Artikel dari Pusat Racun Negara.

Kes keracunan parasetamol yang mengakibatkan kematian kanak-kanak berumur tujuh (7) tahun baru-baru ini menyakinkan kita lagi bahawa penggunaan ubat-ubatan di kalangan masyarakat masih memerlukan pengurusan yang rapi daripada semua pihak.

Ubat-ubatan seperti parasetamol yang banyak diiklankan di berbagai media di negara ini merupakan salah satu daripada ubat yang paling laris dijual di merata tempat. Ini termasuklah di kedai-kedai runcit, warong-warong mahupun di pasaraya-pasaraya sebagai salah satu daripada bahan yang diniagakan oleh pihak berkenaan. Hal yang sedemikian sudah tentu mendedahkan lagi para pengguna, khususnya kanak-kanak kepada risiko penyalahgunaan ubat, lantas boleh mengakibatkan ancaman keracunan kepada diri mereka. Tambahan pula jika ubat-ubatan ini tidak diiringi dengan maklumat-maklumat yang mudah difahami pengguna baik apabila ianya diperolehi daripada klinik-klinik perubatan sekalipun.

Tinjauan yang dilakukan oleh Pusat Racun Negara (PRN) menampakkan bahawa penglabelan ubat-ubatan tidak menjadi satu amalan yang ketara di kalangan ahli-ahli profesional. Jarang sekali para pesakit diberitahu tentang nama ubat-ubatan mahupun pengawasan ke atas kesan-kesan sampingan yang mungkin berlaku apabila mengambil sesuatu ubat itu.

Maklumat ubat hak pengguna

Sayugia diingatkan bahawa tiada ubat yang seratus peratus selamat. Para pengguna perlu faham bahawa setiap ubat mempunyai risikonya tersendiri terutama sekali apabila diberikan kepada kanak-kanak. Salah satu daripada cara mencegah ini daripada berlaku adalah untuk mengetahui secara mendalam berkenaan ubat tersebut melalui maklumat-maklumat yang objektif dan tidak berat sebelah. Ini bermaksud para pengguna perlu mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang profesional dan tidak semata-mata bergantung kepada iklan-iklan yang dikeluarkan oleh industri farmaseutikal untuk tujuan melariskan langganannya.

Untuk tujuan ini adalah menjadi hak para pengguna mendapat maklumat yang terperinci tentang setiap ubat yang mereka perolehi daripada mana-mana sekalipun. Hak ini telah dimuatkan dalam Piagam Pesakit sepertimana dipersetujui antara pertubuhan profesional kesihatan - doktor, doktor pergigian dan ahli farmasi - dengan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) beberapa tahun yang lalu. Malangnya ini masih tidak dipatuhi oleh banyak pihak.

Jelasnya, jika semua pihak berwaspada dan menjalankan tugas mereka bagi mendidik masyarakat di samping para pengguna berusaha untuk meningkatkan kesedaran mereka, tragedi berkaitan ubat akan dapat dielakkan sama sekali.

Maklumat yang perlu ditanya semasa mendapatkan ubat

  • Maklumat penting yang patut diketahui berkenaan ubat-ubatan anda:

    • Nama ubat.

    • Tujuan ubat/rawatan.

    • Berapa lama dan cara menggunakan ubat.

    • Apa yang perlu dielakkan semasa menggunakan ubat tersebut.

    • Kesan-kesan sampingan ubat.

    • Tindakan sekiranya berlaku kesan buruk atau lupa mengambil ubat.

  • Perhatian khas kepada kanak-kanak, ibu mengandung atau menyusukan dan untuk warga tua.

  • Bagaimana menyimpan ubat dengan baik dan selamat.

  • Tarikh luput ubat.

  • Butir berkenaan ubat-ubatan lain yang digunakan seperti ubat tradisional dan sebagainya.

  • Rawatan lain yang sedang dijalankan termasuk berjumpa dengan pengamal kesihatan lain.