Kanak-kanak berdepan masalah pernafasan kemudian hari

HOUSTON: Tabiat merokok di kalangan ibu bapa boleh menjejaskan kesihatan anak mereka yang berisiko tinggi menderita masalah pernafasan di kemudian hari, menurut satu kajian.


Kanak-kanak yang tidak menunjukkan sebarang tanda masalah pernafasan mungkin masih mengalami perubahan membahayakan dalam proses pernafasan yang boleh membawa kepada penyakit paru-paru di kemudian hari, menurut kajian yang dibentangkan di Persidangan Antarabangsa Persatuan Rongga Dada Amerika Syarikat 2007.

“Semua orang tahu bahawa kanak-kanak yang ibu bapa mereka merokok mengalami lebih banyak masalah pernafasan - lebih sesak nafas, bernafas lebih termengah-mengah, banyak kes radang paru-paru - tetapi sehingga kini kami tidak tahu sama ada fungsi paru-paru rosak pada kanak-kanak yang tidak mempunyai sebarang masalah pernafasan atau dikesan mengalami masalah paru-paru,” kata Bert Arets dari Pusat Perubatan Universiti Utrecht di Belanda.

Kajian membabitkan 244 kanak-kanak dari usia empat hingga 12 tahun tanpa sebarang sejarah masalah paru-paru atau penyakit pernafasan. Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan menurut gaya merokok ibu bapa mereka: yang tidak pernah merokok, merokok selepas kelahiran tetapi tidak ketika hamil, merokok ketika hamil tetapi tidak selepas kelahiran dan merokok sebelum dan selepas kelahiran.

Penyelidik mendapati kanak-kanak yang ibu bapa mereka merokok terjejas fungsi paru-parunya serupa dengan yang dilihat pada perokok sendiri. Merokok selepas kelahiran juga kelihatan lebih membahayakan berbanding merokok ketika hamil.

Penyelidik kini meluaskan kajian mereka untuk memasukkan 2,000 kanak-kanak sihat yang ibu bapa mereka merokok.

Terdahulu, satu kajian Belanda menunjukkan pendedahan kepada asap rokok lebih membahayakan bayi yang kurang berat badan. – Agensi