memecahkan lemak yang kita ambil dari pemakanan kepada free fatty acids dan monoglycerides. Oleh kerana lemak ini tidak dipecahkan (atau tidak dicerna) ia tidak boleh memasuki sistem darah pengambilnya.

Xenical hendaklah diambil sebelum makan atau dalam masa sejam selepas makan. Pengambilan Xenical tidak perlu sekiranya makanan yang diambil tidak mengandungi lemak.

Pengambilan Xenical hendaklah diberhentikan selepas 12 minggu (3 bulan) sekiranya berat badan tidak turun sekurang-kurangnya 5% daripada berat badan asal.

Oleh kerana produk ini menyerap lemak, vitamin yang larut dalam lemak seperti beta carotene, vitamin A, D, E dan K (sama ada dalam tablet atau dari sumber asli seperti sayuran) tidak akan diserap oleh badan. Oleh itu pengambilan vitamin ini dengan Xenical hendaklah dijarakkan sekurang-kurangnya dua jam (2 jam adalah cukup kerana fungsi Xenical tidak memerlukannya untuk diserap ke dalam darah - di mana ini akan mengambil masa yang lebih lama). Begitu juga, pil perancang yang dibuat daripada kolesterol tidak boleh diambil pada masa yang sama dengan Xenical. Antara ubatan lain yang tidak boleh diambil sekali ialah digoxin, metformin, nifedipine, phenytoins, statins dan warfarin.

Xenical tidak boleh diambil oleh mereka yang alahan dengannya, mereka yang mengalami masalah dalam penyerapan makanan dan pesakit cholestasis.

Antara kesan sampingan pengambilan Xenical ini ialah masalah yang berkaitan dengan perut - najis berminyak, lebih kerap buang air dan tidak boleh mengawal buang air besar. Selain itu ia menghalang penyerapan beberapa vitamin (lihat di atas) di mana ini mungkin memerlukan anda mengambil pil-pil vitamin seperti multivitamin.

  • Chitosan

Chitosan diperbuat daripada polysaccharide chitin. Ia adalah kanji yang banyak terdapat di dalam kulit udang, kerang dan binatang laut berkulit yang lain.

Fungsi chitosan ini samalah seperti fibre (serat) tetapi ia mempunyai kelebihan iaitu ia boleh melekat kepada lemak. Chitosan mengandungi caj-caj positif, dan ini membolehkannya melekat kepada lemak, kolesterol, triglyceride dan asid hempedu yang mengandungi caj-caj negatif.

Oleh kerana ia tidak dicerna dan diserap ia tidak menambah kalori ke dalam badan anda.

Kesan-kesan baik yang didapati dengan memakan chitosan

  • Lemak-lemak dari makanan boleh ditapis. Lemak-lemak ini dikeluarkan dari badan dan tidak diserap ke dalam badan.

  • Mengurangkan LDL (kolesterol tidak baik) dan meningkatkan HDL (kolesterol baik).

  • Antacid. Ia melawan asid berlebihan yang dikeluarkan dalam perut / usus. Baik untuk yang menghidapi ulser dan gastrik.

Keburukan chitosan

  • Chitosan melekat kepada vitamin yang larut dalam lemak, iaitu vitamin A, D, E dan K. Ada kemungkinan juga chitosan melekat kepada beta carotene. Ini menyebabkan vitamin-vitamin ini tidak dapat diserap oleh badan.

  • Chitosan mengurangkan penyerapan kalsium. Orang yang berisiko menghidapi osteoporosis tidak digalakkan mengambil chitosan.

  • Chitosan boleh mengurangkan kandungan bakteria baik Bifidobacteria dan Lactobacillus. Bakteria ini penting dalam fungis enzim yang sempurna di samping penting untuk pengeluaran vitamin tertentu.

  • Chitosan boleh menghalang penyerapan ubat-ubat tertentu yang bergantung penyerapannya kepada penyerapan lemak. Ubat-ubatan yang diperbuat daripada lemak seperti pil perancang hendaklah diambil empat jam sebelum atau selepas pengambilan chitosan.

  • Sebagai fibre (serat), chitosan menarik air. Kekurangan air boleh menyebabkan sembelit. Terlalu banyak chitosan pula boleh menyebabkan anda rasa kenyang.

Siapa yang tidak boleh menggunakan chitosan

Tidak semua orang boleh mengambil chitosan. Invdividu di bawah ini disarankan tidak mengambil chitosan :

  • Mengandung atau menyusukan bayi

  • Orang yang mengambil ubat-ubat seperti blood thinner

  • Orang yang mengalami osteoporosis

  • Orang yang memakan ubat yang banyak. Ini kerana pemakanan ubat pada waktu yang berdekatan dengan pengambilan chitosan menyebabkan ubat tersebut mungkin tidak berfungsi sepenuhnya.

  • Pembakar lemak

Antara ubat yang sering digunakan untuk tujuan ini ialah benfluorex (Mediaxal) yang berfungsi membaiki metabolisma lemak dan karbohidrat. Selain daripada itu, penggunaan asid amino seperti methionine, choline, inositol, betaine dan l-arginine juga sering digunakan. Asid amino jenis ini bukan sahaja membantu membakar lemak, tetapi juga menyebabkan pengeluaran lecithin oleh hati meningkat. Walaupun tidak digunakan untuk menguruskan badan, lecithin membantu mencairkan kolesterol (Kolesterol ialah lemak di dalam darah dan tidak ada kaitan dengan sais badan).