Soalan:


DOKTOR, saya ingin tahu apakah punca terjadinya barah rahim yang dialami sebilangan wanita? Adakah wanita yang berkahwin tetapi tidak pernah hamil juga berisiko menghidap barah rahim?

Puan Amalia,
Melalui e-mel

Jawapan:

Puan Amalia, secara saintifiknya, rahim terbahagi kepada beberapa bahagian - selaput luar, bahagian pertengahan yang terdiri daripada otot dan bahagian dalam. Barah rahim boleh berlaku di bahagian pertengahan yang dinamakan sarkoma, tetapi lebih kerap terjadi di lapisan dalaman, iaitu dari kawasan haid merembes setiap bulan. Barah jenis ini yang akan diterangkan.

Nama lain yang merujuk kepada barah ini ialah barah endometrium dan endometrial adenocarcinoma.

Punca berlakunya barah belum dapat diterangkan lagi - itulah sebabnya mengapa masih tiada rawatan khusus untuknya. Rawatan barah sekarang hanya dengan mengeluarkan bahagian yang berpenyakit dan memberi ubat-ubatan yang akan bertindak menghancurkan sel barah.

Masalah barah ialah ia cepat merebak ke organ lain dalam badan - kalau dikesan pada tahap awal sebelum merebak, rawatan menjadi lebih efektif tetapi bukan selalunya 100 peratus pulih.

Penyakit barah sangat menggerunkan, bukan saja kerana ia belum ada penawar, tetapi kerana penyakit ini melarat, ia seolah-oleh memakan dan merosakkan bahagian badan sehingga tidak dapat berfungsi lagi, akhirnya menyebabkan kesengsaraan dan kematian.

Antara barah yang masih lagi berada pada tahap paling tinggi dan membimbangkan ialah barah payu dara. Dianggarkan seorang daripada setiap 19 orang wanita akan menghidap barah ini. Untuk barah organ pembiakan wanita, barah serviks yang lebih biasa terjadi, berbanding dengan rahim dan ovari.

Barah rahim terjadi dalam 4.3 peratus daripada semua kes barah yang dilaporkan. Ada beberapa perkara menyebabkan kemungkinan lebih tinggi untuk seseorang itu mendapat barah rahim. Salah satu faktor ini berkaitan dengan paras hormon estrogen yang tinggi. Ia boleh terjadi kepada wanita yang berbadan besar.

Jika berat badan lebih daripada 13 kilogram (kg) daripada berat badan yang sesuai, kemungkinan untuk mendapat barah ini bertambah tiga kali ganda. Jika berat badan lebih daripada 23 kg, risikonya lebih 10 kali ganda. Sel lemak berlebihan akan memproses hormon estrogen dan meninggikan kandungan sedia ada. Jika tidak dikawal, hormon ini akan merangsang lapisan dalaman rahim secara rambang dan lama kelamaan bertukar menjadi barah.

Wanita yang tidak pernah mengandung juga berisiko, mungkin kerana permasalahan kitaran haid. Ini menjawab soalan kedua puan - kahwin atau tidak kahwin, belum pernah mengandung juga boleh menghidap barah ini.

Penyakit kencing manis dan darah tinggi juga membawa risiko antara 1.5 hingga 1.8 kali lebih tinggi.

Rawatan hormon untuk menopaus (hormone replacement therapy, HRT) yang menggunakan komponen estrogen saja juga satu faktor risiko. Wanita yang masih ada rahim yang ingin mengambil HRT dinasihatkan mengambil jenis yang ada dua komponen, estrogen dan progestin.

Ini tidak memberi risiko untuk barah rahim. Umur mula datang haid dan menopaus boleh membawa risiko - mereka yang mendapat haid sebelum umur 12 tahun dan putus haid selepas 50 tahun adalah dalam golongan risiko tinggi.

Dalam rawatan barah payu dara, Tamoxifen, sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal barah selepas selesai rawatan kemoterapi dan radioterapi, didapati lebih tinggi risiko menghidap barah rahim.